hati

Pusat sehenti misi 4 rakan kongsi

Oleh Siti Zarinah Sahib

Tiada rahsia antara mereka. Masing-masing saling berkongsi pendapat dan ilmu bagi memastikan jenama diperkenalkan mendapat perhatian ramai.

Sebagai pemegang lesen yang membawakan jenama Al-Kauthar, Mahya Mohamed Tarip, Abdul Malek Othman, Nurul Liyana Khairuddin dan Nuha Selamat mempunyai misi yang sama iaitu memperkenalkan butik mereka sebagai pusat sehenti untuk kelengkapan haji serta umrah.

Bagi mencapai matlamat ini pastinya kualiti setiap keluaran dijaga agar pelanggan mendapat ‘suasana’ berbelanja dalam persekitaran menyeronokkan dan dilimpahi kasih sayang.

Dikenali dengan telekung berkualiti Al-Kauthar yang dijual menerusi ejen dan stokis menjelang tahun ketiga penubuhannya, pengasas Al-Kauthar Norliza Hayati Ahmad Shairuzi mengorak langkah membuka rangkaian butik haji dan umrah.

Menariknya ia ditawarkan kepada stokis terpilih menerusi kaedah pemegang lesen. Dalam tempoh kurang setahun tiga butik sudah beroperasi iaitu di Banting, Putrajaya dan Wangsa Maju Kuala Lumpur.

Bagi pemilik bersama Al-Kauthar yang terletak di Wangsa Maju, Mahya Mohamed Tarip dan Abdul Malek Othman, kedua-duanya tertarik untuk menjalankan perniagaan bersama kerana berasakan perjalanan yang diatur Allah ini cukup indah dan mudah.

Abdul Malek adalah bekas jurutera di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mempunyai syarikat tenaga dan automasi manakala Mahya bekerja sebagai kakitangan Al-Kauthar dengan mengetuai bahagian laman sesawang dan stokis.

Disebabkan mempunyai kepakaran dalam pemasaran dalam talian dan mencipta kejayaan tersendiri dengan menjual produk yang diambil dari luar negara akhirnya dia ditawarkan bekerja sebagai pembantu peribadi Norliza serta ditugaskan bersama-sama merancang pelan pemasaran syarikat.

“Ketika itu saya langsung tidak berminat membuka butik tetapi mulai tertarik melihat pelan jangka panjang jenama ini pada masa akan datang. Saya nyatakan persetujuan dan bercadang berniaga di Kelantan. Namun selepas bertemu Abdul Malek keputusan ini berubah apabila dia ingin menjadi rakan niaga saya di sini.

“Melihat kepakaran dalam bidang masing-masing dan kualiti produk ditawarkan, kami mengambil kata sepakat membuka butik Al-Kauthar di Wangsa Maju Kuala Lumpur,” kata Mahya.

Memulakan operasi pada 4 November lalu, butik ini bukan setakat menyediakan kelengkapan haji dan umrah tetapi turut berkongsi pengalaman peribadi menunaikan umrah kepada pelanggan. Pada masa sama ingin mendidik orang ramai menyimpan duit secara berdikit-dikit bagi menyempurnakan hasrat suci mereka.

“Pada masa sama kami turut mengadakan program ilmiah bagi berkongsi ilmu dengan masyarakat sekitar. Turut menyediakan kelengkapan dari hujung kaki hingga rambut membolehkan pelanggan mendapatkan keperluan mereka di tempat sama,” katanya yang menyediakan telekung, jubah, kurta, tudung labuh dan pelbagai kelengkapan pada harga berpatutan.

Menariknya telekung Al-Kauthar menggunakan tujuh meter kain kapas berkualiti tinggi dengan dua lapisan bagi menjaga aurat. Bahagian bawah dagu diletakkan kain lembut dan dan boleh regang agar jemaah selesa memakainya. Paling penting ia melekap cantik pada wajah si pemakai dan tidak panas.

DULU JUAL KEK

Bermula menjual pavlova dan kek secara dalam talian, ibu kepada lima cahaya mata ini berhasrat mengubah haluan dengan menceburi perniagaan pakaian solat. Namun disebabkan tiada ilmu dalam pemasaran membuatkan jenama telekung dihasilkan tidak dapat dijual. Pertemuan dengan Norliza Hayati pada Februari lalu membuatkan hatinya tergerak menjadi pemegang lesen Al-Kauthar.

“Saya melakukan solat istikharah memohon petunjuk agar Allah memudahkan urusan. Alhamdulillah bermula daripada mencari lokasi dan sumber pelaburan semuanya berjalan lancar. Akhirnya pada 26 September rasminya Al-Kauthar dibuka di Putrajaya,” kata Nuha gembira.

Selain berniaga, niat Nuha adalah ingin berkongsi kebaikan Al-Kauthar kepada pelanggan. Sebelum ini ada yang merungut sukar mendapatkan kelengkapan haji dan umrah di tempat yang sama tetapi butik itu menjadi pusat sehenti kepada bakal haji dan umrah mendapatkan keperluan mereka.

