hati

Kesan sama seperti ke gimnasium

Oleh HM Digital

Memiliki berat badan berlebihan bukan saja mengganggu ‘mood’ wanita saja malah turut memberi kebimbangan kepada lelaki.

Sebabnya sudah jelas. Pertama, kegemukan boleh menjejaskan penampilan dan sering menjadi halangan untuk bergaya dan kedua ia mencetuskan kebimbangan diserang penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi serta masalah jantung.

Oleh itu, tidak hairanlah ada individu yang memiliki berat badan berlebihan berusaha bersungguh-sungguh mengawal pemakanan mereka dan melakukan senaman.

Namun, bukan mudah untuk mencapai kejayaan memiliki berat badan yang diinginkan kerana ia memerlukan banyak pengorbanan serta kesabaran. Tidak hairanlah jika ramai yang tewas di tengah jalan kerana tidak mampu mengawal selera makan apatah lagi kehadiran pelbagai menu menarik pada masa sekarang.

Pakar Estetik Hannan Medispa Wangsa Maju Dr Amanda Elli berkata, mengawal pemakanan sangat penting bagi memastikan badan sentiasa sihat dan memiliki berat badan ideal.

“Sentiasa amalkan makan makanan dalam bentuk semula jadi seperti buah dan sayur serta elakkan bahan pengawet dan perasa tambahan dalam hidangan yang diambil.

“Selain itu, lakukan senaman seperti latihan kardiovaskular sekurang-kurangnya 15 hingga 30 minit setiap hari atau lima hari seminggu untuk mengekalkan kesihatan dan mendapat berat badan ideal.

“Namun, bagi mereka yang tidak mampu bersenam disebabkan pergerakan terbatas akibat penyakit tertentu, ada kaedah menggunakan teknologi terkini yang boleh dicuba,” katanya.

Jelasnya, teknologi dunia kecantikan pada hari ini membantu memberi pilihan kepada wanita untuk tampil bukan sekadar langsing, tetapi mempunyai bentuk badan diingini terutama di beberapa bahagian seperti perut, pinggul, paha dan lengan tanpa perlu bersusah payah.

Antara teknologi terkini yang boleh didapati di spa berkenaan adalah kaedah Virtual Gym yang membantu memecahkan lemak menggunakan fungsi impuls elektrik atau getaran.

Kesannya sama seperti pergi ke gimnasium, namun melalui kaedah ini pelanggan hanya perlu baring selama kira-kira 60 minit dan bahagian badan tertentu seperti perut, bawah lengan serta paha akan ditampal dengan pad pelekat sebelum disambung menggunakan wayar dan mesin bagi memulakan proses memecahkan lemak.

“Disebabkan itu, kaedah ini sesuai untuk semua orang terutama pesakit yang tidak boleh bergerak dan pergi ke gimnasium tetapi mahu memecahkan lemak dengan cara yang mudah.

“Selain berfungsi memecahkan lemak di seluruh badan secara serentak, kaedah berkenaan juga membantu melancarkan sistem saluran darah atau sistem limfa,” katanya.

Bukan kaedah berkenaan saja, terdapat juga teknik pembekuan, Fat Freezing atau mencairkan lemak, Fat Melting tanpa melukakan badan untuk mendapatkan bentuk badan langsing dan menurunkan berat, namun kesannya yang diterima tidak secepat Virtual Gym.

Jelasnya, bagi mendapatkan kesan diinginkan selepas rawatan itu, pelanggan dinasihatkan untuk menjalani gaya hidup sihat seperti mengawal pemakanan dengan mengelakkan makanan berminyak, diproses dan tinggi kandungan gula, garam atau lemak. -Hajahfarhana Tarmudi

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 12:39pm
d