hati

Makanan sihat suami isteri

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bermula dengan memuat naik gambar sarapan sihat yang dimasak sendiri di media sosial, kini pasangan suami isteri ini mampu tersenyum puas apabila dapat berkongsi keghairahan mereka menjadikan makanan sihat sebagai gaya hidup.

Tidak pernah mereka sangkakan daripada hanya suka-suka, penyediaan hidangan sihat kini menjadi punca pendapatan keluarga dan secara tidak langsung mengubah kehidupan 100 peratus.

Pengasas Bersama Dietlicious Nurul Huda Zainol dan suaminya, Mustapha Kamal Omar, berkata perubahan gaya hidup mereka sejak tiga tahun lalu menjadi inspirasi ramai rakan dan kenalan di media sosial.

Malah Nurul Huda yang pada awalnya cuba menukar pola pemakanan disebabkan kenaikan berat badan selepas melahirkan anak kedua, tidak pernah mengimpikan untuk menceburi bidang masakan memandangkan tiada langsung pengetahuan mengenainya.

“Akibat tidak jaga makan dan gaya hidup yang kurang aktif, berat badan saya naik mendadak. Sudah banyak produk kurus yang dicuba tapi tidak mendatangkan hasil.

“Suami pula ketika itu menjalankan perniagaan yang memerlukannya berjumpa pelanggan di restoran juga tidak menjaga makan dan sering mengambil makanan kurang sihat.

“Ketika itu, barulah timbul kesedaran bahawa kami tidak boleh terus-menerus mengamalkan gaya hidup seperti itu memandang ibu bapa kami mempunyai sejarah menghidap kencing manis.

“Satu hari, saya nekad mengubah cara pemakanan dan mulakan pengambilan sarapan sihat. Saya jadikan hidangan kelihatan menarik supaya rasa seronok mengamalkannya sebelum memuat naik di media sosial.

“Dari situ, ramai kenalan dan rakan bertanyakan sama ada saya menjualnya. Kerana ramai yang mahu hidangan seperti itu, saya ambil juga tempahan mereka, itu pun dua pek saja.

“Lama-kelamaan permintaan semakin bertambah hingga 10 pek dan tidak sangka pula dalam tempoh sebulan kami mendapat tempahan 100 pek yang semuanya dibuat sendiri di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas lima bulan, tempahan semakin meningkat hingga mereka terpaksa menyewa dapur yang mempunyai kelengkapan memasak lebih sempurna untuk menampung permintaan.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, masih diingati ketika beroperasi di dapurnya sendiri, dia menggunakan ketuhar kecil yang mampu memasak kira-kira 100 keping salmon saja sehari sehingga pintu ketuharnya tercabut.

Katanya, hanya berbekalkan modal sendiri, mereka bermula kecil-kecilan hingga satu tahap perlu menggajikan pekerja kerana Mustapha sudah tidak menang tangan membuat penghantaran.

Menu ‘tekak’ Malaysia

Menurutnya, selepas lebih dua tahun perkhidmatan penghantaran ke rumah, pada Disember 2016, mereka dapat menyewa kedai kecil di Wangsa Walk kerana lokasinya strategik, pada masa sama khidmat penghantaran tetap diteruskan.

“Semuanya baru buat kami kerana tiada langsung latar belakang penyediaan makanan. Tapi apabila bermula, kami terus jatuh cinta sebab dapat kongsi pemakanan sihat dengan pelanggan yang semakin meningkat kesedaran mereka terhadap penjagaan kesihatan.

“Menu pula saya sentiasa pelbagaikan dan cuba menjadi kreatif agar hidangan dapat diterima ‘tekak’ orang Malaysia.

“Banyak penyakit yang bermula daripada apa yang kita makan, kebanyakan orang Malaysia mahu makan sedap tapi kebanyakannya tinggi kandungan lemak, minyak dan kolesterol.

“Masyarakat kita juga kurang kesedaran mencegah penyakit, biasanya sudah terlambat dan akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan,” katanya.

Bagi menarik minat pelanggan untuk mengubah pengambilan menu lebih sihat, katanya, mereka menyediakan menu mengikut selera tempatan tapi kaya dengan keperluan nutrien seharian.

Menurut Mustapha, sejak Dietlicious diperkenalkan, pelanggannya bukan saja individu malah banyak permintaan untuk tempahan korporat memandangkan semakin banyak majikan yang ada kesedaran menerapkan gaya hidup sihat kepada kakitangan.

Katanya, pada awal perniagaan, diakui ramai yang skeptikal terhadap penyediaan makanan sihat namun lama-kelamaan semakin ramai mula menitikberatkan kesihatan dengan memulakan pengambilan makanan sihat.

“Boleh dikatakan kami antara yang terawal menyediakan perkhidmatan makanan sihat. Menu pula kami ubah suai ikut cita rasa tempatan, dengan pilihan berbeza setiap hari untuk mengelak pelanggan bosan kalau menu sama saja.

“Di kedai pula, menu akan tukar setiap bulan dengan setiap hari enam menu konsep pek tersedia, sebelum dipanaskan. Selain itu, kami juga ambil tempahan hidangan sejuk beku,” katanya.

Menurutnya, mereka kini dalam perancangan untuk membuka restoran yang menyediakan hidangan panas atau boleh dipesan terus untuk memberi kemudahan kepada pelanggan yang mahu makan di luar mendapatkan makanan sihat.

Sebagai peniaga, katanya, hatinya puas dapat melihat perubahan positif dalam masyarakat menerusi peningkatan jumlah tempahan terhadap makanan yang dihasilkan.

Perkhidmatan penghantaran yang disediakan pula adalah di sekitar ibu kota, Petaling Jaya dan Bangsar dan mereka berhasrat menambah luas kawasan penghantaran.

“Dengan caj RM2 bagi penghantaran, kami tidak tetapkan tempahan minimum kerana mahu setiap pelanggan yang ingin mengubah cara pemakanan tidak rasa sukar untuk dapatkan makanan sihat.

“Kami sedar bukan mudah untuk mengubah 100 peratus cara pemakanan, ia memerlukan kesungguhan sebab dari kecil hingga dewasa, kita terbiasa dengan sajian berlemak, bergoreng dan makanan segera,” katanya.

Bermula dari rumah dan semuanya dilakukan berdua, mereka tidak pernah menyangka mampu sampai ke tahap ini apatah lagi kini sudah berupaya menggajikan tujuh kakitangan termasuk tiga penghantar tempahan.

Selain makanan sedia dimakan, mereka sering menerima tempahan makanan mengikut keperluan kesihatan pelanggan selain atlet kecergasan.

“Kami sediakan beberapa jenis menu untuk disesuaikan dengan keperluan mereka. Ada menu dimasak ikut kehendak pelanggan, terdiri dalam kalangan atlet kecergasan yang teliti mengenai pengambilan sumber nutrisi seperti karbohidrat dan protein.

“Saya ada pelanggan yang menghidap diabetes yang agak kronik, alhamdulillah selama dua minggu kami sediakan makanan mengikut keperluan kesihatannya dan menukar gaya hidup, kesihatannya bertambah baik dan berat badannya juga turun,” katanya.

Mustapha berkata, sepanjang perjalanan ini, dia dan isteri mendapat kepuasan apabila berjaya mendidik orang ramai mengubah gaya hidup yang lebih baik sekali gus menambah baik kesihatan mereka.

Disiarkan pada: October 2, 2017 @ 2:05pm
d