hati

Pengasuhan digital

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Digital parenting atau pengasuhan digital mungkin kedengaran asing bagi kebanyakan ibu bapa hari ini. Sekalipun kata ringkasnya mudah difahami, ramai juga yang tersilap mentafsir istilah yang dimaksudkan dengan pengasuhan digital.

Bagi ibu bapa yang faham, pastinya mereka tergolong dalam kalangan individu peka terhadap perkembangan anak pada era teknologi kini.

Namun, bagi yang masih belum menyedari kewujudan istilah ini, pengasuhan digital boleh dianggap sebagai pola baru untuk ibu bapa mendidik permata hati, sesuai dengan kebiasaan anak menggunakan gajet atau peranti digital.

Menurut pendapat pakar psikologi di Korea, perkara paling utama dalam pengasuhan digital adalah dengan menyatakan batasan jelas kepada anak-anak mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menggunakan gajet.

Malah, sebelum ibu bapa memutuskan untuk membelikan telefon bimbit atau komputer untuk kegunaan anak, mereka sepatutnya berbincang dan menyenaraikan syarat, peraturan serta larangan penggunaan peranti berkenaan terlebih dulu.

Misalnya, anak dilarang menggunakan telefon bimbit ketika keluarga sedang berkumpul atau makan, tidak mengganggu jadual waktu belajar, tidak leka menggunakannya sehingga lewat malam ataupun tidak disalahgunakan untuk memuat turun video terlampau.

Jika semua ini diambil kira dengan baik, tidak mustahil kanak-kanak, khususnya remaja lebih terpelihara daripada kesan negatif era digital hari ini.

Begitupun, dalam kebanyakan hal, ibu bapa mungkin gagal melaksanakan pengasuhan digital jika masih dibelenggu kesukaran untuk menolak atau menyatakan tidak kepada kehendak serta keinginan anak-anak.

Realiti hari ini menunjukkan ibu bapa terlalu mudah akur pada permintaan anak sejak kecil tanpa sedar perbuatan itu boleh merosakkan masa depan mereka. Inikan pula ketika dunia melangkah pantas di era digital.

Jadi, sebelum memulakan pengasuhan digital, ada eloknya jika ibu bapa mula mengenali pentingnya teguran tidak, tidak boleh dan jangan dalam kehidupan anak-anak.

Perubahan digital

Membandingkan pendidikan anak dulu dan kini, Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Ruby Izyan Atika Abu Bakar berkata, Islam banyak memberi panduan dan kaedah mendidik sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Umpamanya, hukuman rotan apabila anak tidak mengerjakan solat saat usia sudah mencecah tujuh tahun dan banyak lagi cara mendidik yang dihimpunkan menerusi surah Luqman.

“Cuma, sebagai manusia, kita tidak akan dapat lari daripada adat dan budaya. Sudah menjadi adat orang Melayu mendidik anak dengan cara Melayu. Begitu juga dengan bangsa lain di Malaysia. Masing-masing ada adat pegangan yang diikuti.

“Setiap adat budaya mendidik itu pula ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Contohnya, orang Melayu cenderung mendidik anak dengan cara menakut-nakutkan untuk mengelak anak melanggar peraturan. Ada pula yang tidak membenarkan sama sekali anak untuk ‘menjawab’ apabila bercakap dengan orang dewasa. Semuanya mesti ya dan patuh saja.

“Bagaimanapun, masih ada adat Melayu yang bagus seperti tidak membenarkan anak pulang lewat dari waktu Maghrib. Anak diajar menghormati dan ringan tulang menolong orang dewasa, menjaga adik-adik yang masih kecil, tidak meninggikan suara dan sebagainya.

“Paling ketara, silibus akademik sekolah sudah jauh berbeza hari ini daripada apa yang dihadapi pelajar 10 tahun dulu. Hal ini juga selari dengan situasi di rumah. Banyak perubahan yang berlaku dalam membina institusi keluarga. Kesan pembangunan era digital, ibu bapa mempunyai banyak pilihan di Internet untuk mendidik anak masing-masing,” katanya.

Uniknya, perubahan pantas ini menyentuh setiap aspek pendidikan anak. Bayangkan jika kita terasing daripada dunia untuk lima tahun kebelakangan ini, tentunya bingung memikirkan arah dan punca untuk bergerak seiring perubahan gaya hidup kini.

Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak juga tidak ketinggalan pesatnya. Semakin banyak tadika menawarkan kaedah naturalistik dan Islamik. Tadika kini tidak lagi terlalu memberatkan pencapaian akademik pantas, sebaliknya menekankan perkembangan psikologi dan kognitif kanak-kanak terlebih dulu supaya mereka bersedia untuk melangkah ke alam persekolahan yang kian mencabar.