“Di samping itu, banyak kelebihan menjadi pemegang lesen Al-Kauthar kerana kami berniaga bersama. Ini membolehkan saya bertukar-tukar idea mengenai bisnes dengan rakan yang lain. Kami juga mendapat tunjuk ajar daripada pengasas jenama selain teknik pemasaran dan pengiklanan yang dilakukan oleh syarikat. Ia menjimatkan masa dan kos. Berpandukan kepada guru atau sifu ini mengelakkan kami daripada melakukan kesilapan,” katanya yang berkongsi modal dengan dua rakan bisnes lain.

Sejak beroperasi Al-Kauthar mendapat kepercayaan pelanggan di kawasan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka. Melalui produk berkualiti yang patuh syariah, tidak hairan jika jenama ini mula menjadi pilihan terutama mereka yang inginkan keselesaan ketika beribadat.

KELUARGA PENGUAT SEMANGAT

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Sains, Nurul Liyana Khairuddin, mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga. Bosan disebabkan tidak berbuat apa-apa dia mula menjadi ejen ‘dropship’ untuk telekung Al-Kauthar.

“Teknik pemasaran dan kualiti produk membuatkan pelanggan yakin dengan jenama ini sehinggakan ia mudah dijual. Lama-kelamaan bermula sekadar suka-suka saya berazam melakukan dengan bersungguh-sungguh. Tidak sampai setahun saya dipilih sebagai stokis ini membuatkan saya lebih agresif dalam penjualan dengan membuka tapak niaga di kawasan masjid,” katanya memulakan cerita.

Mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana Nurliyana perlu membawa anak-anak bersama ketika berniaga selain menjaga ayah yang terlantar kerana strok. Namun sokongan Norliza membuatkan Nurliyana tidak keseorangan ketika berhadapan masalah.

“Saya cuma tetapkan niat berniaga untuk membantu keluarga terutama ayah yang sedang sakit. Mungkin niat yang ikhlas menyebabkan Allah dorongkan semuanya. Seakan diatur cantik apabila Norliza bertanya sama ada saya ingin turut serta sebagai pemegang lesen Al-Kauthar, saya terus bersetuju tanpa perlu berfikir panjang.

“Saya mula mencari lokasi butik dan rakan niaga yang mahu berkongsi modal. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan pada 15 Ogos butik Al-Kauthar pertama di Banting dibuka dengan rasminya,” katanya gembira.

Jelas Nurliyana, sebagai pemilik butik, dia ingin memberikan suasana berbeza ketika pelanggan berada di butiknya. Selain meraikan tetamu Allah, Al-Kauthar bukan sekadar lokasi membeli-belah tetapi ruang berkongsi pengalaman serta pengisian rohani yang disampaikan penceramah jemputan bagi memberikan nilai tambahan kepada pelanggan.

“Butik dengan dekorasi santai diharap dapat dijadikan medan ilmu dan semarak kasih sayang bagi pelanggan yang pernah mengunjunginya. Biarlah di antara pelanggan ada sentuhan jiwa yang membuatkan mereka gembira. Itulah yang saya harapkan, kerana perniagaan ini bukanlah berasaskan keuntungan semata-mata tetapi ada program rohani yang dapat mendekatkan mereka dengan pencipta,” kata ibu kepada empat cahaya mata.

Menurut Nurul Liyana, jika dulu dia hanya mengharapkan kewangan suami untuk membeli keperluan diri tetapi sejak menceburi perniagaan keyakinan kepada Allah bertambah mantap dan kuat. Dia percaya apa juga dilakukan adalah dengan izin Allah, doa dan minta apa sahaja kepadanya, pasti akan dimakbulkan.

“Selain itu saya mempunyai matlamat yang jelas mengapa perlu berniaga. Semangat yang kuat membuatkan saya terus melakukan apa yang sudah dirancang tanpa menoleh ke belakang. Syukur kerana sebagai pemegang lesen semuanya sudah diatur bermula teknik pemasaran, pengiklanan dan produk yang akan dipasarkan di butik. Kami hanya perlu memastikan dapat menarik pelanggan sama ada menerusi dalam talian atau mengunjungi butik yang terletak di Banting, Selangor,” katanya yang turut menggalakkan sesiapa yang ingin berniaga menjadi ejen.

Selain Wangsa Maju, Presint 15 Putrajaya dan Banting, tujuh lagi cawangan Al-Kauthar akan dibuka iaitu di Senawang, Ipoh, Pulau Pinang, Rawang, Melaka dan Batang Kali manakala butik Al-Kauthar di Laman Seri, Shah Alam akan dilancarkan pada 25 November ini. Pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah dengan hadiah istimewa akan diadakan.

Bermatlamat melengkapkan 10 butik pada Disember 2017, ia membuktikan jenama ini komited menjadi peneraju dalam menyediakan kelengkapan haji dan umrah serta pakaian solat patuh syariah. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.alkauthar.com.my atau menghubungi talian 019-3584983.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 2:48pm
d