hati

Selesa menyusu di tempat awam

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Menyusukan bayi antara detik terindah seorang wanita kerana ketika inilah berlakunya ikatan erat antara ibu dan anak. Inilah anugerah yang tidak ternilai buat insan bergelar ibu.

Agama Islam sangat menjaga martabat wanita dan meletakkan mereka pada kedudukan tinggi. Justeru, wanita dinasihat tidak membuka ruang untuk membolehkan mereka dieksploitasi sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Terdapat banyak kemudahan menyusu yang membenarkan ibu menyusukan di tempat terbuka, seperti nursing sling, nursing cover, nursing poncho, tudung dan selendang.

Selain itu kita dapati juga banyak kemudahan atau bilik menyusu disediakan sama ada di kompleks beli-belah, kompleks kerajaan, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta pusat kejiranan dan komuniti. Ini bagi membolehkan ibu menyusukan anak dengan lebih selesa.

Bagi ibu yang terikat dengan komitmen menyusukan bayi mereka, keadaan di mana perlu melakukan penyusuan di tempat awam sering membuat si ibu rasa tidak selesa. Walaupun ramai yang tidak kisah, masih ramai lagi yang memandangnya secara serius kerana rasa malu yang menebal.

Membuat kain khas penutup ketika penyusuan adalah kaedah biasa digunakan ibu di Amerika Syarikat dan negara membangun lain.

Selain melancarkan proses penyusuan, kain penutup menyusu boleh didapati dengan mudah dan banyak ditawarkan di negara ini. Pilih saja yang mana berkenan di hati kerana pelbagai pilihan rekaan dan corak menarik boleh didapati.

Menyedari kesedaran dan permintaan terhadap produk itu kian meningkat, butik Losravelda tidak ketinggalan menampilkan pelbagai rekaan dan corak menarik kain penutup menyusu untuk pelanggan.

Pengasasnya, Puteri Emira Mohd Azlan berkata, idea menghasilkan kain penutup menyusu tercetus apabila dia mendapati betapa sukarnya apabila berada di luar dan terpaksa ke tempat tersorok untuk menyusukan bayinya.

Terpanggil untuk mencipta kain penutup menyusu yang lebih menarik dan ‘trendy’, Emira mahu ibu tetap tampil menarik dengan rekaan produknya berbanding yang terdapat di pasaran.

“Di pasaran, kain penutup menyusu kebanyakannya direka menggunakan corak polos dan membosankan. Sebaliknya, penyusuan adalah perjalanan yang menyeronokkan buat ibu, jadi apa salahnya jika kelengkapan penyusuan juga lebih ceria dan menarik hati.

“Apa yang membezakan kami adalah corak pada kain penutup menyusu dilampirkan perkataan menarik, selain disediakan sekali beg untuk menyimpannya dengan padanan rekaan sama,” katanya.

Kain penutup penyusuan dari butik itu yang juga salah satu koleksi Mummifriendli direka untuk menyediakan perlindungan dan fungsi penuh. Terdapat empat rekaan trendy dan bergaya dengan tambahan batu kristal rhinestones berkualiti tinggi dan eksklusif.

Selain itu, setiap koleksi dilengkapi kantung zip kecil manakala fabrik yang digunakan adalah dari kapas hokena berkualiti tinggi.

Menurutnya, kain berkenaan mudah dibersihkan malah 100 peratus boleh dibasuh mesin dengan cadangan kelajuan putaran sederhana untuk membantu mengurangkan kedutan.

“Rekaan ini juga menyediakan liputan penuh 360 darjah dan boleh diguna pakai sebagai penutup kerusi kereta dan selimut. Ia mudah dipakai dan ditanggalkan.

Ibu kepada seorang anak berusia setahun itu berharap Losravelda Nursing Cover yang dijual pada harga RM79 dapat bersaing di pasaran bersama produk lain dan memberi ibu muda lebih banyak pilihan menarik untuk memudahkan penyusuan.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 11:39am
d