hati

Cantik bukan sekadar rupa

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Apa takrifan cantik yang sebenar? Sukar untuk memberikan takrifan khusus mengenai kecantikan kerana setiap orang mempunyai kecantikan tersendiri.

Walaupun secara umumnya ramai menjadikan ciri kulit cerah, mulus, bertubuh langsing, tinggi lampai dan bermuka comel sebagai antara takrifan utama kecantikan.

Apa yang membuatkan seseorang wanita itu cantik? Banyak, antaranya ialah keyakinan terhadap diri sendiri, kesungguhannya, sikapnya yang merendah diri dan bersopan santun, bijak berbicara dan mempunyai pengetahuan luas mengenai hal semasa yang berkaitan banyak perkara - bukannya terhad kepada kecantikan, fesyen mahupun hiburan semata-mata.

Namun ciri yang tidak kurang penting ialah keberaniannya memaparkan wajah semula jadi tanpa solekan. Bagaimanapun ini bukanlah menolak keperluan berdandan kerana solekan dan dandanan memang mempunyai ‘kuasa’ dalam membantu meningkatkan keyakinan seseorang.

Bagaimanapun kecantikan itu terlalu subjektif sifatnya. Mungkin pada mata kasar seorang itu dilihat cantik, namun tidak semestinya pandangan itu dipersetujui individu lain.

Pada sesetengah orang, wanita berkulit hitam manis itu lebih memikat dan ‘eksotik’. Malah yang berkulit sawo matang pun boleh tampil menarik dan lebih memikat jika bijak mengenakan solekan, apatah lagi pada hari penting dalam hidup seseorang.

Ya, kuasa solekan memang boleh mengubah penampilan seseorang. Dengan solekan bersesuaian, pastinya penampilan diri kelihatan menyerlah terutama sekiranya ia dipadankan dengan busana indah yang melengkapkan gayanya.

Menurut jurusolek profesional, Badariah Barahim, solekan mempunyai kuasa luar biasa yang dapat mengubah wajah dan penampilan seseorang.

“Menggunakan khidmat jurusolek ataupun sekiranya mahu menyolek wajah sendiri, perlu dititikberatkan bentuk wajah serta kelebihan dan kekurangan yang anda miliki.

“Setiap kelebihan perlu ditonjolkan manakala kekurangan perlu disembunyikan dan semua ini mampu dihasilkan melalui solekan,” katanya.

Badariah berkata, solekan asas perlu diketahui sekiranya mahu bersolek sendiri. Apa yang utama ialah keyakinan kerana kecantikan lebih terserlah melalui keyakinan diri terutama ketika berdepan dengan khalayak.

“Jangan sesekali berasa rendah diri dan beranggapan diri anda tidak cantik walaupun selepas disolek kerana kecantikan itu subjektif. Semua wanita mampu tampil cantik menawan,” ujarnya.

Pada masa sama, Badariah turut menyarankan memberi tumpuan pada mata kerana permainan solekan pada bahagian itu mampu mewujudkan impak memukau.

“Kenal pasti bentuk mata dan sesuaikannya dengan solekan, warna pembayang mata dan penggunaan celak kerana semua elemen itu perkara asas dalam solekan mata,”katanya.

Berikut Badariah berkongsi langkah mudah solekan menawan yang mudah dan ringkas namun mampu mengubah wajah anda kelihatan lebih menyerlah.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 1:40pm
d