hati

Pilihan hijab untuk bersukan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Langkah wanita Islam berhijab yang hendak bersukan tidak lagi terbatas dengan kewujudan pelbagai pilihan pakaian sesuai untuk melakukan aktiviti fizikal.

Bagi mendapat keselesaan yang diinginkan, pemilihan pakaian bermula daripada hijab, baju dan seluar, menjadi keutamaan dan lebih penting aurat tetap terjaga.

Pastinya buat mereka yang bertudung, pemilihan fabrik tudung menjadi isu utama ketika bersukan kerana pengeluaran peluh boleh menyebabkan kurang keyakinan diri kerana bimbang memberi kesan kepada bau badan.

Menurut pengasas bersama Nusar Sports Sdn Bhd Lotfi Ismail dan Iryine Bany, rasa panas mengenakan tudung rekaan biasa menyebabkan ramai wanita tidak selesa melakukan aktiviti disukai.

Mula dilancarkan April lalu, dua rakan kongsi ini memang sukakan gaya hidup aktif dan sihat. Lotfi cenderung mengikuti pelbagai aktiviti larian jarak jauh, manakala Iyrine pula sentiasa cergas menjalankan perniagaan lanskapnya yang menuntut cara pemakaian sesuai.

Lotfi berkata, mereka mula berbincang dan merancang mengenai koleksi Nusar Sports bermula Disember 2015 dengan mengambil masa selama lebih kurang setahun.

Segala maklum balas yang diterima daripada pengguna hijab sukan diteliti sebelum mereka mencipta dan menguji produk. Perbincangan dengan pereka turut diambil kira terutama berkait dengan penggunaan tekstil yang sesuai dengan aktiviti.

“Saya selalu merungut kepada Iyrine mengenai payahnya untuk mendapatkan hijab berkualiti buatan Malaysia yang sesuai untuk digunakan ketika berlari dan ke gimnasium.

“Saya tahu yang Iyrine juga menjalankan perniagaan pembuatan pakaian dan memintanya mereka cipta hijab dan sarung lengan berkualiti. Paling penting, harganya harus tergolong dalam kategori mampu milik.

“Untungnya apabila Iryine mempunyai fabrik berkualiti dan sesuai untuk pakaian sukan. Ia juga elok untuk dijadikan hijab sukan. Bermula dari itu, kami mula mereka cipta bersama pasukan pereka kami,” katanya.

Fabrik yang digunakan untuk produk Nusar adalah spandex poliester Nuez dan bagi siri Cool Breeze Hijab, material yang digunakan sangat ringan serta lembut, tidak menghalang peredaran udara ketika dipakai.

Ia juga mudah kering. Sebarang lembapan dan peluh mudah meresap melalui fabrik ini menjadikannya selesa dan tidak panas apabila dipakai dalam keadaan cuaca panas negara ini.

Istimewanya, fabrik yang boleh diregangkan empat arah ini juga mudah disesuaikan dengan sebarang bentuk muka.

Bagi Hijab Edisi Terhad menggunakan spandex poli Nuez, ia diperkemas dengan teknologi antibau yang menghalang mikrob, kuman yang menyebabkan bau kurang menyenangkan. Selain itu, strukturnya yang lebih lembut dan kemas, tidak mudah rosak mahupun koyak.

Lotfi berkata, koleksi Hijab Cool Breeze didatangkan dengan lapan pilihan rona gelap sebagai warna utama.

“Kami mahu pengguna baru mengenali produk kami dan merasai sendiri pengalaman menyuaipadankan hijab selesa dengan sebarang jenis pakaian mereka. Ini lebih praktikal untuk semua pengguna,” katanya.

Bagi hijab Edisi Terhad pula katanya, mereka menggabungkan fesyen dan seni dengan pakaian sukan untuk memberikan nafas yang lebih moden dan kualiti premium.

“Untuk koleksi ini, jumlah yang kami keluarkan memang terhad. Ini juga memberikan pereka kami kebebasan untuk berkarya untuk koleksi baru dan memberikan pelanggan peluang untuk mengumpul, memiliki dan menghargai koleksi yang lebih unik ini.

“Kelebihan dan keunikan produk yang kami tawarkan terletak pada kualitinya kerana kami menawarkan produk premium pada harga yang berpatutan selain fabrik dan rekaan berinovasi,” katanya.

Direka dan diperbuat sepenuhnya di Malaysia, koleksi Cool Breeze Hijab ditawarkan pada harga RM69 manakala edisi terhad RM89 dan sarung lengan Cool Breeze RM39.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 12:15pm
d