hati

'Bangga keluaran dipakai orang'

Oleh Rashidah Ibrahim

Kesukaran mendapatkan tudung bawal bercorak yang sesuai dengan usia di pasaran mendorong Rozilah Tamrin menghasilkan corak mengikut seleranya.

Menurutnya, pada peringkat awal beliau ingin menghasilkan tudung bawal untuk kegunaan sendiri, malangnya tidak ada kilang bersedia mencetak tudung dengan jumlah sedikit.

Mencari di sana sini, beliau kemudian akur hasrat itu tidak mungkin tertunai jika hanya ingin mengeluarkan dalam bilangan terhad.

“Tiada jalan lain untuk menzahirkan kehendak itu melainkan sanggup mencetak mengikut minimum bilangan yang diperlukan. Tidak pernah terfikir pun hendak keluarkan tudung sendiri. Disebabkan tudung bawal di pasaran terhad dan coraknya pula tidak sesuai dengan jiwa, akhirnya saya terdorong mengeluarkan tudung bawal sendiri,” ujarnya memberitahu pihak kilang yang hanya mahu menerima cetakan dengan jumlah minimum 20,000 helai.

Pada peringkat awal tudung bawal di pasaran adalah jenis polos, kemudian keluar yang bercorak, namun beliau dapati tiada corak bersesuaian dengan cita rasanya berdasarkan kepada umur dan kesesuaian majlis yang sering dihadirinya.

“Langkah pertama yang saya ambil ialah menentukan jenis kain dan rekaan,” ujarnya yang berusaha mempelbagai corak dan mengemas kini rekaan bagi kepuasan pelanggan.

Mengenai mutu kain, beliau tidak memilih yang terlalu nipis ataupun terlalu tebal, sebaliknya mencari kain tudung yang mudah terbentuk apabila dipakai dan selesa.

Selaku pengasas, dia sentiasa berusaha mencari material terbaik untuk pengguna iaitu mengikut kualiti yang disukai.

“Jika diri sendiri rasa selesa, saya yakin orang lain pun akan selesa,” ujarnya sambil menambah, pengalaman menjadi usahawan pengeluar tudung, katanya memanglah tidak semudah yang disangka. Pada peringkat pertama tudungnya dicetak sebanyak 12,000 helai tetapi malangnya ia tidak bermutu.

“Kerana belum biasa menangani masalah yang timbul, bukan sahaja mutu cetak bahkan ketepatan potongan dan kekemasan jahitan tudung juga tidak memuaskan. Malah ukuran yang tidak tepat menjejaskan kesempurnaan dan menghilang keyakinan pengguna,” katanya.

Bagi keluaran pertama, dia mengalami kerugian kerana hampir 80 peratus tidak dapat dijual akibat rosak. Rozilah pula tidak mahu menjual tudung yang tidak berkualiti maka tudung yang rosak diberikan kepada orang dan ada juga dijual pada harga murah.

“Hanya cetakan kali buat kedua saya agak berpuas hati namun masih banyak perkara perlu diperbaiki. Selepas hampir setahun barulah kualiti pengeluaran bertambah stabil dan pelanggan semakin yakin menerima produk saya.

“Alhamdulillah, kini semakin ramai peminat tudung bawal semakin mengenali jenama ini kerana kualiti, saiz dan keselesaannya. Saya berasa bangga setiap kali terserempak dengan pengguna yang memakai tudung keluaran saya.

“Bagi saya, tudung kain bawal memang selesa dipakai. Mereka yang pernah mencuba tudung ini, selalunya tidak akan beralih kepada tudung jenis lain,” sambungnya.

Ditemui di ruang pameran Anaqeen di Bukit Jelutong, Shah Alam, Rozilah kini mampu tersenyum dengan hasil pengeluaran yang semakin diterima dan dikenali ramai.

Dia akur tidak pernah bersenang-lenang, perlu sentiasa pantas dan terkini dalam pengeluaran corak baru. Dalam sebulan dia perlu mengeluarkan 20,000 helai tudung dan menambah jumlah pengedar.

Untuk memperluaskan lagi pasaran kepada lebih ramai peminat tudung bawal seluruh negara, Anaqeen juga membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi ejen dropship dan ejen langsung.

Terkini, Anaqeen menyertai projek antarabangsa Kempen A Tile For Seville untuk pembinaan masjid di Sepanyol. Melalui kerjasama dengan Irma Hasmie, mereka mengeluarkan koleksi tudung khusus untuk kutipan dana kempen berkenaan.

Anaqeen bersetuju mencetak 12 koleksi keluaran terbaru tudung bawal diberikan label Anaqeen For Hasmie yang dijual bermula Ramadan lalu.

“Melalui kerjasama dengan U4U, iaitu penganjur A Tile For Seville Campaign, kami memasarkan tudung itu sambil menderma. Semua rekaan corak koleksi itu berinspirasikan perjalanan dan pengalaman Irma ke bumi Andalusia, iaitu ciri unik di Sepanyol.

“Sebahagian daripada hasil jualan tudung itu akan disumbangkan kepada tabung kutipan dana A Tile For Seville Campaign,” kata Rozilah memberitahu koleksi itu juga dijual di Sepanyol dan menjadi satu barang jualan dalam web.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 7:39am
d