hati

Jimat kos perbelanjaan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan ramai antara kita terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemat termasuk berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan dapur.

Namun, bagi mereka yang kreatif dan bijak menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di rumah, mereka boleh mewujudkan konsep kebun dapur.

Lazimnya, kebun dapur menampilkan ruang yang minimum digabungkan dengan tanaman hijau untuk sayuran juga boleh diselang-seli dengan pokok hiasan bagi mewujudkan landskap halaman yang menarik.

Selain berfungsi sebagai kebun dapur, ia boleh menjadi ruang yang menarik jika bijak menyusun atur tanaman dan mungkin juga boleh mewujudkan taman mini untuk melengkapkan landskap halaman.

Bersesuaian dengan panggilannya, taman ini mengandungi tumbuhan yang boleh dimakan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan pokok herba. Kebiasaannya, pokok yang ditanam adalah tumbuhan berjangka pendek, iaitu hidup dalam tempoh satu hingga enam bulan.

Ia bukan saja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan di dapur, tetapi mampu menjadi lokasi sesuai untuk terapi minda selepas penat seharian di tempat kerja.

Modal bagi menanam sayur untuk sara diri juga tidak besar malah ada di antaranya boleh diperoleh secara percuma.

Biarpun kawasan halaman rumahnya bersimen dan diturap tar, ia tidak menjadi halangan buat Nabihah Hamid, 32, untuk mengusahakannya sebagai kebun dapur kerana menyedari banyak manfaat yang diperoleh daripadanya.

Walaupun kawasan kosong di rumahnya di Saujana Utama Sungai Buloh itu boleh dikatakan ‘sekangkang kera’, ibu kepada seorang cahaya mata ini bijak menyusun atur ruangan sedia ada dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan itu untuk bercucuk tanam.

“Sebenarnya bukan susah hendak mewujudkan taman dapur. Maklumat mengenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak mengusahakannya.

“Minat saya mula bercambah selepas saya dan suami mula-mula memasuki rumah ini kerana melihat ruangan kosong di depan rumah. Kami berpendapat lebih elok jika tidak dibiarkan begitu saja dan dari situ timbul idea untuk menanam sayur,” katanya.

Antara yang menyerikan halaman kecilnya termasuk termasuk cili, limau kasturi, kubis, pandan, kesum, bayam, pokok kari, bunga ros jepun dan mangga.

Menurut Nabiha, dia banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet selain berkongsi minat dengan rakan yang mempunyai minat sama. Baginya bercucuk tanam tidaklah sukar kerana kebanyakan sayuran yang dipilih senang hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

Namun, katanya, ada kalanya dia perlu berulang kali menanam benih yang sama kerana tidak menjadi, namun sekiranya benih yang disemai mengeluarkan pucuk atau akar, ia cukup menggembirakan hatinya serta tidak sabar menunggu hasil daripada pokok berkenaan.

Lama-kelamaan, kata­nya, dia semakin mahir menanam dan seronok de­ngan hobi barunya itu apatah lagi anaknya dapat bermain bebas sambil menikmati keindahan kebun dapur yang diwujudkannya.

“Ia menjadi satu kepuasan buat saya apabila dapat masak dan makan hasil sayur yang ditanam sendiri. Memang ada sesetengah sayuran kadang-kadang ambil masa lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab sayur kita tanam ini tidak menggunakan racun.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri sayur di rumah.

“Lagipun, saya hanya berdua dengan suami di rumah, hendak beli sayur di pasar kadang-kadang tidak habis dimakan, jadi dengan ada kebun sendiri kita boleh dalam jumlah yang diperlukan saja.

“Lagipun saya hendak manfaatkan tanah sekangkang kera yang ada ini. Seronok tanam sayur, rasanya lebih segar. Macam kubis yang saya tanam di sini lebih manis rasanya,” katanya.

Nabiha turut mengakui dapat banyak berjimat selepas menanam sendiri sayuran kerana ada antaranya seperti cili yang dijual agak mahal dapat dipetik sendiri jika dia memerlukannya.

Katanya, dia dan suami menyukai masakan pedas dan cili menjadi keutamaan dalam hidangan mereka berdua. Oleh itu, dia tidak perlu risau jika harga cili di pasaran melambung kerana bahan masakan itu boleh dipetik di laman sendiri.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 12:41pm
d