hati

Makan nasi lemak tamatkan AIDS

Oleh Siti Zarinah Sahib

Setiap tahun penghidap HIV/AIDS dalam kalangan wanita semakin meningkat dengan 413 kes baharu dikesan tahun lalu. Angka itu mewakili 11 peratus daripada keseluruhan kes iaitu kira-kira 12,578 dalam tempoh 30 tahun. Apa yang menyedihkan, jumlah penghidap HIV/AIDS wanita tidak menunjukkan pengurangan berbanding penghidap lelaki.

Perkembangan ini amat membimbangkan berikutan satu pertiga daripadanya adalah suri rumah yang sebelum ini dianggap kumpulan sosial berisiko paling rendah.

Menurut Bendahari Kehormat Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Datuk Maznah Abdul Jalil, risiko HIV terhadap wanita semakin tinggi berikutan ketidaksamaan gender, stigma, perasaan terpinggir dan kemiskinan terutama di luar bandar apabila golongan ini kurang diberikan perhatian serta akses pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan moral.

“Wanita di luar bandar mungkin mempunyai perasaan malu dan tidak mahu berkongsi masalah dengan orang lain. Malah, kekangan maklumat mengenai HIV dan AIDS membuatkan mereka tidak mendapatkan rawatan,” katanya.

Sehubungan itu bagi merapatkan jurang di antara pesakit HIV dan AIDS wanita di samping meningkatkan kesedaran awam seiring Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menghapuskan AIDS 2016-2030, MAF akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Nostalgia Nasi Lemak, bertemakan Bagaimana Nasi Lemak Menamatkan AIDS.

“Program ini mempunyai matlamat untuk membantu wanita yang terjejas HIV menerusi program pengaturcaraan berimpak tinggi seperti kaunseling psikososial, kesihatan literasi, sokongan hidup dan kemahiran vokasional supaya kumpulan sasar ini berupaya meningkatkan tahap kesihatan,” katanya.

Penghidap HIV/AIDS wanita berdepan dengan stigma yang lebih besar berbanding lelaki. Sedihnya, perkara ini berlaku di seluruh dunia khususnya di negara membangun dan miskin. Apabila disahkan dijangkiti virus berbahaya itu, ramai yang cuba merahsiakannya demi menjaga maruah diri dan keluarga terutama anak-anak.

Selain itu, tindakan menyembunyikan perkara itu kerana bimbang dilabel sebagai wanita tidak baik atau rosak akhlak walaupun mereka mendapat jangkitan daripada pasangan. Bagi wanita, mendapat jangkitan HIV adalah satu tamparan besar apatah lagi jika mereka setia kepada pasangan.

Kesannya tentu lebih terasa bagi wanita miskin dan terpinggir yang hampir tiada akses terhadap maklumat meskipun negara kita menyediakan antara rawatan terbaik untuk jangkitan HIV/AIDS di dunia.

Malah sikap dan pemikiran masyarakat yang masih memandang sinis penghidap HIV/AIDS membuatkan ramai wanita lebih rela menderita dalam diam daripada mendedahkan masalah yang dianggap sangat memalukan itu.

Justeru itu, program ini diadakan bagi memperkasakan penghidap HIV/AIDS wanita supaya mereka boleh mendapatkan rawatan dan meneruskan kehidupan sebaik mungkin.

Pemilihan nasi lemak pula kerana ia menjadi sajian kegemaran dan paling popular rakyat Malaysia yang mempunyai nostalgia tersendiri. Meneruskan tradisi majlis makan malam amal, MAF bersedia membawa pengalaman bersantap dengan dipenuhi warisan nostalgia hidangan paling ikonik di Malaysia.

“Ia sebagai satu cara memberikan sokongan bagi perjuangan menamatkan AIDS di Malaysia. Ini bertepatan kerana nasi lemak menjadi hidangan kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan bangsa. Setiap meja ditawarkan pada harga RM3,000; RM5,000 dan RM10,000 dengan disertakan pelepasan cukai,” katanya.

Sementara itu, penulis buku Everything Nasi Lemak, Puan Sri Betty Saw berkata, majlis makan malam amal dengan menyediakan hidangan kegemaran ramai ini adalah satu cara untuk masyarakat beramal membantu pesakit HIV yang kurang bernasib baik.

“Tidak adil rasanya jika kita terus meminggirkan wanita HIV sehinggakan bilangan kes semakin meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu seharusnya golongan ini dibantu dan tidak membiarkan mereka terus menderita. Menerusi inisiatif ini, saya berkongsi idea masakan dengan membawakan nasi lemak untuk majlis makan malam.

“Memasuki tiga dekad adalah tidak wajar sekiranya kita meminggir wanita HIV dan membiarkan mereka kekal tersembunyi dan terus menderita dalam diam. Sudah tiba masanya kita memperkasakan wanita untuk sama-sama membantu agar mereka dapat keluar daripada stigma dan meneruskan hidup dengan lebih positif,” katanya yang dikenali sebagai cef selebriti dan sudah menghasilkan lebih 20 buku masakan.

Diketuai oleh Cef Betty, Makan Malam Amal Nostalgia Nasi Lemak akan menyediakan hidangan hasil ciptaannya sendiri yang banyak memberi inspirasi kepada individu lain untuk membuka kafe dan restoran menggunakan resipinya.

Malah, majlis makan malam amal ini juga sebagai memperingati pelancaran buku masakan terlaris 2013 Everything Nasi Lemak, edisi kedua yang menampilkan 75 resipi termasuk rendang daging nyonya, otak-otak dan ayam pandan bagi melengkapi tarikan menu nasi lemak.

Makan malam amal akan diadakan pada Isnin 20 November ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 10:36am
d