hati

Cantiknya ibu!

Oleh Siti Zarinah Sahib

Mereka melalui pengalaman penuh getir apabila terpaksa membesarkan anak tanpa suami di sisi. Berbekalkan semangat dengan kudrat seorang diri, kebanyakan ibu tunggal terpaksa melupakan seketika kepentingan diri demi memastikan anak hidup dalam keadaan sempurna fizikal dan mental.

Justeru, apabila barisan Perunding Kecantikan Bebas, Mary Kay mengadakan program tranformasi diri kepada 10 ibu tunggal, ia cukup mengujakan dan menjadi pengalaman berharga. Mana tidaknya jika sebelum ini produk solekan berada di tempat terakhir dalam senarai barangan keperluan tetapi apabila diberikan peluang wajah ditatarias oleh jurusolek Mary Kay, ia memberikan kegembiraan yang sukar digambarkan.

Tatkala jurusolek menyapu bedak, melayangkan pembayang mata dan celak, senyuman manis jelas terpancar di wajah mereka. Mungkin ini kali pertama wajah dibelai dan didandan cantik perunding solekan.

Menurut Pengurus Besar Mary Kay Malaysia & Singapura, Khor Lee Fan, sejak lebih 50 tahun lalu, Mary Kay Inc memberi komitmen untuk memperkasa wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia. Antara program yang diadakan adalah perubahan gaya diri menerusi sesi solekan bersama ibu tunggal.

“Kelas transformasi diri anjuran Mary Kay ini menjadi pengalaman yang cukup memberangsangkan bagi ibu tunggal kerana selama ini mereka melalui liku kehidupan penuh onak dan duri demi membesarkan anak-anak. Ada antara mereka langsung tiada masa memikirkan penampilan diri. Cukup sekadar memakai apa yang ada,” katanya.

Acara ini dikendalikan Perunding Kecantikan Bebas Mary Kay bersama HOPE Malaysia Worldwide yang menyasarkan ibu tunggal. Ia pernah diadakan pada tahun lalu dan kempen ini membabitkan andaman daripada hujung rambut hingga hujung jari kaki serta pemberian baucar membeli-belah. Ketika ibu didandan cantik, anak kesayangan mereka turut menyaksikan acara ini yang memberikan rasa bangga dalam diri setiap orang.

Menerusi gagasan Pink Changing Lives: Beauty That Counts, ia berjaya meraih RM30,000 melalui jualan kebajikan Giving Heart Cheek Powder. Hasil jualan ini kemudiannya disalurkan kepada HOPE Worldwide Malaysia bagi menambah baik kehidupan wanita dan kanak-kanak yang benar-benar memerlukan.

“Menerusi kempen Mary Kay Pink Changing Lives, kami berasa sangat gembira kerana dapat memberi sumbangan kepada ibu tunggal. Melihat senyuman manis yang terukir pada wajah ibu tunggal dan anak kesayangan mereka, ia memberikan kepuasan. Saya berharap pengalaman yang diberi dan disalurkan ini dapat membantu dalam memperkasa wanita hebat ini serta mengingatkan mereka betapa pentingnya memelihara kecantikan dan nilai diri,” kata Lee Fan.

Selain itu, program seumpama ini juga dapat menyemai tanggungjawab agar memberikan kebahagiaan kepada insan lain selaras falsafah Mary Kay iaitu memberikan kegembiraan kepada orang lain. Falsafah ini diteruskan dalam setiap program diadakan dan menjadi tonggak jenama berkenaan.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 12:46pm
d