hati

Bakal diminati ramai menjelang 2018

Oleh Siti Zarinah Sahib

Menyoroti persalinan busana yang ditampilkan barisan model sempena Festival Perkahwinan Kuala Lumpur (FPKL) di Hotel Premiera Kuala Lumpur, baru-baru ini, rekaan Minaz Creation memukau khalayak apabila menyuntik elemen futuristik dan elegan menerusi perincian bunga-bungaan tiga dimensi pada fabrik polos.

Setiap rekaan juga tampil mewah dan tidak terikat dengan gaya perkahwinan tradisional, sebaliknya kelihatan moden setanding jenama antarabangsa yang lain.

Menjelaskan lebih lanjut, Pengasas Minaz Hafiza Abd Hamid berkata, untuk pertunjukan fesyen pengantin kali ini dia menampilkan rekaan yang bakal diminati ramai menjelang 2018.

Cetusan idea ini diambil apabila menyedari kebanyakan mempelai mengimpikan perkahwinan mewah dalam taman namun ia tidak dapat direalisasikan disebabkan kekangan kewangan dan tempat.

“Mengambil kira perkara ini, saya membuat lakaran busana yang mampu menampakkan ciri mewah dan unik sehingga busana itu sendiri menonjolkan elemen yang diinginkan tanpa mengira lokasi acara. Ia bermaksud busana yang anggun sudah mencukupi bagi menjelaskan kemeriahan majlis,” katanya yang suatu ketika dulu terkenal dengan rekaan berunsurkan flora.

Kini elemen tiga dimensi digunakan sepenuhnya dan diperhalusi dengan perincian manik dan batu permata Swarovski yang pastinya menjadikan busana lebih indah dan menyerlah.

Kata Hafiza, bagi menonjolkan kegembiraan dan kebahagiaan mempelai, elemen bunga tiga dimensi diperkemaskan dengan jahitan pada bahagian tertentu. Bunga-bungaan ini menampakkan rekaan lebih menonjol terutama apabila digayakan mempelai.

Selain itu juga ia seakan ‘hidup’ apabila cantuman bunga tiga dimensi ini mewujudkan pergerakan dan layangan secara berseni, bersesuaian kehendak dan situasi pelanggan.

“Namun begitu setiap rekaan tetap mengambil kira perbincangan di antara kedua-dua pihak. Ini disebabkan tidak semua wanita sesuai menggayakannya busana dengan bunga tiga dimensi ada juga mahukan potongan lebih sederhana dan ringkas,” katanya.

Elemen siluet yang ditampilkan pada gaun juga memberikan definisi baru pada si pemakai untuk tampil bergaya pada hari perkahwinan mereka. Jelas, ia menjadikan rekaan ini lebih menonjol dan memikat.

Selain itu Minaz Creation turut menitikberatkan keperluan pelanggan. Faktor tempat atau demografi (dewan atau rumah), tarikh dan juga bajet pelanggan akan diteliti sepenuhnya bagi menyediakan busana mereka

Sesuai dengan paparan yang ingin ditampilkan, Hafiza yang turut menghasilkan lakaran bersama pasukan pereka akan memilih potongan lebih mewah ala puteri namun bersesuaian dengan imej pengantin Muslimah. Fabrik berkualiti seperti renda dan sifon mampu menyerlahkan gaya raja sehari.

Rona putih salju menjadi pilihan dalam kesemua busana yang diperkenalkan Minaz Creation kerana ingin menonjolkan keindahan pengantin itu sendiri. Putih juga melambangkan kesucian dan sudah pasti ia memperlihatkan penampilan yang segar kerana berbeza dengan warna busana tetamu yang lain.

“Penggunaan rona putih pula kelihatan lebih memikat terutama apabila berada di atas singgahsana dengan dekorasi pelamin yang turut mengutamakan warna pastel. Namun begitu mereka yang inginkan busana lebih berwarna boleh mendapatkannya mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Mempelai boleh mendapatkannya di butik untuk padanan sedia ada atau pun mengadakan pertemuan untuk perbincangan lanjut untuk tempahan. Harga bermula RM999 dan ke atas.

Disiarkan pada: November 4, 2017 @ 7:01am
d