hati

Curi tumpuan awam

Oleh Siti Zarinah Sahib

Segak berpakaian seragam sambil menunggang kuda di kawasan perumahan menyebabkan anggota polis wanita Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi perhatian.

Mereka bukan saja ‘diminati’ kanak-kanak, malah golongan dewasa turut memberhentikan kenderaan untuk melihat lebih dekat sambil mengambil gambar dan berswafoto bersama. Ada pula teruja melihat haiwan berlari pantas ini secara lebih dekat. Mungkin tertanya-tanya mengapa ia berada di tengah-tengah bandar dan bukan seperti kebiasaannya dalam acara tertentu.

Walaupun kelihatan tugas dijalankan sepasukan polis wanita ini nampak mudah, bagi mereka yang ditugaskan mengendalikan haiwan beremosi ini terutama kaum hawa ia menuntut kemahiran tinggi, fokus pada persekitaran serta berupaya berhadapan apa juga masalah khususnya di kawasan tumpuan ramai.

Menurut Inspektor Rozita Mohd Duary, setakat ini dalam mengendalikan tugas rondaan cegah jenayah, pasukannya (wanita) belum pernah berhadapan situasi yang sukar dikawal.

“Kami di Unit Berkuda PDRM sentiasa mematuhi latihan untuk kuda agar semuanya dididik menjadi haiwan yang tidak agresif dan senang melakukan apa juga tugasan.

“Kuda juga mempunyai sifat seperti manusia, ada kala beremosi. Oleh itu, antara perkara yang perlu dilakukan adalah memantau mood atau emosi kuda pada waktu pagi, termasuk kesihatannya selain memastikan kuda yang dibawa benar-benar sihat,” ujarnya.

Katanya lagi, jika dulu haiwan ini sukar dilihat di tempat awam tetapi bermula dalam skala kecil pada Ogos 1984 dengan kekuatan seorang pegawai, lapan anggota dan lapan ekor kuda, unit ini dikembangkan dengan lebih besar pada Februari 2003. Pada 2007 unit berkuda wanita pertama ditubuhkan dengan mengetuai perbarisan Hari Kebangsaan sebagai tugas pertama.

“Menggunakan kuda untuk rondaan membuatkan polis lebih dekat dengan masyarakat dan menjadi tarikan pelancong. Selain pergerakan rondaan lebih senyap, ketinggian haiwan ini membolehkan kami membuat rondaan dan pemeriksaan sehingga ke dalam halaman rumah penduduk yang berpagar.

“Jika rondaan menggunakan motosikal atau kereta, pandangan anggota bertugas agak terhad. Berbeza dengan kuda, pandangan menjadi lebih luas dan nampak dari ketinggian kuda yang mencecah lapan kaki,” katanya.

Sebagai Penolong Pegawai Unit Berkuda bukanlah sesuatu yang mudah apabila ditugaskan ke bahagian ini. Ia memerlukan minat dan semangat yang tinggi. Apatah lagi tugas bagi anggota wanita tiada bezanya dengan lelaki.

“Semua latihan, penugasan dan aktiviti dijalankan setanding dengan tugas anggota lelaki Unit Berkuda PDRM. Ini menunjukkan perkembangan polis wanita masa kini terutamanya Polis Wanita Unit Berkuda PDRM terserlah menerusi pencapaian dan pengiktirafan dengan Polis Lelaki Unit Berkuda PDRM,” jelasnya.

Penyertaan dalam perarakan bersempena Hari Kebangsaan ke-50 pada 2007 menjadi pengalaman manis yang sukar dilupakan. Ini kerana berada dalam unit ini memerlukan individu menerima setiap permasalahan dan mencari penyelesaiannya bagi memastikan perjalanan pentadbiran berada dalam keadaan sempurna.

