hati

Bereksperimen untuk capai kesempurnaan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Jarang sekali dapat bertemu tukang jahit lelaki untuk penggambaran di studio. Kalau ada pun, mereka biasanya datang mengiringi artis dan selebriti yang mengenakan busana dihasilkan.

Kali pertama bersua dengan Pakar Jahit Levi’s Asraf Audi Aziz, 31, di studio baru-baru ini, memang banyak persoalan bermain di fikiran. Bercerita mengenai latar belakang anak kelahiran Kuantan, Pahang ini, Audi lebih senang merendah diri.

Mengakui taraf pendidikannya cuma sekadar memegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun Audi bukanlah seorang yang mudah berpuas hati dengan setiap yang dilakukan sejak remaja hingga kini.

Bermula sebagai barista di kafe, ternyata lelaki ini lebih suka memberi ruang dan peluang kepada dirinya sendiri meneroka potensi dan minat supaya selari dengan kehendak masa depan.

“Membandingkan saya dulu dan sekarang, memang usia remaja lebih banyak dihabiskan dengan mencuba pelbagai bidang. Saya belajar mengenal minat dan kebolehan diri. Pada usia itu, saya masih tercari-cari identiti dan bakat yang boleh dikembangkan untuk menjana kehidupan lebih meyakinkan pada usia dewasa.

“Jadi, selepas tamat SPM pada 2005, saya mula masuk ke bidang peruncitan. Saya memilih bekerja di butik dan pusat beli-belah kerana suasana kerjanya. Kemudian, pada 2008, saya bertukar majikan. Memandangkan syarikat yang saya sertai itu meletakkan syarat boleh menjahit sebagai sebahagian kriteria pemilihan, jadi saya belajar asas jahitan.

“Dari situ jugalah sebenarnya saya mengenal mesin jahit dan cuba menguasai perkara paling asas seperti memasang benang dan menekan pedal. Sasaran utama adalah untuk mendapatkan peluang kerja. Syukur akhirnya khidmat saya diterima,” katanya.

Jalan luas

Mungkin ramai yang memandang rendah terhadap mereka yang bekerja di bidang peruncitan, namun Audi membuktikan sebaliknya. Ketika menyertai Levi’s pada 2010, anak muda ini hanya membawa ilmu asas jahitan yang dikuasai sepanjang bekerja dengan majikan terdahulu.

Antara nasib, rezeki dan komitmen tinggi terhadap kerja, dia memilih berdepan realiti kini yang mementingkan kemahiran dalam hidup.

“Walaupun hanya tahu perkara paling asas (menjahit), itulah yang membezakan kualiti diri saya dengan staf lain ketika itu. Apabila mempunyai kemahiran, secara tidak langsung khidmat saya menjadi keutamaan di butik.

“Satu hal yang penting di Levi’s adalah kebolehan menyambung semula kaki seluar yang dipotong supaya tidak nampak cacat. Mula-mula memang susah hendak menguasai jahitan ini. Apalagi dengan hanya kemahiran paling asas.

“Tapi dengan usaha dan tekad untuk belajar, saya curi-curi tengok staf lain menjahit. Kemudian saya cuba sendiri ketika waktu rehat dan berlatih sampai pandai. Sekitar dua minggu memerhati dan mencuba, akhirnya saya berani menjahit pada seluar sendiri,” katanya yang kini mahir melakukan ubah suai, tampalan, teknik mencarik fabrik (distressing), menyiapkan panel depan dan belakang jaket.

Terbaru, Audi berkata, dia sibuk bereksperimen dengan benang, jarum dan fabrik untuk menguasai teknik sashiko (jahitan tangan) bagi mencapai kesempurnaan dalam hasil kerja serta rekaan corak dihasilkan.

“Sebenarnya, di Levi’s kami sudah mempunyai senarai pilihan ‘tambahan’ untuk pelanggan mendapatkan sentuhan peribadi, sekali gus menyerlahkan keunikan koleksi denim mereka sendiri.

“Bagaimanpun, ada juga pelanggan yang datang dengan tempahan khusus. Mereka mungkin mahukan kesan koyak berlebihan pada bahagian seluar atau jaket, namun saya tetap akan beri nasihat dan panduan mengikut keperluan.

“Setakat ini, kebanyakan pelanggan yang saya temui tidak cerewet. Asalkan dapat apa yang diinginkan, mereka sudah berpuas hati. Mereka faham sukar untuk mendapatkan hasil sempurna tapi saya tetap cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Tonjol kreativiti

Menilai sisi positif Audi yang sentiasa komited mengenal minat dan kecenderungan diri, banyak perkara negatif dalam hidup lelaki ini berjaya diubah kepada sesuatu yang bermanfaat serta berharga.

“Saya dulu seorang yang panas baran dan mudah terbawa dengan emosi. Kadangkala hendak meluahkan perasaan pun tidak tahu kepada siapa. Sebagai ganti, saya banyak melepaskan perasaan dengan melakukan ‘distressing’.

