hati

Kawal stres elak penyakit jantung

Oleh Siti Zarinah Sahib

Kajian diterbitkan Jurnal Perubatan: Circulation pada 2000 bertajuk Tekanan Mental Boleh Merosakkan Dinding Dalaman Salur Darah Seseorang menunjukkan tekanan berpanjangan yang tidak diuruskan dengan baik boleh menyebabkan kerosakan dinding dalam salur darah (disfungsi endothelial) selama empat jam.

Kerosakan ini membuatkan saluran darah rosak dan kolesterol lebih mudah mendap di dalamnya. Kesan jangka masa panjang akan menyebabkan saluran darah tersumbat dan akhirnya penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok akan berlaku.

Dalam satu lagi kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Perubatan British (BMJ) pada 2006, bertajuk Tekanan Di Tempat Kerja dan Kaitan Dengan Sindrom Metabolik membabitkan 10,308 lelaki dan wanita berkerjaya berumur antara 35 hingga 55 tahun, menunjukkan tekanan atau stres akibat pekerjaan menyumbang kepada faktor risiko yang tinggi untuk penyakit jantung. Malah lebih buruk tekanan yang tidak terkawal turut menyebabkan tekanan darah dan paras kolesterol meningkat, perut buncit dan obesiti.

Pengasas teori stres atau tekanan perasaan, Dr Hans Selye, mendefinisikan stres sebagai reaksi yang tidak spesifik oleh individu disebabkan bebanan yang menimpanya. Dia juga berpendapat stres adalah punca kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit.

Dalam satu artikel yang disiarkan oleh psychologytoday.com, ada menyebut mengenai wanita lebih cenderung mengalami stres berbanding lelaki. Ini kerana faktor biologi seperti perubahan hormon yang menyebabkan mereka lebih mudah tertekan apabila menghadapi masalah.

Selain itu faktor psikologi seperti terlalu banyak berfikir menyebabkan kaum hawa mudah stres, ditambah dengan tanggung jawab yang terpaksa dipikul membabitkan keluarga dan kerjaya.

Tekanan positif dan negatif

Ditanya hal ini kepada Pakar Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC) Dr Haizal Haron Kamar, dia berkata tiada kajian menunjukkan tekanan lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki. Ini kerana tiada kayu ukur yang dapat menunjukkan tingkat stres kepada individu. Cuma bebanan atau masalah yang dihadapi biasanya ditangani secara berbeza, baik lelaki mahupun wanita.

Katanya, tekanan berlaku secara langsung dan tidak langsung. Secara semula jadi, individu akan berlari apabila bertemu binatang buas di hutan. Tekanan yang dialami akan menyebabkan tubuh merembeskan hormon adrenalina dan kortisol yang membolehkan badan bersedia untuk berlari dan keluar daripada masalah ini.

“Tekanan boleh dibahagikan kepada positif (eustress) atau negatif (distress). Tekanan positif amat diperlukan bagi menjadikan individu lebih berhati-hati, terangsang, kreatif dan memberikan tumpuan kepada apa yang sedang dilakukan. Tetapi jika ia menjadi terlampau dan di luar kawalan, tekanan akan menjadi faktor yang boleh merosakkan kesihatan seseorang,” katanya.

Katanya, pada masa sekarang, tekanan membabitkan minda paling ditakuti kerana ia menyebabkan pelbagai penyakit muncul dalam senyap. Ini termasuk tekanan dalam kerjaya, hubungan sesama manusia, rumah tangga dan keluarga yang menyebabkan situasi menjadi sangat mencabar.

Tekanan ini akan meningkatkan risiko penyakit jantung kerana ia menyebabkan individu mengambil tindakan yang boleh memburukkan kesihatan seperti merokok, minum arak, makan secara berlebihan dan kurang tidur. Ia bukan saja menjejaskan kesihatan malah mengakibatkan penyakit jantung kronik.

Kaitan tekanan dengan gaya hidup

Ramai tidak sedar, tekanan secara tidak langsung akan pengaruhi gaya hidup. Ini kerana ketika individu berasa terbeban untuk melakukan kerja sehingga selesai, mereka cenderung memilih cara yang salah bagi mengurangkan tekanan. Antara perlakuan akibat tekanan yang menjurus kepada penyakit jantung adalah:

1. Merokok

Ramai beranggapan merokok mampu mengurangkan ketegangan akibat tekanan sekali gus melupakan masalah mereka buat seketika. Namun tabiat ini bukanlah penyelesaian yang betul, bahkan boleh mendatangkan masalah lebih kronik. Bagi perokok, mereka mungkin merasakan hembusan nafas pada sebatang rokok mampu meningkatkan kualiti kerja di tahap yang tinggi. Mereka dapat menyiapkan tugasan mengikut waktunya. Begitupun, hal yang berlaku adalah di sebaliknya. Merokok menjerumuskan mereka kepada penyakit lain seperti koronari jantung, paru-paru atau kanser.