Mendidik di era digital

Menyentuh mengenai tumbesaran anak, Ruby berkata, proses mendidik si manja sepatutnya bermula sejak dari dalam kandungan lagi. Pada usia kehamilan mencecah umur 24 minggu, sel-sel organ pendengaran akan mula berfungsi dan memberi tindak balas.

“Ibu yang selalu menggunakan ayat positif dan mendengar kata-kata positif pastinya memberikan kesan serupa kepada kandungannya.

“Sementara anak juga memerlukan keupayaan kognitif untuk memahami rutin harian seperti waktu makan, mandi, tidur dan sebagainya. Semakin ibu bapa konsisten dengan rutin harian anak, semakin mudah jugalah untuk anak faham bahawa dia mesti patuh dengan aturan yang dibuat.

“Jika rutin selalu berubah, umpamanya ibu bapa kerap keluar membeli-belah pada waktu malam, masa solat tidak konsisten dan sebagainya, anak akan mudah marah. Ketika inilah masalah tantrum muncul. Anak mudah melemparkan rasa tidak puas hati apabila disuruh kembali mengerjakan rutin harian yang ditinggalkan,” katanya.

Jelas Ruby, anak memerlukan peraturan untuk menjalani kehidupan yang teratur. Untuk itu, ibu bapa mestilah mengambil inisiatif, mewujudkan batasan undang-undang di rumah dan memastikan semua ahli keluarga mengikut peraturan ditetapkan.

“Contohnya, semua ahli keluarga perlu makan di meja atau dilarang minum sambil berdiri. Ibu bapa harus konsisten dan bekerjasama. Hal yang paling kerap berlaku kini apabila bapa terlalu memanjakan anak dan hanya ibu saja yang menjadi ‘polis’ di rumah. Akhirnya, usaha jadi sia-sia.

“Sama halnya dengan gajet. Penggunaan skrin seperti televisyen, telefon bimbit dan tablet, boleh memberi kesan negatif kepada tumpuan visual si manja. Malah, ramai kanak-kanak didapati mengalami lewat perkembangan pertuturan bahasa akibat penggunaan gajet.

“Selalunya, kanak-kanak ini didedahkan dengan gajet seawal umur satu hingga dua tahun lagi. Pada waktu ini, sel-sel otak sedang pesat berkembang. Mereka sepatutnya mengenal dunia menerusi deria pendengaran, penglihatan, rasa, sentuhan, keseimbangan dan bau.

“Namun, apabila kanak-kanak tidak dilarang menggunakan gajet berlebihan, bebas meneroka tanpa kawalan ibu bapa, rangsangan deria juga menjadi terhad kepada apa yang ditonton semata-mata. Rangsangan visual pula hanya fokus kepada input yang cerah, menarik, cepat bertukar dan disertai bunyi menarik.

“Hakikat di dunia nyata bukanlah sedemikan rupa. Buku cerita hanyalah naskah bergambar tanpa bunyi, pokok bunga hanyalah bunga, daun, batang dan ranting. Kanak-kanak akan mudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada persekitaran berikutan tidak memiliki ciri sebagaimana digambarkan gajet kesayangan mereka. Ini termasuk arahan ibu bapa dan guru di dalam kelas,” katanya.

Ibu bapa contoh cerminan anak

Jika merujuk kepada artikel keibubapaan di majalah dan Internet, banyak pandangan serta nasihat yang menyuruh ibu bapa mengelak daripada menggunakan kata ‘no’, tidak boleh’ mahupun ‘jangan’ ketika melarang anak-anak berbuat sesuatu yang salah. Hal ini dikatakan boleh menyebabkan kanak-kanak semakin melakukan apa yang dilarang.

Kata Ruby, beliau secara peribadi lebih suka merujuk kepada al-Quran terlebih dahulu, sebelum merujuk kepada sumber kajian manusia.

“Di dalam al-Quran, banyak kata peringatan digunakan, termasuk yang positif dan negatif. Ada ayat positif dimulakan seperti ‘bersyukurlah’ atau ‘bertakwalah’ dan ada pula ayat negatif digunakan seperti ‘janganlah’ atau ‘tidak boleh’.

“Bagi kanak-kanak di bawah usia tiga tahun, mereka belajar dari apa yang mereka lihat. Ini bermakna, ibu bapa adalah contoh cerminan untuk anak. Mereka akan meniru apa yang dilihat.

“Jika bapa merokok, anak mungkin akan memegang pensel ke mulut dengan gaya merokok. Jika ibu menjerit sambil memegang penyangkut baju, anak juga akan melakukan yang serupa.

“Pada usia muda ini, agak sukar untuk ibu bapa mengharapkan anak mengikut sepenuhnya arahan verbal yang diberikan sekiranya tidak dijadikan rutin harian. Namun, fitrah kanak-kanak tetap akan bereksperimen kerana semangat ingin tahu yang sangat tinggi.

