hati

Dugaan besar jaga suami terlantar

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Jiwanya kental, sentiasa bersemangat dan positif dalam menjalani liku kehidupannya. Jika dilihat secara luaran, wanita ini amat ceria dan dikategorikan individu g peramah serta mudah mesra dengan sesiapa saja.

Rutin hariannya agak sibuk, selain bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah rendah agama di Pelabuhan Klang, Selangor, dia juga aktif dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan kediamannya.

Namun, siapa sangka di sebalik keceriaan dan senyuman yang sentiasa terukir di wajahnya itu terselit satu dugaan besar apabila suami yang dulunya sentiasa bersama kini terlantar sakit akibat masalah tulang belakang sejak tiga tahun lalu.

Segala umpama ‘gelap’ pada permulaannya namun wanita ini tekad meneruskan kehidupan seperti biasa dan reda menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan untuknya.

Menceritakan detik awal apabila suaminya disahkan mengalami masalah tulang belakang pada 2014, Fadilah Hashim, 54, berkata, pada permulaan, suaminya sering mengadu mengalami sakit belakang yang teramat dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Beberapa kali saya dan anak membawanya ke hospital apabila dia (suami) sering mengerang kesakitan namun tiada sebarang masalah dapat dikesan pada permulaannya.

“Doktor hanya memberikan ubat tahan sakit dan ubat gout setiap kali mendapatkan rawatan kecemasan memandangkan suami sememangnya ada penyakit gout dan sendi. Perkara itu berlarutan beberapa bulan sehinggalah suami terlalu sakit sehingga tidak mampu untuk bangun dan berdiri,” katanya.

Menurut Fadilah, ketika itu barulah doktor dapat mengesan masalah sebenar dan mengesahkan beberapa bahagian di tulang belakang suaminya bermasalah dan perlu diganti.

“Doktor tidak memberi jaminan untuk suami dapat bangun dan berjalan semula namun memaklumkan berkemungkinan besar dia (suami) dapat duduk serta tidak lagi mengalami kesakitan teramat di bahagian belakang selepas menjalani pembedahan.

“Selepas berbincang, kami bersetuju untuk pembedahan walaupun menyedari tiada jaminan dia dapat bangun dan berjalan,” katanya.

Fadilah berkata, dia juga bersyukur kerana mereka mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk menampung kos pembedahan tulang belakang itu iaitu kira-kira RM25,000.

“Syukur pembedahan berjalan lancar dan hampir tiga bulan kami tinggal di hospital untuk proses penyembuhan sebelum suami dibenarkan pulang. Selepas pembedahan, suami tidak lagi mengerang kesakitan akibat sakit belakang namun dia tidak dapat bangun dan berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, kami sekeluarga tetap bersyukur kerana bahagian pinggang dan ke atas suami dapat berfungsi seperti biasa walaupun dia kini hanya terbaring,” ujarnya.

Tabah harungi ujian

Fadilah sedar dia perlu kuat dan bangkit daripada kesedihan kerana dia adalah tulang belakang buat seluruh keluarganya.

“Kami hanya mempunyai seorang anak perempuan dan dia juga sudah dewasa. Kini anak, menantu dan dua cucu tinggal bersama bagi membantu saya menguruskan suami yang terlantar. Segalanya berubah apabila suami terlantar. Jika dulu, dia banyak membantu urusan rumah namun kini semua keperluannya perlu dibantu.

“Bukan mudah untuk menjaga pesakit terlantar terutama apabila dia mempunyai jahitan akibat pembedahan, segalanya perlu dipastikan dalam keadaan bersih dan kering supaya tidak berlaku luka kerana dia sama sekali tidak dapat menggerakkan badannya dengan sendiri.

“Memang penat namun saya reda dengan ujian ini terutama ketika membersihkannya setiap hari ditambah lagi keadaan fizikal suami yang bertubuh besar. Saya yakin di sebalik segala kesedihan ini pasti ada sinar kegembiraan di penghujungnya yang kita tidak ketahui,” ujarnya.

Bagi memastikan urusan hariannya berjalan lancar, dia perlu menyusun setiap aktivitinya bermula selepas bangun daripada tidur hinggalah ke lewat malam.

“Saya perlu disiplin kerana menjaga pesakit terlantar ini bukan suatu perkara mudah terutama membabitkan perasaannya. Saya akan memastikan suami sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga. Seawal pagi saya akan menyediakan sarapan untuknya sebelum mengemas rumah, memasak dan membuat persiapan untuk mengajar pada waktu petang,” katanya.

Katanya, dalam menguruskan pesakit terlantar ini, semangat penjaga dan ahli keluarga perlu kuat. Malah mereka juga sentiasa peka dengan perubahan emosi pesakit.

“Perkara paling utama untuk dijaga adalah emosinya kerana suami menjadi begitu sensitif terutama apabila sudah masuk tahun ketiga dia terlantar. Saya cuba penuhi semua permintaannya. Ada kala dia mudah marah dan merajuk disebabkan perkara kecil. Saya faham, inilah asam garam menjaga pesakit terlantar sepertinya,” ujarnya.

Harap ada sinar keajaiban

Walaupun dimaklumkan suaminya tidak lagi mampu berjalan dan berdiri, wanita tabah ini tidak putus berdoa dan mengharapkan ada sinar keajaiban buat suaminya.

“Usia suami belum mencecah 60 tahun dan saya amat mengharapkan sekurang-kurangnya dia dapat duduk. Kini selepas tiga tahun terlantar dia mula mengadu sakit pada bahagian kaki.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana dia tidak mengalami luka di bahagian belakang walaupun terlantar sejak tiga tahun lalu. Kami sekeluarga dan jiran terdekat akan berusaha mengangkatnya untuk membantunya duduk di kerusi roda walaupun hanya 10 minit,” ujarnya.

Kata Fadilah, setiap hari dia akan menggerakkan kaki suaminya untuk mengurangkan rasa lenguh pada bahagian itu.

“Saya amat bersyukur kerana diberikan kesihatan dan kekuatan luar biasa dalam berdepan dugaan ini kerana diikutkan saya juga menjalani pembedahan membuang fibroid dan rahim pada 2014 lalu,” ujarnya.

Selepas berdepan dengan masalah kesihatan suaminya, dia amat mementingkan pemakanan harian bagi memastikan kesihatan mereka sekeluarga. Selain itu, katanya, sokongan dan bantuan ahli keluarga serta individu terdekat diperlukan bagi membolehkan mereka terus tabah menghadapi cabaran.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 2:09pm
d