hati

'Baby Shower' khas rai pelanggan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Perjalanan kehamilan pasti menjadi pengalaman paling bermakna buat ibu bapa apatah lagi kelahiran yang dinanti itu adalah yang pertama buat mereka.

Dalam keterujaan menyambut kelahiran si manja, persiapan rapi sudah dirangka sejak awal kehamilan dengan menyediakan pelbagai kelengkapan terbaik.

Bagaimanapun, dalam kesibukan membuat persiapan sebelum kelahiran, ramai yang lupa meraikan detik kehamilan mereka dan meninggalkan memori terindah sepanjang hidup.

Oleh itu, kedai bayi berkonsep, Happikiddo sekali lagi menganjurkan ‘Baby Shower’ khas buat pelanggannya dengan mengumpulkan lebih 100 ibu bapa di kedai cawangan terbesarnya di Quill City Mall untuk sama-sama bergembira dan memanjakan diri.

Acara tahunan yang diadakan buat kali kedua itu menyaksikan ibu hamil berkumpul untuk berkongsi saat indah dan mengeratkan lagi hubungan di samping menyertai pelbagai permainan dan aktiviti dengan hadiah cabutan bertuah bernilai RM30,000 turut diberikan kepada peserta.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Happikiddo Elaine Chew, pemahaman mengenai ‘Baby Shower’ kerap disalah anggap sebagai proses memandikan bayi dalam sebuah acara.

Katanya, ia adalah acara tradisi yang lazim dalam pelbagai budaya di mana seorang ibu mengandung diberi perhatian dan diraikan oleh rakan serta keluarganya melalui sebuah acara.

“Ini adalah cara yang bermakna untuk menandakan transformasi wanita menjadi seorang ibu malah menerusinya banyak nasihat dan panduan buat bakal ibu bapa dapat dikongsi bersama.

“Kehamilan adalah pengalaman istimewa dalam kehidupan setiap wanita. Kami berbangga untuk berkongsi kegembiraan mereka dengan menjadi sebahagian dari perjalanan mereka menuju dunia indah mempunyai anak.

“Malah sebagai ibu juga, kami berasa bangga untuk berkongsi pengalaman ini bersama mereka dengan menawarkan produk bayi berkualiti dan praktikal serta ditambah pelbagai lagi faedah pada nilai yang lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, model dan selebriti terkenal, Hanis Zalikha turut berkongsi nasihat buat bakal ibu bapa yang pertama kali menimang cahaya mata. Sesi ini juga menyediakan panduan mengenai persiapan kedatangan bayi oleh Happikido.

Hanis turut disertai oleh rakan selebritinya iaitu Nad Zainal dan Liyana Jasmay untuk meraikan kehamilan dan memperingati perjalanan indah bergelar ibu.

Menurut Chew, pihaknya berusaha untuk menjadi hos acara ‘Baby Shower’ buat ibu bapa pada setiap tahun dan berharap dapat memperluaskan acara ini ke negeri lain seperti Johor dan Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Bersempena majlis itu, kedai itu turut melebarkan sayap perkhidmatan hadiahnya untuk memenuhi permintaan pemberian hadiah secara peribadi. Dinamakan sebagai Happikiddo Gifts, anak syarikat ini bekerjasama dengan Flores KL untuk menawarkan bakul berisi bunga dan hadiah kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang pada harga bermula dari RM299.

Kedai bayi itu menawarkan lebih 100 jenama antarabangsa dengan lebih 10,000 produk merangkumi segala keperluan ibu bapa dan bakal ibu bapa di bawah satu bumbung.

Daripada makanan bayi, permainan pendidikan, makanan penting dan peralatan mandian, pakaian, buku dan perabot nurseri, kedai itu menawarkan penyelesaian untuk ibu bapa dengan menawarkan barangan yang paling selamat dan berkualiti tinggi.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:31am
d