hati

Hasilkan sendiri lulur di rumah

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Jika inginkan kulit yang licin, bersih dan menawan, jangan culas untuk menjaganya dengan rapi. Tanpa perlu ke salun kecantikan pun kita masih boleh melakukan beberapa rejim penjagaan kulit agar kekal sihat dan menawan.

Pelbagai cara boleh dilakukan sendiri menggunakan bahan yang mudah didapati di rumah atau sekitar kawasan kediaman. Misalnya, lulur badan atau muka.

Ramai yang tahu, jika inginkan kulit yang mulus dan bebas cela, perlu rajin melakukan rawatan lulur sekurang-kurangnya dua atau tiga kali dalam seminggu.

Cara penyediaannya juga mudah. Jika mahu menghasilkan sendiri lulur di rumah, boleh ikuti langkah mudah ditunjukkan oleh Pengasas Sara V Beauty, Intan Shahfinar Shaffie.

Jelasnya, lulur beras yang memiliki banyak manfaat kepada kulit itu hanya menggunakan bahan yang mudah didapati dan disediakan.

“Gliserin boleh didapati di kedai bakeri manakala bahan yang lain boleh dibeli di kedai runcit. Menariknya, lulur beras yang boleh dipakai dua atau tiga kali seminggu itu memiliki banyak kelebihannya.

“Ia membantu menanggalkan sel kulit mati, melembut dan menghaluskan kulit. Penggunaan beras pulut pula dapat membantu mencerahkan kulit pemakai.

“Selain itu, lulur beras berkenaan juga membantu memudarkan parut dan noda hitam pada kulit jika rajin menggunakannya. Pada masa sama, ia juga boleh membantu mengurangkan masalah jerawat, ruam dan gatal pada kulit wajah serta badan,” katanya.

Bagi mendapatkan kesan yang lebih baik, boleh campurkan madu dan lemon serta sedikit air dalam bancuhan lulur beras berkenaan. Kemudian, lulur ke seluruh wajah dan leher.

Gosok bahan lulur itu secara lembut dan biarkan seketika kira-kira lima minit sebelum dibilas bersih menggunakan air. Malah, lulur beras juga boleh digabungkan dengan bahan lain seperti teh hijau, kunyit, susu tepung atau yogurt mengikut keperluan kulit atau menambah khasiat yang diinginkan.

Bukan itu saja, formula yang dikongsikan itu juga boleh digunakan untuk membuat lulur kopi, oat atau gula dengan menggunakan sukatan sama.

Jika belum mahu digunakan, lulur beras yang siap dibuat boleh simpan di dalam bekas kedap udara. Ia mampu bertahan sehingga enam bulan atau lebih jika tidak terkena air.

BAHAN:

• 100 gram beras pulut

• 10 mililiter minyak zaitun

• 10 mililiter gliserin cair

• Pewarna (pilihan)

• Pewangi atau minyak pati (pilihan)

• Madu

• Lemon

CARA PENYEDIAANNYA:

1. Goreng beras tanpa minyak selama 15 minit.

2. Kisar beras menggunakan pengisar, tetapi jangan terlalu halus.

3. Campurkan minyak zaitun dan gliserin cair. Adun sebati.

4. Boleh letak pewarna makanan sedikit dan juga pewangi jika mahu.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 1:25pm
d