hati

2,500 pokok jadikan bandar raya hijau

Oleh Zaitie Satibi

Kolam takungan adalah ruang tadahan air buatan manusia dalam kawasan pembangunan yang bertindak sebagai penyimpan air sementara akibat limpahan hujan lebat sebelum dilepaskan ke dalam sungai utama. Melalui cara ini jumlah aliran air ke dalam sungai dapat dikawal dari semasa ke semasa, justeru boleh mengelakkan banjir.

Di sekitar kolam takungan adalah kawasan air yang ditampung secara semula jadi melalui landskapnya. Di samping berfungsi membekalkan sumber air mentah, kawasan kolam takungan juga bertindak sebagai pusat riadah dan habitat kepada flora serta fauna.

Selain mengekalkan kehijauan alam, ia dapat melindungi kawasan tadahan air berkenaan yang juga sumber bekalan air mentah tambahan supaya kita dapat menikmati bekalan air yang berterusan untuk generasi masa kini dan akan datang.

Menyedari kepentingan kawasan tadahan air, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program penanaman pokok dengan kerjasama Toyota Assembly Services Sdn Bhd yang menyumbang sebanyak RM10,000 untuk menaja anak pokok.

Sebanyak 2,500 anak pokok ditanam di sekitar kawasan kolam takungan berkenaan membabitkan pelbagai jenis pokok antaranya putat, Melaka, hujan-hujan, jati, ara dan tecoma serta pokok buah-buahan seperti rambutan, pulasan, mata kucing dan cermai.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, MBSA amat komited untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030 melalui pelaksanaan program Inisiatif Hijau Shah Alam seperti Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau, Kebun Sekolah, Kebun Komuniti dan penyediaan trek basikal.

“Dalam program Trees For Life (Tumbuh-tumbuhan Untuk Kehidupan) ini membabitkan penyertaan 300 orang terdiri daripada warga kerja MBSA, Toyota Assembly Services dan sukarelawan. Aktiviti menanam pokok dimulakan seawal jam 8 pagi dan berakhir pada tengah hari.

“Selain penduduk berhampiran, pelajar sekolah juga terbabit sebagai sukarelawan bagi menyemai kesedaran dan kecintaan terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Menerusi program ini, ia secara tidak langsung dapat mendidik pelajar untuk menghargai alam sekitar dan mengajar mereka cara menanam pokok dengan betul. Selain dapat membantu menjalankan kerja kemasyarakatan, pembabitan pelajar dalam program ini adalah satu tanggungjawab mendidik yang perlu dipikul oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kami turut berharap program seperti ini akan berjaya membentuk pelajar menjadi anggota masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar,” katanya.

Program penanaman pokok berkonsep teduhan hijau itu turut dihadiri Ahli Majlis MBSA, Noryzal Zainal Abidin dan Pengurus Besar Toyota Assembly Services Sdn Bhd, Zainal Jaini.

Menurut Shahrin, penyediaan kolam takungan di kawasan pembangunan adalah langkah yang lebih mampan untuk mengatasi masalah banjir yang boleh mendatangkan kerosakan harta benda penduduk.

“Oleh itu, sebuah kolam dibina untuk menahan air akibat hujan lebat dalam tempoh beberapa jam supaya saliran perparitan yang ada sempat mengalirkan air larian ke sungai.

“Aktiviti guna tanah yang sesuai dan boleh dijalankan di kawasan lapang yang diintegrasikan dengan kolam takungan ini adalah taman rekreasi, tempat istirahat, berkelah, aktiviti air, laluan joging dan trek basikal,” katanya.

Program Trees For Life dimulakan pada September 2010 yang membabitkan penyertaan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan badan korporat dalam usaha memupuk semangat cintakan alam sekitar.

Sehingga kini program berkenaan mencatatkan penyertaan lebih 10,000 sukarelawan dan sudah menanam lebih 50,000 pokok.

“Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa, bagi memastikan alam sekitar terpelihara dengan menggunakan tenaga kerja yang ada. Namun mesej paling penting ialah memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan kesedaran masyarakat untuk sama-sama menjaga alam kita,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 9:54am
d