“Saya pindahkan semua emosi dan lepaskan perasaan pada kerja, jaket dan seluar pelanggan. Sedar tak sedar, saya berubah menjadi seorang yang lebih berkeyakinan, positif dan paling utama saya sedar kerjaya ini memang menyeronokkan.

“Kalau dulu, orang tengok hasil ‘distressing’, mereka akan kata selekeh. Tetapi kini ramai yang menghargainya sebagai satu hasil seni menarik. Malah, gaya jalanan ini diangkat sebagai keunikan dalam fesyen. Ramai pereka menjadikannya sebagai inspirasi dalam menghasilkan rekaan terbaik.

“Bagi diri saya, secara peribadi, saya memang sukakan sesuatu yang unik, berbeza dan tidak boleh dimiliki orang lain. Saya tidak suka mengenakan pakaian yang serupa (dengan kebanyakan orang). Jadi, biasanya memang saya akan beri sentuhan baru pada setiap seluar jean dan jaket sendiri. Secara tidak langsung, saya mencipta koleksi peribadi paling berharga untuk diri,” katanya.

Wanita lasak

Nama Ahirine Ahirudin, 21, mungkin tidak asing pada sesetengah orang. Gadis lasak ini dikenali dengan minatnya yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Mula menyimpan angan-angan memiliki motosikal berkuasa tinggi sejak usia lapan tahun, Ahirine aktif menyertai sukan motorcross bersama pengarang berita tempatnya bekerja sebagai penulis sambilan.

“Sejak dulu, saya memang berkongsi minat dengan ayah dan abang. Pada usia 16 tahun, saya sudah diajar menunggang motosikal kepunyaan abang, model Honda CRF250 di padang hadapan rumah. Setahun kemudian, saya semakin mahir dan memiliki lesen memandu kelas B penuh,” katanya.

Bercerita mengenai gaya santainya, Ahirine mengakui dia memang suka mengenakan jaket trucker Levi’s ketika menunggang motosikal, bergantung kepada jarak, lokasi dituju serta keadaan cuaca.

“Mungkin kerana usia muda, saya melihat padanan denim cukup sesuai untuk disarung ke tubuh. Jenama ini bukan baru, tetapi sentiasa segar sepanjang zaman. Bagi pelajar dan penulis sambilan seperti saya, jenama ini menonjolkan gaya versatil dan lebih kasual, sesuai dengan jiwa.

“Fabriknya yang mudah regang, tebal dan selesa memberi kepuasan setiap kali saya menunggang motosikal. Tambahan saya memang sukakan gaya lasak dan ringkas. Mungkin satu hari nanti jenama itu boleh mengeluarkan jaket versi berpad, jadi saya boleh menggunakannya ketika menunggang motosikal jarak jauh,” katanya.

Muda dan sukakan cabaran, Ahirine dianggap jenama denim itu sebagai lambang pemerkasaan. Gadis ini seorang yang tidak gentar dengan halangan dan cukup suka kepada cabaran.

Ketika aktiviti bermotosikal masih disifatkan perkara baru dan jarang dilakukan wanita muda seusianya, Ahirine membuktikan dia mampu mengendalikan mesin besar dan pantas itu, tanpa

mengorbankan aspek feminin dalam diri.

Jaket trucker

Lewat abad ke-19, Levi Strauss & Co memperkenalkan jaket denim dikenali sebagai blaus denim. Ia berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud kemeja. Jaket itu bagaimanapun menampilkan tiga lisu di setiap bahagian tengah butang yang boleh dibuka untuk ruang tambahan, di samping rivet untuk keselamatan pada poket hadapan, pergelangan tangan serta bahagian belakang.

Ketika itu, jaket ini melambangkan revolusi serta usaha gigih yang menjadi tradisi Amerika. Dekad demi dekad berlalu, jaket denim ini hadir dalam tiga gaya, TYPE I, TYPE II dan TYPE III.

Gaya paling popular adalah 70505 atau jaket trucker TYPE III yang mula diperkenalkan kira-kira 50 tahun lalu. Digayakan oleh setiap lapisan masyarakat termasuk peladang ternak, bintang rock, pemandu trak dan golongan pemberontak, ia rekaan paling dikenali daripada kesemua jaket jenama itu.

Dilahirkan dalam pergerakan pemberontakan dikenali Summer of Love dan digayakan penuh bersahaja oleh George Harrison ketika menghabiskan masa di Haight-Ashbury, San Francisco, jaket Trucker Type III ini bagaikan mewakili suara remaja, gaya tulen, unik serta seni ekspresi diri yang menggegarkan budaya dunia sejak 1967.

Apabila anda memikirkan jaket denim, tentunya jaket trucker Type III paling menepati kehendak dan gaya. Ia adalah contoh yang direka Jack Lucier dengan nombor lot 70505!

Disiarkan pada: November 18, 2017 @ 12:01am
d