hati

Adun herba resipi ibu untuk berpantang

Oleh HM Digital

Amalan berpantang tradisional yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu sejak turun temurun adalah pilis, param dan lulur bagi mengeluarkan lebihan angin, memanaskan dan menyegarkan badan.

Penjagaan kesihatan selepas bersalin yang diwarisi daripada nenek moyang ini tidak sukar dilakukan kerana bahan herba terdiri daripada pelbagai rempah ratus, akar kayu dan minyak pati kini mudah didapati di pasaran.

Bagaimanapun bagi yang tidak berkesempatan mendapatkan bahan herba apatah lagi mengadun ramuan sendiri, Ain Alieya Beauty memperkenalkan sediaan lulur, param dan pilis tradisional.

Pengasasnya, Norain Ngah, 29, berkata, beliau nekad memulakan perniagaan berasaskan penjagaan kesihatan untuk wanita selepas bersalin kerana mahu memudahkan proses berpantang buat wanita.

Amalan berpantang kini dilihat semakin dipinggirkan dalam kalangan masyarakat moden kerana sebahagiannya menganggap ia perkara yang melecehkan terutama dari segi penyediaan bahan herba.

“Ramuan pilis, param dan lulur ini diadun sendiri menggunakan resipi tinggalan arwah ibu yang juga bidan kampung. Bahan utama yang digunakan ialah cengkih yang diketahui mempunyai banyak manfaat dalam rawatan tradisional. Ia mengandungi bahan antioksidan, antiseptik, antiradang, memberi kehangatan dan melegakan kembung perut,” katanya.

Kata Norain, produk keluarannya hanya untuk kegunaan luaran dan diperbuat daripada herba semula jadi sepenuhnya serta tidak mengganggu penyusuan badan. Malah lebih menarik, ramuan ini turut berfungsi sebagai skrub pelangsingan badan.

“Kebiasaannya bentuk badan wanita berubah selepas bersalin dan berat badan pula meningkat. Perkara ini menjejaskan keyakinan diri ramai wanita. Bagi membantu wanita mendapatkan kembali bentuk tubuh mereka, bolehlah menyapukan ramuan tradisional ini khususnya pada bahagian perut, pinggul, paha dan lengan,” katanya.

Menceritakan pembabitannya dalam dunia perniagaan sejak setahun lalu, Norain berkata, dorongan diterima daripada rakan-rakan yang sudah mencuba dan melihat keberkesanan produk berkenaan.

“Ibu meninggal dunia pada 2013 menyebabkan saya terpaksa menyediakan sendiri ramuan lulur, param dan pilis selepas bersalin anak keempat. Baki ramuan inilah yang saya kongsikan dengan rakan lain untuk tujuan kecantikan, tetapi tidak sangka ramai yang berminat mendapatkannya.

“Bermodalkan RM600, saya membeli bahan herba dan menghasilkan produk seperti yang diminta. Buat permulaan saya membeli lima pengisar biasa dan lucunya, bekas untuk mengisi produk juga saya dapat dari kedai serbaneka RM2.

“Pada awalnya produk ini dijual kepada rakan terdekat dan penduduk sekitar taman perumahan di Kuala Terengganu. Selain menjadi bahan bualan, kami juga pasarkan melalui media sosial.

“Alhamdulillah, kami tidak putus menerima pesanan sehingga pengisar pecah kerana digunakan secara berterusan. Kini kami mempunyai dua pengisar untuk pengeluaran besar-besaran dan beroperasi di bengkel khas,” katanya.

Menurutnya lagi, selain kegunaan di rumah, produknya juga berjaya menembusi spa dan butik kecantikan melalui usaha 300 ejen jualannya di seluruh negara. Pun begitu katanya, untuk lebih berkesan, pengguna juga disaran untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang dan rajin bersenam supaya beroleh kecantikan dan kesihatan.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 12:26pm
d