hati

Foto diambil spontan terpilih

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kebaikan boleh disebarkan dengan pelbagai cara sama ada melalui ceramah, projek ataupun program berkaitan. Malah, tidak mustahil jika kebaikan juga boleh disebarkan melalui peraduan terutama membabitkan generasi muda.

Mungkin kita tidak pernah terfikir peraduan fotografi adalah salah satu cara yang mampu mengingatkan generasi muda mengenai kebaikan.

Anak sulung daripada enam beradik ini begitu meminati bidang berkenaan kerana beranggapan bahawa apa saja yang dirasai atau difikirkan dapat diluahkan menerusi fotografi.

Dua tahun lalu, dia tekad belajar sendiri ilmu fotografi dan berhasrat menjadikan hobinya itu sebagai perkara yang bermanfaat.

Menurut Muhammad Fariduddin Mat Noor, 22, pelajar undang-undang tahun ketiga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selain banyak membabitkan diri dalam aktiviti fotografi di dalam dan luar kampus, dia juga aktif menjalankan kerja sukarelawan bersama rakannya.

“Aktiviti sukarelawan bermula pada 2014 ketika banjir melanda Kelantan. Saya dan rakan turut ke sana bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Kemudian keinginan untuk membantu diteruskan. Kami 11 orang ke Jordan dan bekerjasama dengan pelajar Malaysia di sana bagi menghantar bantuan kepada pelarian Syria pada April lalu,” katanya.

Jelasnya, semangat membantu masih ada hingga ke hari ini dan disebabkan itu dia tidak teragak-agak menyertai pertandingan fotografi yang bertemakan kebaikan.

Jika sebelum ini dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan fotografi kerana kebanyakan gambar yang diambil dijadikan sebagai koleksi peribadi untuk kepuasan sendiri.

Namun, apabila AIKOL Kindness Challenge yang diadakan bermula pada 25 Oktober hingga 3 November lalu itu dilancarkan dan mendapat kerjasama Kindness Malaysia, ia membuatkan hati terdetik untuk menyertainya apatah lagi program ini dianjurkan dalam komuniti terdekat.

“Tiga gambar berbeza dihantar dan hanya satu yang dipilih sekali gus melayakkan saya untuk memenangi tempat pertama. Gambar terpilih itu diambil secara spontan.

“Ia menceritakan mengenai seorang lelaki sihat yang memayungi pelajar kelainan upaya (OKU) ketika ingin ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

“Di sebalik gambar ini saya dapat rasakan kesusahan dilalui pelajar OKU berkenaan kerana pernah mengenalinya satu ketika dulu sewaktu sama-sama mendaki,” katanya.

AJAK LAKUKAN KEBAIKAN

Menurut pengurus projek, Nur Hidayati Ismail, program berkenaan diadakan sempena Festival AIKOL yang dianjurkan oleh universiti berkenaan.

Dia dan penolong pengurus projek, Nur Balqis Mohd Badawi serta ahli jawatankuasa, Aina Shafina Idrus Saidi, antara pelajar yang bertanggungjawab menjayakan program berkenaan bagi menyebar kebaikan.

Hadir ke studio Balai Berita sambil ditemani Pengasas Kindness Malaysia Muhammad Kamarulazizi, ketiga-tiga pelajar berusia 22 tahun ini membawa satu misi yang ingin disampaikan kepada generasi muda mengenai sifat kebaikan yang dikatakan semakin terhakis dalam jiwa sesetengah pelajar.

Mereka bertiga adalah daripada Biro Kebajikan Persatuan Pelajar Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM Gombak dan ditugaskan mencari satu program berunsurkan kebajikan serta kebaikan.

“Festival berkenaan mengetengahkan tema profesionalisme. Namun, di sebalik tema dan program dianjurkan, tertinggal satu perkara penting iaitu membabitkan kebaikan.

“Kami diberi tugasan untuk melaksanakan satu program berunsurkan kebaikan dan pada masa sama mahukan projek yang mudah namun memberi impak positif.

“Akhirnya, kami memilih mengadakan peraduan fotografi bertemakan kebaikan. Projek ini mengambil pengajaran daripada ikon hebat iaitu Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Jelasnya, seorang lagi ikon yang mencetuskan idea untuk melaksanakan peraduan berkenaan adalah pengasas Kindness Malaysia, Muhammad.

Kegigihan Muhammad yang berusaha melakukan 35 kebaikan dalam sehari sempena hari kelahirannya pada 8 April lalu membuka mata mereka untuk menyebarkan kebaikan melalui aktiviti mudah tetapi bermanfaat.

Peraduan fotografi itu dibuka kepada pelajar di semua kampus UIAM dan tanpa disangka ia mendapat sambutan hingga menerima 300 penyertaan.

Malah, tempoh peraduan juga perlu dipanjangkan iaitu bermula 25 Oktober hingga 3 November kerana menerima sambutan yang memberangsangkan.

Hanya 65 daripada 300 peserta disenarai pendek kerana setiap gambar yang dihantar perlu memenuhi syarat utama iaitu patuh syariah.

Peraduan yang mendapat tajaan Sass Gadget, Dhomestay, Perhentian People, My Gadget Malaysia, Hey Ice Cream dan Kindness Malaysia itu hanya memilih 10 peserta untuk hadiah sagu hati serta tiga pemenang teratas.

“Tujuan kami hanya membuka penyertaan dalam kalangan pelajar kerana pernah mendengar keluhan mengenai generasi muda yang semakin terhakis ciri kebaikan dalam diri mereka dek sibuk mengejar kejayaan.

“Pada masa sama, kami ingin dikenali sebagai penggerak atau menjadi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan lebih banyak projek kebaikan terutama dalam kalangan pelajar.

“Oleh itu, kami ambil kesempatan ini untuk mengingatkan dan mengajak lebih ramai pelajar melakukan kebaikan apatah lagi ia bersesuaian dengan sambutan Hari Kebaikan Sedunia,” katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad, pembabitan pelajar universiti di peringkat kampus dalam menyebarkan kebaikan melalui program seperti ini dapat menarik lebih ramai pelajar universiti menyertainya.

“Biarpun peraduan ini nampak mudah namun ada manfaatnya. Bagi saya gambar dan keterangan gambar mampu memberi impak secara meluas kepada sesiapa saja yang melihat.

“Ia bertambah menarik apabila disebarkan melalui media sosial yang kini mempunyai pengaruh tersendiri kepada golongan muda masa kini.

“Medium berkenaan boleh dijadikan sebagai satu platform terbaik untuk menyebarkan kebaikan. Saya berharap dapat membuat lebih banyak projek kebaikan dengan universiti terutama dalam Festival AIKOL akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 3:18pm
d