hati

Si kecil berbakat besar

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kepetahannya berbicara dengan aksi bersahaja mencuit hati. Sikap yang mudah mesra dan ceria ditunjukkan Adrianna Qasmia Shahrizal membuatkan sesi penggambaran berjalan lancar.

Ditemani ibunya, Tina Gaus, lagaknya yang berkeyakinan dan sentiasa tersenyum manis melambangkan dirinya yang berani serta biasa berdepan dengan kamera.

Tanpa membuang masa yang banyak, pelbagai aksi ceria dan manis diberikan Adrianna Qasmia di depan kamera walaupun dia baru berusia lima tahun. Kebiasaannya, sesetengah anak kecil usia begitu agak malu untuk beraksi depan kamera dan bertemu orang baru, namun ia berbeza bagi personaliti comel ini.

Biarpun baru memulakan sesi persekolahan awal tahun lalu, kesibukan Adrianna dalam lakonan tidak menjejaskan waktunya di sekolah dan masa untuk berehat.

Mengimbau kenangan silam, Tina akui dia dulu pernah aktif dalam bidang lakonan sebagai pelakon tambahan kerana minat.

“Namun, selepas berkahwin saya tidak lagi aktif berlakon. Tanpa disangka Adrianna mengikut jejak langkah dalam bidang lakonan dan saya sangat gembira.

“Sejak usia dua tahun lagi dia sudah menunjukkan minatnya dalam nyanyian dan lakonan. Bakatnya itu dilihat apabila dia gemar membuat pelbagai reaksi muka di depan cermin dan tidak malu menyanyi lagu digemari.

“Saya pula suka melihat kanak-kanak beraksi dan apabila mendapat tahu ada peluang mencari bakat baru, saya segera bawa Adrianna ke sesi uji bakat ketika usianya empat tahun,” katanya.

Tanpa disangka, Adrianna berjaya dalam uji bakat berkenaan dan selepas sebulan, dia mula berlakon. Awalnya, tidak dinafikan anak bongsu daripada empat beradik itu agak gementar, namun kehadiran ibu yang setia di sisi memberi keyakinan untuk meneruskan lakonan.

Sejak itu juga, Adrianna menerima tawaran iklan komersial dan kini biarpun baru setahun jagung, namanya semakin dikenali manakala bakatnya kian menyerlah.

Bagi memberi semangat dan memastikan anaknya bersedia dalam setiap sesi penggambaran, Tina akan menjalankan peranannya. Dia akan membacakan skrip dan memastikan Adrianna mengingati setiap baris ayat yang perlu dihafal.

“Anak saya tidak akan mengikut skrip sepenuhnya sebaliknya dia akan jadikan ayat berkenaan lebih sedap didengar. Awalnya, saya agak bimbang jika ia tidak dapat diterima oleh pengarah, namun mereka memberi kelonggaran kepada Adrianna untuk menggunakan dialog yang lebih selesa agar lakonannya tidak kaku.

“Oleh itu, saya akan pastikan sehari sebelum sesi penggambaran bermula Adrianna sudah dapat menguasai wataknya bagi memudahkan dirinya berlakon dengan lancar,” katanya.

Jelasnya, bagi memberi semangat dan menjaga keselamatan serta kebajikan anaknya, Tina akan memastikan dirinya sentiasa bersama di set penggambaran hinggalah sesi Adrianna tamat.

Didik anak bersederhana

Adrianna sedikit berbeza daripada kakak dan abangnya. Dia lebih peramah, berani dan begitu meminati bidang lakonan. Dia sangat teruja dan gembira apabila dapat berlakon serta beraksi di depan kamera.

Malah, Tina juga tidak pernah memaksa anak bongsunya itu untuk berlakon dan kebiasaannya lebih suka mengikut kehendak anak memilih watak bersesuaian.

Memandangkan Adrianna mula bersekolah awal tahun ini, Tina perlu bijak bahagi masa agar anaknya tidak terlalu letih hingga memberi kesan kepada dirinya.

Awal persekolahan memang agak sukar dan diakui sedikit terganggu. Namun, lama-kelamaan selepas berbincang dengan pihak sekolah mereka dapat menyesuaikan waktu lakonan dan persekolahannya dengan seimbang.

Adrianna yang mempunyai hobi melukis dan menyanyi ini sukakan cabaran serta tidak gentar dengan persaingan. Dia akan cuba sedaya upaya melakukan sesuatu perkara baru dengan sebaik-baiknya.

“Saya akui, Adrianna pernah meluahkan rasa penat kerana ada kalanya habis penggambaran berlanjutan hingga jam 2 atau 3 pagi. Selepas itu, saya cuba berbincang dengan kru agar sesi penggambaran dapat dihabiskan sebelum jam 12 tengah malam.

“Pada masa sama, saya akan pastikan Adrianna ada masa untuk berehat daripada berlakon bagi memastikan dia tidak terlalu penat dan mengelakkannya tertekan,” katanya.

Tidak dinafikan sejak Adrianna aktif berlakon, Tina juga perlu menguruskan masanya dengan bijak agar tugasan di rumah dan semua keperluan tiga lagi anaknya tidak terabai.

Selain menguruskan masa dengan baik, Tina juga sangat menjaga penampilan Adrianna ketika keluar rumah kerana pelakon cilik itu kini menjadi perhatian ramai.

Malah, Tina juga tidak lupa mendidik anak dengan sikap sederhana dalam penampilan selain menjaga tingkah laku agar tahu membezakan antara perkara yang positif dan negatif bukan mencari glamor semata-mata.

Selain Adrianna, dua abangnya juga aktif terbabit dalam iklan komersil. Oleh itu, dia tidak menghalang jika anak mahu meneruskan minatnya dalam dunia lakonan asalkan masa belajar mereka tidak terabai.

“Bagi saya, jika ingin menggalakkan anak menceburi apa saja bidang, pastikan mereka mempunyai minat. Jika ibu saja minat tetapi anak tidak, kita tak boleh paksa mereka berlakon.

“Kesannya juga sangat berbeza jika ibu atau bapa mempunyai minat sama dengan anak, pasti si kecil lebih bersemangat dan gembira melakukan perkara yang diminati.

“Pada masa sama, anak dan ibu bapa perlu bersedia menguruskan masa dengan baik bagi mengelakkan kedua-dua pihak tertekan serta memastikan semua perkara yang perlu dilakukan disempurnakan dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 2:49pm
d