hati

Selit unsur kesenian Islam

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Menjana kewangan menerusi kerja kreatif memerlukan ketekunan, semangat dan sikap percaya diri yang cukup tinggi. Selain berusaha meningkatkan kreativiti mengikut peredaran masa, seseorang itu juga perlu kental dan sentiasa bersedia mendepani cabaran, terutama dari kelompok pesaing.

Apalagi jika terjun ke bidang kraf tangan. Produk dihasilkan perlu dipastikan memiliki tarikan tersendiri dan berkualiti. Semua ini bergantung penuh kepada usaha, tingkat pemikiran dan kreativiti pembuat atau pereka.

Bagi pemilik jenama The Mabkhara ini, minat yang mendalam terhadap kesenian Islam mendorong dirinya menghasilkan rekaan sendiri berasaskan kayu kerana ia mempunyai keunikan serta peminatnya yang tersendiri.

Umar Ibrahim, 32, mula terbabit dengan seni kayu sejak April 2017. Awalnya, dia memiliki perniagaan berasaskan pakaian Muslimah.

Ketika itu, dia inginkan pakaian yang mempunyai keunikan aroma seperti yang diperoleh di sekitar Tanah Suci Makkah dan Madinah.

“Apabila pelanggan menggunakan produk pakaian Muslimah kami, bau wangi dapat dihidu, sekali gus terlekat pada jiwa mereka.

“Isteri syorkan saya menggunakan wangian sunnah yang dipanggil ‘bakhoor’. Bakhoor adalah satu kaedah membakar wangian seperti kayu gaharu dan asapnya sangat wangi.

“Inilah cara sebenar Rasulullah SAW berwangi-wangian. Selepas mendalami kaedah wangian begini, barulah saya tahu rupanya ia banyak memberikan manfaat selain haruman.

“Malah, Rasulullah SAW sendiri mengesyorkan penggunaan kayu gaharu dalam perubatan bagi merawat sesetengah penyakit,” katanya.

Reka pembakar bakhoor

Idea asal Umar ingin menghasilkan pembakar bakhoor yang dipanggil mabkhara mengikut cita rasa tersendiri dengan menggabungkan seni dan geometri Islam seperti khat.

Namun katanya, ketika sibuk dengan urusan jual beli, dia dipertemukan dengan seorang pemandu Grab yang juga tukang kayu dari Putrajaya.

Atas dorongan dan tunjuk ajarnya, Umar berjaya membuat mabkhara sendiri mengikut rekaan yang disukai.

Pada masa sama, dia selangkah ke depan, cuba mendekati peminat wangian gaharu untuk memperkenalkan koleksi mabkhara rekaannya di pasaran tempatan.

“Tak sangka mabkhara mendapat sambutan ramai. Gabungan seni Islam khat yang terdiri daripada zikir dan selawat memuji kebesaran Allah SWT serta sentuhan semula jadi kayu menonjolkan lagi keunikan pada ukiran.

“Begitupun, ukiran dan seni khat itu sengaja ditambah sebagai hiasan sampingan pada koleksi pembakar ‘bakhoor’. Selain menghasilkan mabkhara, saya juga membuat beberapa koleksi barangan peribadi seperti kotak simpanan gaharu, tasbih dan aksesori ibadah.

“Ada juga ukiran capal yang menjadi kegemaran ramai pelanggan termasuk diri saya sendiri. Kalau boleh, saya mahu menggalakkan semua orang supaya menyelitkan unsur kesenian Islam di rumah dan barang peribadi mereka. Sentuhan sebegini bukan saja membuka ruang untuk kita menghayati keindahan seni Islam, malah cenderung mengingatkan sesiapa saja untuk selalu berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Jelasnya, untuk menghasilkn satu produk dia memerlukan tempoh antara sehari hingga dua hari. Itupun bergantung kepada cuaca dan kelancaran teknikal.

Kebiasaannya, pelanggan akan diberi tempoh masa beberapa hari bagi menentukan rekaan yang diinginkan sebelum proses pembuatan dijalankan.

Hasil istimewa untuk pelanggan

Bercerita lanjut, kata Umar, dia lebih suka mengenali setiap pelanggannya terlebih dahulu untuk memastikan setiap rekaan dihasilkan memberi kepuasan kepada mereka, terutama dalam kalangan individu yang benar-benar menjiwai kesenian Islam.

Bagi memastikan setiap produk dihasilkan berkualiti, Umar memilih untuk menggunakan kayu meranti merah kerana lebih kukuh dan tahan panas apabila digunakan ketika membakar kayu gaharu.

“Kayu meranti mempunyai kesan kayuan yang sangat cantik. Keunikan urat dan warna kayu meranti ini juga sering diambil kira kebanyakan pembuat perabot eksklusif bertaraf mewah.

“Saya lebih banyak memfokuskan kepada hasil kerja tangan, sementara mesin digunakan untuk memotong kayu dalam pembuatan produk berkenaan.

“Selalunya, ada beberapa teknik pemotongan kayu dan hasil kerja tangan yang dijamin boleh mendapatkan kekemasan sempurna, sekali gus menggembirakan hati pelanggan,” katanya.

Keunikan rekaan

Melihat sendiri hasil tangan Umar, kebanyakan seni ukiran yang dihasilkan membawa kelainan serta tarikan tersendiri. Paling ketara, lelaki ini cukup kreatif menonjolkan seni urat kayu yang digunakan.

Sehingga kini, mabkhara yang dihasilkan menjadi pilihan ramai peminat hasil seni kayu berikutan tidak mudah pecah dan panas. Khidmat rekaan pula diberikan secara percuma. Jadi, pelanggan tidak perlu bersusah payah mengeluarkan kos mahal untuk mengupah pereka.

Justeru, tidak hairanlah jika hasil rekaan Umar menjadi sebutan bukan saja dalam kalangan masyarakat tempatan, malah turut dicari pelanggan dari Singapura, Australia, Brunei dan United Kingdom.

Bagi meluaskan lagi jenama dan rekaannya di kawasan setempat, buat julung kalinya Umar akan mengikuti pameran di Festival Kraft Tangan, Kedah pada November ini.

Sebelum ini, Umar juga pernah dijemput golongan kenamaan, pusat pendidikan dan sebagainya untuk mempamerkan mabkhara serta membuat demonstrasi mengenai cara, pemilihan wangian gaharu serta bakhoor.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 2:17pm
d