hati

Selesa untuk sebarang acara

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kekurangan pilihan pakaian kemeja-T dalam industri fesyen tempatan untuk lelaki dan wanita khususnya pasangan suami isteri yang menutup aurat menjadikan jenama fesyen tempatan Harash muncul dengan busana santai sedondon.

Koleksi patuh syariah itu turut mempunyai pilihan baju untuk kanak-kanak supaya mereka dapat bergaya senada dengan ibu bapa.

Menurut pengasas Harash Aida Rahayu Mohd Badri, dengan menggunakan fabrik kapas campuran, koleksi sedondon itu memberikan keselesaan kepada pemakai ketika digayakan tanpa mengira acara.

Menurutnya, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu RM55 hingga RM65 bagi koleksi lelaki dan wanita juga RM35 untuk koleksi kemeja-T kanak-kanak.

“Bagi dewasa, ia didatangkan dalam saiz bermula S hingga 4XL manakala untuk kanak-kanak pula bermula saiz 22 hingga 34.

“Kami juga menawarkan beberapa pilihan rekaan antaranya warna ‘Happiness’ iaitu kombinasi kelabu dan oren juga warna ‘Ship of Marriage’ iaitu hitam dan kelabu,” katanya.

Aida Rahayu berkata, sejak berada di pasaran bermula Jun 2013, jenamanya menawarkan pelbagai pilihan koleksi pakaian untuk seisi keluarga.

“Kami menyasarkan pelanggan dalam kalangan keluarga Muslim untuk memiliki koleksi kemeja-T ini supaya mereka boleh bergaya sopan.

“Saya berharap koleksi ini mampu membantu setiap keluarga yang mahukan koleksi sedondon untuk seisi keluarga namun ia juga boleh dibeli secara asing mengikut pilihan pelanggan itu sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 4:12pm
d