2. Makan makanan segera

Pasti anda juga pernah berhadapan dengan rakan sekerja yang memilih untuk makan apabila tertekan kerana perlu menyiapkan kerja dalam kadar segera. Oleh kerana kekangan masa menyebabkan mereka tidak sempat memasak lantas memilih hidangan mudah atau membeli makanan ringan di mana-mana sahaja.

Makanan segera secara umumnya bukanlah pilihan yang baik kerana mengandungi garam, lemak dan gula yang tinggi. Keinginan ini juga berkaitan dengan kehadiran hormon kortisol ketika tekanan berlaku. Hormon ini meningkatkan nafsu makan, sehingga membuatkan individu makan berlebihan. Makanan segera yang diambil secara berlebihan menyebabkan tompokan lemak semakin banyak sekali gus mengakibatkan pembuluh darah tersumbat dan aliran darah tidak lancar. Akhirnya, fungsi jantung akan terganggu.

3. Kurang tidur

Satu kajian menunjukkan individu yang tidur kurang daripada enam jam berisiko 50 peratus lebih tinggi mendapat serangan jantung berbanding mereka yang cukup tidur. Ini kerana kurang tidur mengakibatkan gangguan pada keseimbangan dua hormon penting iaitu leptin dan ghrelin yang berfungsi mengawal selera makan. Jadi, tidur yang kurang akan membuatkan seseorang makan lebih banyak daripada biasa selain badan yang lemah dan tidak cukup rehat. Semua faktor ini mendorong kepada penyakit seperti selesema, demam atau lebih teruk penyakit berkaitan jantung.

4. Obesiti

Makan apa saja tanpa mengikut saranan piramid makanan menjadi punca kepada masalah obesiti di Malaysia. Kemunculan penyakit darah tinggi dan diabetes yang disebabkan berat badan berlebihan turut menjadi punca kepada serangan jantung.

5. Minum minuman beralkohol

Bagi mengurangkan tekanan ramai mengambil minuman beralkohol kerana merasakan mereka dapat melupakan masalah. Namun apa yang berlaku tekanan tidak akan berkurang tetapi menjadi lebih buruk kerana dalam keadaan mabuk mereka berkelakuan membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Tanda stres

Setiap orang akan menunjukkan tanda tekanan yang pelbagai. Ada yang berpeluh, menggigil, pening, muntah malah lebih teruk sehingga pengsan. Tanda ini boleh dibahagikan kepada empat iaitu:

1. Fizikal - Individu yang tertekan akan menunjukkan tanda seperti keletihan, pening kepala, susah tidur, sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan belakang, degupan jantung yang kuat, sakit dada, loya, ketar badan, sejuk tangan dan berpeluh.

2. Mental - Hilang tumpuan, mudah lupa, susah untuk membuat keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak boleh berjenaka.

3. Emosi - Risau, sentiasa bimbang, sugul, marah, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas baran.

4. Tingkah laku - Mereka yang tertekan akan menunjukkan tingkah laku seperti keluh-kesah, gemar menggigit kuku dan menggoyangkan kaki, makan secara berlebihan, merokok, minum arak, menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit dan menyalahkan orang lain serta bertindak agresif. Namun semua gejala ini tidak menandakan seseorang itu menghidap sakit jantung. Mungkin simptomnya seakan sama tetapi tidak semestinya ia adalah petanda sakit jantung.

Bijak urus tekanan

Tekanan boleh diurus seandainya seseorang itu bijak mengawal serta berfikir semula mengenai tindak balas yang diterima akibat perlakuan mereka. Jelas Dr Haizal, tanpa mengira usia atau jantina, setiap orang pasti berdepan dengan tekanan. Apa yang membezakannya adalah bagaimana kita menanganinya.

“Bagi orang Islam, paling penting adalah meningkatkan ibadat dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersolat. Cari apa sahaja aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan seperti mendengar muzik, berkebun, melancong atau bersukan. Amalkan gaya hidup sihat untuk kembali pulih dan mengelak daripada pelbagai penyakit,” katanya.

Selain mendekatkan diri dengan agama, bersenam adalah antara kaedah mudah dan berkesan dalam menangani tekanan. Apabila bersenam, minda kita akan disibukkan dengan memikirkan cara mengimbangi badan, mengatasi halangan yang mungkin ditempuhi dan cuba memperbaiki prestasi diri.

Apabila kita bersenam, badan akan menghasilkan hormon endorfin. Hormon ini akan berinteraksi dengan reseptor di otak yang merendahkan persepsi kita terhadap kesakitan. Malah, paling penting hormon ini akan merangsang rasa positif yang membuatkan kita rasa tenang dan bersedia menghadapi cabaran.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 12:54pm
d