hati

Kemenangan 3 sahabat baik

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Hati berdegup kencang, adrenalina mengalir deras, persaingan sengit. Begitulah perasaan yang dirasakan oleh 30 pelajar yang mewakili lapan sekolah dalam misi mereka untuk dinobatkan sebagai juara di pusingan akhir Junior Care Champion Search 2017 anjuran Gleneagles Kuala Lumpur (GKL).

Acara itu adalah sebahagian daripada kempen Growing Well with GKL yang menyaksikan penyertaan 10 kumpulan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan saingan.

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun yang mewakili lapan sekolah di Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) St John, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuen Cheng, SJKC Imbi, SJKC Jalan Davidson, SK Seri Hartamas, SJKC On Pong dan SK (L) Methodist Sentul.

Sebanyak 10 kumpulan dipilih daripada pusingan kelayakan yang disertai 15 sekolah melalui penyerahan esei dengan topik ‘How Living In Malaysia Can Be Healthier’ atau ‘If Superhero Was Real What Would They Do In A Hospital’.

Pada pertandingan akhir, juara dirangkul peserta dari SJKC Kuen Cheng 2 menerusi kumpulan terdiri daripada Ng Shu Yie, Claire Chan Wei Sven, Danelle Chan Tze Ern yang masing-masing berusia 11 tahun.

Tiga sahabat baik dari kelas yang sama itu membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, selain baucar bernilai RM900 untuk buku, alat tulis dan makanan serta tiga pasang tiket ke Kidzania Kuala Lumpur.

Menurut Ng, kemenangan mereka langsung tidak dijangka kerana menyedari persaingan sengit daripada peserta selain kekuatan masing-masing ditonjolkan pada pusingan akhir.

“Kami membuat persediaan selama enam minggu sebelum ke peringkat akhir dan masing-masing menunjukkan komitmen tinggi untuk memberi yang terbaik buat kumpulan ini,” katanya.

Claire menambah, menerusi cabaran akhir iaitu kuiz bagi penentuan juara adalah paling mencabar minda mereka kerana soalan berdasarkan pengetahuan perubatan.

“Namun, kami dapat mengharunginya dengan tenang dan masing-masing memainkan peranan dan memberi fokus kepada topik yang dipelajari semasa bengkel walaupun mendapat saingan sengit daripada pihak lawan.

“Kemenangan ini membuktikan komitmen kami dalam pertandingan dan gembira dapat mengharumkan nama sekolah, guru dan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, peserta dari SJKC Jalan Davidson muncul naib juara pertandingan diikuti SJKC On Pong 2 di tempat ketiga membolehkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,100 dan RM1,200 serta baucar bernilai RM900 untuk buku, alat tulis dan makanan serta tiga tiket Kidzania Kuala Lumpur.

Selain itu, sekolah juara dilantik sebagai sekolah angkat untuk tempoh setahun, yang mana kedua-dua pihak sekolah dan hospital akan berganding bahu dalam pelbagai program pendidikan dan komuniti sepanjang 2018.

Dalam persaingan di pusingan akhir, 10 kumpulan terbabit perlu menyertai dua cabaran iaitu cabaran pertama, memerlukan peserta membuat pembentangan buku skrap, poster dan video berdasarkan topik esei yang diserahkan di pusingan kelayakan.

Cabaran kedua pula menyaksikan penyertaan mereka dalam pelbagai bengkel menyeronokkan yang dikelolakan oleh kakitangan GKL seperti pertolongan kecemasan asas (keselamatan dan pencegahan kecederaan, CPR, tercekik), diet dan pemakanan sihat, fisio (penjagaan belakang badan, postur yang betul dan kepentingan senaman) serta kawalan jangkitan (cara mencuci tangan yang betul dan etika batuk).

Berdasarkan markah yang diraih dalam dua cabaran itu, dua kumpulan dengan markah tertinggi perlu bersaing dalam satu kuiz dan pengetahuan perubatan mereka diuji oleh barisan juri terdiri daripada Pengarah Perubatan GKL Dr Norjannah Ali; Pentadbir, Perkhidmatan Sokongan Klinikal GKL Christine Chan; Pengurus, Kawalan Jangkitan, GKL Dympna Winifred Cheah dan Pengurus Tinggi, Operasi, GKL Gwendoline Annette bagi menentukan juara Junior Care Champion Search 2017.

Selain itu, satu bengkel kerja mengenai pertolongan cemas asas serta penyediaan makanan yang bernutrisi untuk kanak-kanak juga dianjurkan bagi ibu bapa yang hadir.

Pertandingan bertujuan mempromosikan kesedaran pediatrik dan kesihatan anak-anak itu membabitkan pelbagai aktiviti kerja pasukan seperti penyuntingan video, reka bentuk poster dan penulisan cadangan di mana pemenang pertandingan akan diguna pakai oleh GKL selama setahun sebagai sebahagian daripada program jangkauan komuniti hospital.

Pertandingan itu juga sebahagian kempen Growing Well with GKL yang memberikan fokus kepada penjagaan pediatrik dalam usaha hospital itu untuk bekerjasama dengan ibu bapa bagi menjamin anak membesar dengan bahagia, sihat dan cergas, selain mampu membuat pilihan pintar demi kesihatan mereka.

Kempen ini disesuaikan khusus untuk pelajar sekolah rendah dan membantu bidang perlindungan seperti pembangunan kanak-kanak, campur tangan pendidikan dan promosi literasi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif GKL Dr Adzuan Rahman berkata, walaupun pihaknya berharap untuk menjadi pembekal penjagaan kesihatan bagi keluarga dalam komuniti, matlamat utama hospital itu sebenarnya adalah untuk memupuk kesedaran terhadap kesihatan dalam kalangan kanak-kanak.

“Kami berharap menerusi bengkel kerja yang diadakan ini dapat menyemai semangat penyayang dalam sanubari mereka, selain menyampaikan kepentingan penjagaan kesihatan bermula dari usia muda. Kami berhasrat untuk mencungkil hero yang ada dalam diri mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 10:37am
d