hati

Pertemuan rai penyokong Superfrends

Oleh Kusyi Hirdan

Ada yang masih bertanya, kenapa kumpulan Superfrends dieja begitu, tanpa huruf ‘I’ seperti yang sepatutnya.

“Memang tanpa ‘I’ kerana ia serasi dengan pendekatan kami yang tidak mahu mementingkan diri. Ia bukan mengenai kepentingan diri sendiri. Bukan mengenai ‘I’ tetapi ‘kami’ atau ‘kita’ yang bekerja bersama,” jelas Khamisah Mohd Nazri antara pengasas kumpulan amal Superfrends.

Bertempat di R&R Jejantas Sungai Buloh, kumpulan amal Superfrends mengadakan majlis pertemuan meraikan penyokong mereka sejak kira-kira tujuh tahun ditubuhkan.

Kira-kira 80 orang hadir memeriahkan majlis. Mereka datang dari seluruh negara sama ada dari Negeri Sembilan, Melaka, Ipoh, Taiping, sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kalau boleh kami nak adakan pertemuan tahunan sebegini setiap tahun supaya dapat bertemu semua penyokong. Dapat berkenalan dan bertanya khabar,” kata Khamisah.

Seawal jam 10 pagi, tetamu mula datang di tempat yang dijanjikan. Ada datang bersama keluarga, ada yang membawa kawan baharu bagi diperkenalkan dengan Superfrends.

“Kami adakan di tempat ini kerana ia ada dua jalan masuk, strategik dan terletak di tengah. Dari selatan atau utara, boleh datang dengan mudah. Sudah beberapa kali kami adakan di sini dan pertemuan tahun ini di restoran KFC,” katanya.

Selain dijamu KFC, mereka juga digalakkan membawa juadah masing-masing. Maka terhidanglah pelbagai juadah enak seperti roti jala, apam, brownies, beraneka jenis kek, kuih-muih dan sandwic. Semua teruja melihat makanan yang berwarna-warni.

Pertemuan yang bertema ‘jean’ itu mencapai tujuannya apabila majoriti yang hadir mengenakan denim.

“Denim ini lambang kesederhanaan dan santai. Ia juga tahan lama dan disayangi. Itulah apa yang kami mahukan hari ini, saling menjalin silaturahim, santai dan sederhana.”

Lagu untuk program ziarah

“Kami turut menjemput anak istimewa dari sekolah pendidikan khas bersama keluarga mereka sebagai tetamu VIP. Rasa berbesar hati kerana sudi menerima jemputan kami,” kata Khamisah.

Bertepatan kehadiran penyokong dan anak istimewa, Superfrends akan memulakan program ziarah pelajar istimewa dan wad hospital dengan membawa lagu tema, Jangan Takut Gelap, nyanyian asal penyanyi Tasha dari Indonesia.

“Ini lagu Indonesia jadi ramai yang tidak mengetahui lagu ini. Jadi hari ini, kami memperkenalkannya menerusi suara merdu Puteri Nafisah, 8, diiringi petikan gitar oleh Dania Hidayah, 15,” sambungnya.

Lagu berkenaan bertepatan dengan misi Superfrends yang mahu saling mengingatkan. Selain lagunya yang menarik, liriknya juga bagus kerana ia mengingatkan kita agar sentiasa mendoakan ibu bapa.

Nafisah dan Dania sebenarnya sudah lebih sebulan diberikan lagu itu untuk berlatih menyanyi dan mengenalinya.

“Bagi yang mahu melihat bagaimana lagu ini dinyanyikan oleh Nafisah dan Dania, boleh ke Facebook Kami Superfrends atau menontonnya di YouTube.”

“Jangkaan awal kami mungkin sekitar 50 orang saja hadir kerana kebanyakan sahabat tinggal jauh dan juga tarikh dipilih bertembung musim kenduri. Tetapi, kehadiran hampir 80 sahabat memberi peluang kami menerangkan mengenai program yang dijalankan sepanjang 2016 dan 2017,” kata Khamisah.

Antaranya ialah program amal pada Ramadan, bantuan barang dapur, Dakwah Jalanan, pemberian duit belanja makan kepada pelajar susah, pengisian waktu Dhuha, korban dan beberapa aktiviti kecil yang lain.

Dalam dua setengah bulan yang berbaki ini, kumpulan amal itu akan menjalankan dua lagi aktiviti iaitu Program Dana Baju Sekolah untuk pelajar susah dan Dakwah Jalanan sebelum 2017 berakhir.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 12:09pm
d