“Jadi, tidak salah untuk ibu bapa berkata ʽjanganʼ atau ʽtidakʼ boleh kepada anak selagi ia memang ada dalam peraturan keluarga. Bercakaplah dengan nada tegas, pandang ke matanya dan terangkan akibat yang mungkin terjadi,” katanya.

Jelas beliau, apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Ibu bapa banyak membebel panjang, menggunakan kata sindiran dan sempat pula membanding anak dengan adik-beradik lain. Akibatnya, nasihat yang cuba disampaikan tidak diterima masuk ke otak si anak.

“Kita selalu lihat, ada ibu bapa yang berkata ‘tidak’, tetapi bibirnya tersenyum, nadanya seolah-olah bergurau. Begitu juga yang kata ‘jangan’ sambil terjerit-jerit, umpama orang mengamuk yang sukar dikawal.

“Dalam situasi begini, anak akan jadi bertambah ‘seronok’ dan akan mengulang lagi perbuatannya untuk melihat reaksi ibu bapa yang seterusnya,” katanya.

Ruby berkata, beliau tidak menafikan pentingnya teguran positif untuk anak, malah pastinya banyak manfaat untuk ibu bapa terus menyebut arahan seperti letak, simpan, bagi mama, duduk dan sebagainya.

“Namun secara pribadi, saya tetap menggalakkan ibu bapa menggunakan kedua-dua jenis teguran positif dan negatif untuk mendidik anak, bergantung kepada situasi yang berlaku.

“Contohnya apabila anak sudah mengoyak buku, teguran ibu boleh jadi begini, ‘tidak boleh koyak buku. Buku untuk baca. Sayang bila buku sudah rosak’. Bagaimanapun, jika belum berlaku dan ibu sempat melihat perilaku anak hendak mengoyak buku, gunalah teguran dengan ayat positif. Ajar mereka dengan kata-kata nasihat, supaya buku dibuka dengan elok dan dijaga supaya tidak rosak,” katanya.

Psikologi terbalik perlu bimbingan

Satu lagi kaedah yang kerap dikaitkan dalam usaha membentuk sikap patuh anak-anak adalah reverse psycology atau psikologi terbalik. Tidak bermaksud ya atau sebaliknya, Ruby menegaskan bahawa kaedah itu memerlukan penelitian tinggi berikutan ia mungkin tidak sesuai untuk semua kanak-kanak.

Malah katanya, ibu bapa perlu mengelak menggunakan kaedah ini melainkan jika anak sudah terlalu degil dan sukar mendengar kata walau sudah dipujuk.

“Kebiasaannya kaedah ini mula digunakan apabila anak sudah masuk ke alam remaja. Pada waktu ini, anak sudah memiliki daya fikiran tersendiri dan suka belajar daripada pengalamannya saja. Kata-kata ibu bapa tidak lagi menjadi panduan utama, sebaliknya lebih percayakan rakan atau cikgu sekolah.

“Apabila berdepan dengan anak begini, ibu bapa perlu bijak memberikan beberapa pilihan kepada anak. Beri mereka peluang untuk berfikir dan memilih serta memahami akibatnya daripada keputusan yang dibuat.

“Jika ibu bapa sudah mula menggunakan kaedah ini pada anak kecil (bawah tujuh tahun), mereka umpama mendidik anak menjadi seorang yang suka melawan arahan orang tuanya,” katanya.

Bagaimanapun kata Ruby, hanya ibu bapa saja yang mengenali sifat dan peribadi anak masing-masing. Jika pasangan suami isteri dikurniakan tujuh anak sekalipun, setiap seorang daripadanya pasti memiliki personaliti berbeza. Ada anak yang akan memberi reaksi baik apabila ibu bapa berlembut, namun ada juga sebaliknya.

“Pada usia tiga tahun ke bawah, ibu bapa seharusnya lebih banyak berlembut dengan anak. Membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan kemanjaan. Pada usia ini anak masih belajar untuk memahami dan bercakap.

“Tetapi, pada usia empat tahun ke atas, anak sudah lancar bercakap dan bercerita. Pada umur ini, ibu bapa mestilah lebih bertegas untuk memastikan anak patuh pada peraturan keluarga. Jika berlaku konflik, ibu bapa boleh mengajak anak untuk berbincang secara dua hala dan mendengar luahan hatinya,” katanya.

Lima perkara utama dalam mendidik anak

• Ibu bapa perlu menjadi contoh.

• Wujudkan peraturan yang dipersetujui secara bersama (suami isteri).

• Konsisten melaksanakan undang-undang keluarga. Tentukan sama ada ganjaran atau hukuman.

• Tidak bersikap pilih kasih.

• Pastikan perbincangan dua hala bersama anak apabila berlaku konflik. Beri anak ruang untuk bercakap.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 12:49pm
d