hati

Berhenti kerja demi anak leukemia

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kehadiran anak anugerah terindah dalam melayari bahtera rumah tangga bersama pasangan. Namun, tempoh membesarkan anak bukan perkara mudah. Pastinya, pelbagai cabaran yang menguji kesabaran ibu bapa perlu dihadapi.

Setiap ibu bapa diuji dengan cabaran berbeza termasuk dari segi kesihatan anak. Sesetengah ibu bapa sering kali merungut jika mereka terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana kesihatan anak terganggu disebabkan tekanan daripada majikan ataupun tugasan menimbun yang perlu disiapkan.

Namun, pernahkah kita terfikir anak kecil yang dianggap sebagai permata hati itu lebih memerlukan kehadiran ibu bapa di sisi, sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit ketakutan hati dan menjadi penguat semangat mereka?

Justeru, suami isteri perlu mempunyai persefahaman, bertolak ansur dan bertanggungjawab dalam menguruskan anak terutama jika si kecil mempunyai masalah kesihatan yang agak kronik bagi mengelak konflik serta perselisihan faham dengan pasangan.

Bantu jaga anak

Bagi Naha Syahril Hanafiah, 34, dia tidak kisah untuk mengambil alih tugas menjaga anak sulungnya di wad ketika perlu menjalani rawatan apabila isterinya, Norhidayah Rahman, 30, melahirkan anak kedua mereka pada 29 Februari 2016.

“Sejak anak disahkan mengalami leukemia limfobastik akut (ALL) berisiko tinggi pada Oktober 2015, kami suami isteri menjaganya bersama-sama.

“Namun, apabila isteri melahirkan anak kedua, saya lebih banyak menjaga anak di wad terutama jika dia perlu menjalani rawatan kemoterapi dan sebagainya.

“Akhirnya, saya ambil keputusan berhenti kerja sejak anak disahkan menghidap kanser untuk memberi sepenuh perhatian terhadap penjagaannya,” katanya.

Anak sulungnya, Nurhikmah, 4, yang kini dalam fasa terapi pengekalan disahkan menghidap kanser darah ketika usianya dua tahun.

Selepas disahkan menghidap kanser, Naha Syahril mengakui memang mereka mengeluarkan banyak belanja kerana membabitkan pemasangan alat dan ubat tertentu yang diperlukan dengan harga mencecah RM800 hingga RM900 setiap bulan.

Mengimbas kembali sebelum disahkan leukemia, anak sulungnya itu kerap demam, sekurang-kurangnya sekali sebulan. Kemudian, kekerapan demamnya itu bertambah menjadi seminggu sekali. Biasanya demam anaknya itu tidak mengambil masa lama, namun selepas pulih dalam tempoh dua ke tiga hari, ia menyerang kembali.

Pada masa sama, Nurhikmah sering muntah susu, cepat penat, hidung berdarah dan mudah lebam apabila terjatuh. Apabila didiagnos dengan ALL, anak disarankan menjalani kemoterapi secepat mungkin.

“Kini kekerapan demamnya berkurangan, namun dia terpaksa dikuarantin. Anak saya tidak boleh bercampur dengan kanak-kanak lain dan perlu mengelak berada di tempat yang sesak serta terbuka.

“Oleh itu, kebanyakan masanya dihabiskan di rumah dan hospital. Doktor meramalkan peluang 80 peratus untuk anak saya sembuh dan dibenarkan ke sekolah selepas fasa pengekalan tamat.

“Jika dilihat, dalam sejarah keluarga arwah abah menghidap kanser hati manakala ibu mentua pula mengalami kanser kelenjar dan sudah sembuh serta semakin sihat.

“Namun, doktor mengesahkan penyakit anak saya ini bukan disebabkan keturunan atau sejarah keluarga,” katanya yang kini menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Jelasnya, banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam menjaga amanah yang diberikan itu. Misalnya, perlu memujuk anak untuk makan ubat yang banyak mengikut dos serta masa ditetapkan.

Apabila menjalani kemoterapi pula, banyak perkara yang perlu diberi perhatian termasuk sentiasa memeriksa tahap pH air kencing anak bagi memastikan tiada pendarahan dalaman semasa rawatan dilakukan.

Pada masa sama, ayah kepada dua anak ini juga perlu memastikan Nurhikmah banyak minum air kosong bagi mengelakkan masalah ulser mulut.

Malah, ada juga kesan ubat yang diambil boleh mengubah ‘mood’ anak daripada periang kepada pemarah dan selera makan yang mendadak, dalam jangka masa tertentu dan biasanya seminggu.

“Kami juga perlu pastikan anak sentiasa sihat dan jika demam perlu segera dibawa ke hospital. Dia tidak boleh bercampur dengan kanak-kanak lain kerana dibimbangi dijangkiti demam, selesema, batuk dan sebagainya.

“Kebersihan diri dan sekeliling perlu dijaga setiap masa. Dari segi pemakanan juga perlu dijaga dan tidak boleh makan sesuka hati.

“Anak tidak boleh makan daging, makanan diproses seperti sosej, makanan segera dan minuman berkultur bagi memastikan dia sentiasa sihat serta mendapat nutrisi yang baik,” katanya.

Jelasnya, apabila mempunyai anak yang sakit, mental dan fizikal ibu bapa perlu kuat serta saling memberi sokongan. Ini kerana ibu bapa memainkan peranan dalam memberi sokongan moral serta sentiasa menggembirakan anak walaupun perlu berkorban apa saja.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 3:11pm
d