hati

Kelas tak rasmi menyeronokkan

Oleh HM Digital

Dihias pokok mapel tiruan bersama rona daunnya yang menceriakan suasana, siapa saja melalui kawasan berkenaan akan tertarik. Apatah lagi ditambah dengan kehadiran lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menggayakan kimono iaitu pakaian tradisi masyarakat Jepun.

Biarpun aktiviti yang diadakan agak terhad kerana ruang yang terbatas, acara tradisi masyarakat Jepun bagi meraikan dan mendoakan kanak-kanak sentiasa dalam keadaan sihat, Shichi-Go-San, kehadiran pengunjung tetap bertali arus.

Inilah kelebihan aktiviti yang diadakan pada hujung minggu terutama membabitkan kanak-kanak. Ia membuka ruang untuk ibu bapa memberi pengalaman, ilmu dan kemahiran baru kepada anak, sekali gus membuka mata mereka kepada budaya negara lain.

Pengarah Eksekutif Tetap Tiara Sdn Bhd Charles Wong berkata, ini tahun kedua festival berkenaan dianjurkan dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan.

“Pelbagai aktiviti dan persembahan menarik disediakan bermula seawal jam 11 pagi hingga 5 petang. Acara yang diadakan pada 4 dan 5 November lalu itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada masyarakat di negara ini mengenali budaya Jepun yang unik serta menarik.

“Budaya masyarakat Jepun sangat menarik dan memiliki kekuatan tersendiri dengan mengajak bersama keluarga serta komuniti menyertai aktiviti diadakan, sama seperti prinsip The School ditubuhkan.

“Kami sangat berharap program keluarga ini dapat menjadi kelas tidak rasmi yang menyeronokkan kanak-kanak dalam mengenali budaya negara lain,” katanya.

Festival yang disokong Kedutaan Jepun di Malaysia, I Am Nikon, kumpulan tarian, muzik tradisional Jepun Yaezakura dan Jetro and Gemini Creation itu adalah simbolik bagi acara menarik itu yang dipenuhi aktiviti menyeronokkan.

Dapat dilihat, ibu bapa yang hadir bersama anak kecil mencuba aktiviti disediakan antaranya permainan kanak-kanak, bengkel membuat origami dan furoshiki (kain pembungkus tradisional Jepun), kelas membuat sushi serta sesi mengambil gambar dengan memakai kimono.

Bagi mereka yang baru mengenali budaya Jepun, terdapat juga aktiviti sinonim dengan negara matahari terbit itu seperti persembahan tarian rakyat, memakai yukata (kimono musim panas yang dibuat daripada kain kapas) dan sesi memotong ikan tuna serta salmon.

Malah, terdapat deretan gerai jualan makanan jalanan, cenderahati dan permainan yang popular di Jepun bagi memberi peluang kepada rakyat di negara ini menikmati keunikan masyarakat di sana.

Shichi-go-san bermaksud festival tujuh-lima-tiga yang disambut setiap 15 November oleh ibu bapa di Jepun bagi meraikan dan mendoakan perkembangan serta kegembiraan si kecil terutama anak lelaki berusia lima tahun dan kanak-kanak perempuan berusia tujuh atau tiga tahun.

Acara seumpama itu bermula sejak zaman Edo (1603 hingga 1868) di Tokyo dan sekitar Kanto, kemudian ia tersebar luas ke kawasan lain malah sambutan berkenaan kian popular di seluruh negara itu.

Ia membabitkan kanak-kanak mengenakan pakaian formal atau kimono berdoa di kuil bersama keluarga masing-masing selain mengambil gambar, menikmati makanan dan gula-gula (chitose ame) bersama sanak saudara serta datuk dan nenek sebagai simbol tuah.- Hajahfarhana Tarmudi

Disiarkan pada: November 14, 2017 @ 11:02am
d