hati

Tampil unik dengan solekan urban

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Solekan urban hari ini lebih sinonim dengan calitan wajah untuk tujuan peragaan di pentas fesyen. Gaya yang diketengahkan lebih menonjol dengan penekanan khusus mengikut gaya etnik, jalanan elegan atau sofistikated.

Sekali imbas, solekan fesyen boleh diumpamakan sebagai kanvas besar yang diberi sentuhan bebas, mengikut tema peragaan. Jarang sekali jurusolek terikat dengan disiplin untuk menyerlahkan wajah yang dirias.

Sedikit sebanyak, gaya bebas dalam solekan fesyen membawa pengaruh besar dalam gaya urban hari ini. Berbanding gaya solekan untuk menyerlahkan rupa menawan, wanita kini lebih terarah untuk menonjolkan keunikan dalam penampilan.

Mereka kian berani mencuba gaya baru dengan menggabungkan ciri solekan fesyen dan urban untuk menonjolkan riasan semula jadi tetapi masih sofistikated.

Menurut jurumekap artis, Nor Syazwanie Sulaiman, solekan urban kini mendapat perhatian ramai kerana bukan saja sesuai untuk pentas peragaan, tetapi boleh menonjolkan penampilan di majlis glamor seperti penganugerahan berprestij, karpet merah dan makan malam bertema.

“Secara asasnya, solekan urban bukanlah gaya mekap untuk cantik. Ia lebih kepada pilihan gaya baru dengan mengambil inspirasi daripada penampilan selebriti terkenal luar negara.

“Di Hollywood umpamanya, mereka memilih solekan yang menonjol untuk digayakan bersama busana ringkas dan begitulah sebaliknya.

“Hari ini ramai selebriti tempatan dan mereka yang suka bergaya juga sudah mula mencontohi disiplin yang sama. Malah, mereka juga semakin bijak menggabungkan ciri solekan supaya penampilan nampak lebih menonjol dan harmoni,” katanya.

Jelas Nor Syazwanie, sekali pun mekap urban lebih terarah kepada gaya berani, namun ia masih sesuai untuk digayakan ke mana saja, sama ada siang atau malam, bergantung kepada sapuan alat solek yang boleh diubah pada pemakaian pembayang mata.

“Kebiasaannya, gaya solekan ini akan menonjolkan susuk wajah sempurna dengan fokus sama ada di bahagian mata atau bibir.

“Teknik solekan juga sedikit berbeza dengan perincian lebih tajam di bahagian tulang pipi, dahi dan hidung untuk menyerlahkan bentuk wajah sempurna.

“Solekan pula tidaklah terlalu tebal, sebaliknya diadun secara berperingkat untuk mendapatkan hasil kemasan yang seimbang dan semula jadi,” katanya.

Ujar wanita muda ini, dia lebih menitikberatkan pemakaian asas solekan untuk mendapatkan hasil sempurna. Mengambil kira perbezaan pada keseimbangan kulit setiap orang, Nor Syazwanie biasanya fokus kepada pemakaian pelembap, diikuti serum untuk mendapatkan ‘permukaan’ wajah lebih anjal dan sekata.

“Serum berfungsi mengunci bedak asas daripada merekah dan nampak senada. Bagi memastikan pemakaian bedak asas lebih semula jadi, sebaiknya basahkan dulu span dan aplikasi dengan kaedah menekap lembut ke kulit.

“Untuk bahagian bawah mata, adun penyamar noda dengan bedak asas supaya nampak lebih semula jadi,” katanya.

Melengkapkan gaya urban, Nor Syazwanie berkata, individu perlu memilih sama ada memberi fokus kepada bahagian atas wajah (mata) atau bawah (bibir).

“Fungsi mekap adalah untuk mengubah wajah mengikut kesesuaian majlis. Jika muka sudah sedia terbentuk, anda boleh mengurangkan penggunaan pembayang supaya wajah tidak nampak aneh.

“Ini penting kerana solekan urban bersifat menonjolkan lagi bentuk tiga dimensi wajah. Jika anda keterlaluan membentuk, dikhuatiri hasilnya tidak sempurna sebagaimana diinginkan.

“Ketika proses mengkontur wajah dengan teknik pembayang di bahagian tulang pipi, hidung dan tepi muka, sebaiknya adun rona cerah terlebih dulu sebelum gelap.

“Selesai mengadun warna, pilih bedak tabur lut cahaya untuk mengawal proses solekan,” katanya.

Di bahagian mata, beri perhatian pada asas solekan dengan menyapu krim pelembap. Gunakan pensil mata jenis krayon untuk hasil lebih baik.

Sementara kening pula, gunakan celak rona gelap untuk membentuk bahagian tengah ke hujung dan sempurnakan dengan sapuan celak coklat keperangan di bahagian pangkal hingga ke tengah.

Pastikan sapuan alat solekan yang digunakan diadun dengan rata dan tampak bersih untuk memastikan penampilan wajah tampil anggun ketika di dalam gambar mahupun secara langsung.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 1:26pm
d