hati

Rekaan tampil ilusi langsing

Oleh Siti Zarinah Sahib

Mengenakan busana perkahwinan yang diadaptasi daripada cerita fantasi seperti Cinderella sudah pasti menjadi impian mempelai. Antaranya gaun dansa atau gaun berbentuk loceng dengan panjang kain melebihi 20 meter sememangnya mempamerkan keindahan dan kemewahan tersendiri.

Menurut pemilik Arma Abdul Rahman Wedding Couture, Arma Abdul Rahman, pada tahun ini dan akan datang konsep yang diketengahkan adalah bertemakan ilusi mewah dengan gabungan unsur fantasi. Namun tidak semua gaun berbentuk bulat ini sesuai digayakan raja sehari kerana ia bergantung kepada ketinggian dan bentuk badan wanita.

“Sebagai pereka sebelum bersetuju menghasilkan rekaan, terlebih dulu saya akan berbincang dengan mempelai mengenai potongan dan warna untuk melihat kesesuaiannya. Antara kriteria penting adalah ketinggian dan bentuk badan mereka. Jika menepati cita rasa barulah lakaran busana dihasilkan. Bagi yang inginkan rekaan ala gaun dansa, pereka perlu menilai panjang busana menerusi bentuk tubuh mempelai,” katanya.

Tambah Arma, apa yang perlu ditekankan dalam rekaan adalah kemampuannya menampilkan ilusi langsing apatah lagi bagi acara gilang-gemilang yang akan menampakkan kejelitaan raja sehari. Untuk itu sekiranya pengantin masih inginkan busana ala gaun dansa sedangkan mereka tidak terlalu tinggi, gaun potongan A yang lebih sesuai.

“Ini kerana konsep sebegini akan menampakkan kelangsingan tubuh dan menonjolkan kelebihan pengantin. Mereka juga boleh mengenakan gaun berpotongan duyung dengan hanya kembang pada bahagian belakang kerana ia lebih praktikal,” katanya.

Berpengalaman dalam menghasilkan busana moden, Arma akan berbincang dengan mempelai terlebih dulu bagi menentukan konsep busana. Sebagai contoh untuk nampak lebih menyerlah bahagian atas gaun dihasilkan dengan potongan terdedah manakala bahagian bawah tertutup.

“Untuk rekaan sebegini bagi wanita bertudung ia seakan kurang sesuai kecuali sekiranya mereka mengenakan alas baju dan lilitan tudung tidak terlalu berserabut,” katanya.

Sebagai tambahan kepada penampilan yang lebih menawan, pengantin perlu mengenakan kasut tumit tinggi bagi menampakkan mereka lebih langsing dan sesuai membawakan busana yang berat dan panjang.

Untuk warna pula, pilihan pastel lembut paling sesuai. Ia menampakkan keayuan wanita terutama apabila berjalan menuju singgahsana. Pilihan sifon dan net adalah gandingan serasi manakala bagi yang inginkan gaya moden dan klasik gabungan songket menampakkan unsur kemewahan.

“Bagi yang berani mengenakan gaun dansa songket, mereka boleh memilih rona terang seperti hijau zamrud, merah bata atau kuning mustard yang akan menyerlahkan kemodenan dalam gaya tradisi Melayu,” kata Arma yang beroperasi di Seri Kembangan.

Pengantin juga dinasihatkan tidak memakai layah panjang supaya tidak terlalu berserabut. Ini kerana panjang gaun sudah memadai. Gaun dansa juga perlu menggunakan fabrik net yang banyak pada bahagian dalam sehingga 100 meter.

“Semakin banyak kain digunakan ia akan menampakkan bahagian bawah lebih kembang dan menyerlah. Untuk konsep sebegini pastikan majlis diadakan di dalam dewan bukan di rumah,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 9:00am
d