“Peranan dan tanggungjawab semua pihak bermula daripada pegawai, anggota dan kakitangan awam menjadikan tugas pengurusan dalam unit ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya yang mula berkhidmat dalam Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan pada 1 Mac 2017. Sebelum ini dia menyandang jawatan sebagai pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Jatuh kuda perkara biasa

Bagi Konstabel Nor Amalina Esak, dia mula menyertai Unit Berkuda PDRM sebaik saja mengakhiri latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Ogos 2014.

“Sebelum ini saya tidak pernah menunggang kuda dan takut berhadapan haiwan ini namun lama-kelamaan latihan yang diberikan menyebabkan semakin mahir mengendalikannya terutama di khalayak ramai.

“Selama tiga bulan saya diberikan kuda jantan diberi nama Maffy. Saya perlu menguruskan Maffy sepenuhnya bermula dengan menjaga kesihatan, makan, minum dan kebersihannya. Lama-kelamaan saya semakin memahami emosi kuda dan bijak mengendalikannya,” katanya yang berasal dari Perak.

Bertugas dalam Unit Berkuda membuatkan Nor Amalia cergas. Ini kerana setiap hari dari jam 8.30 sehingga 9.30 pagi dia perlu menunggang kuda kemudian membuat rondaan di kawasan perumahan dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Walaupun pernah berhadapan cacat kekal pada jari tangan akibat terjatuh dari kuda namun dia beranggapan ia perkara biasa bagi anggota polis yang ditugaskan dalam Unit Berkuda PDRM.

Gemar latihan mencabar

Melihat Koperal Noratika Bakar mengendalikan Bahie iaitu kuda daripada baka kuda lumba ia sememangnya memerlukan kesabaran dan disiplin tinggi. Ini kerana kuda lumba lebih agresif, mempunyai sifat ingin berlumba dan sentiasa mahu ke hadapan.

“Sejak berada dalam unit berkuda dua tahun lalu, saya semakin jatuh cinta dengan haiwan ini. Sebagai anggota polis yang ditugaskan dalam unit berkuda, kami dimestikan mengendalikan kuda sendiri dan kuda yang lain.

“Latihan bermula awal pagi dengan latihan kecergasan seperti berlari mengikut masa ditetapkan, kemudian aktiviti menunggang pada waktu pagi dan petang serta mendaki bukit untuk memantapkan stamina.

“Kami juga perlu memastikan kuda berada dalam keadaan sihat, memandikannya, memberi ubat dan juga mencantikkan kuda masing-masing,” katanya.

Perlu bijak kendalikan kuda

Pengalaman terjatuh ketika menunggang kuda tidak mematahkan semangat Konstabel Rasidah Anggol, untuk terus berada dalam unit ini. Malah latihan intensif yang dilalui ketika minggu pertama menyebabkan dia semakin mahir mengendalikan ‘Lily’ bukan saja aspek fizikal tetapi emosi.

“Untuk menyertai pasukan ini, kami perlu berani. Ini kerana latihan yang kami lalui tidak membezakan di antara lelaki dan wanita, begitu juga bidang tugas. Ia sama seperti pasukan polis trafik yang menggunakan motosikal tetapi kami menunggang kuda sebagai aset hidup,” katanya yang ditugaskan melakukan rondaan di kawasan perumahan di Serdang, perlawanan bola sepak dan juga Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Jelas Rasidah, ketika berhadapan orang awam, setiap pegawai perlu bijak mengendalikan haiwan ini agar tidak terkejut yang boleh menyebabkan kuda bertindak ganas.

“Biasanya ramai yang teruja terutama apabila melihat kami berpakaian seragam lengkap membuat rondaan. Ada ingin mengambil gambar dan menyentuhnya. Kadang-kadang ia di luar kemampuan untuk menghalangnya. Di sinilah kami perlu bijak berinteraksi dengan kuda agar fungsi asal rondaan untuk mencegah jenayah tercapai,” katanya yang menyertai Unit Berkuda PDRM sejak Ogos 2014.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 1:33pm
d