hati

Rencatkan penghasilan melanin

Oleh HM Digital

Obses untuk cantik menyebabkan sesetengah wanita terpedaya. Kita sering mendengar rintihan dan pengakuan wanita yang mengalami pelbagai masalah kulit selepas mencuba sesetengah produk tanpa menyelidik dulu status keselamatan serta kandungan bahannya.

Menurut Ketua Penyelidik Kosmeseutikal dan Wangian Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia (IBD UTM) Dr Mariani Abdul Hamid, sesetengah produk kecantikan akan memberikan kesan negatif kepada kulit apabila tidak lagi digunakan disebabkan bahan berbahaya di dalamnya.

Penggunaan bahan kimia berbahaya ini akan merosakkan lapisan semula jadi kulit. Sebagai contoh, hidrokuinon dan merkuri menyebabkan kerosakan sel kulit seperti melanosit dan fibroblas. Sel melanosit ini berfungsi menghasilkan melanin sementara sel fibroblas membantu membina kolagen bagi memastikan kulit sihat dan anjal.

Ketiadaan sel melanosit menyebabkan melanin yang bertindak sebagai pelindung kulit daripada sinaran ultra ungu (UV) berbahaya tidak dapat dihasilkan. Oleh itu, kulit mudah terbakar, kemerahan dan ditumbuhi ruam apabila terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran UV yang berterusan juga menyebabkan keradangan kulit dan menjejaskan penghasilan kolagen.

“Bahan kimia berbahaya seperti hidrokuinon dan merkuri akan merencatkan penghasilan melanin dan lebih teruk merosakkan sel kulit. Apabila penggunaan produk kosmetik mengandungi bahan kimia ini diberhentikan, sel melanosit cenderung menghasilkan melanin secara berlebihan dan tidak terkawal menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti hiperpigmentasi, melasma, jerawat dan kulit kusam berlaku. Keadaan ini mengambil masa yang lama untuk pulih,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, kebanyakan produk kecantikan mengandungi hidrokuinon dan merkuri kerana kedua-dua bahan kimia ini bersifat aktif sebagai agen pencerah kulit. Hidrokuinon kebiasaannya dicampurkan ke dalam produk kecantikan bagi mengurangkan proses penghasilan melanin kulit dengan membunuh sel melanosit.

“Sebab itu produk kecantikan mengandungi dua bahan kimia ini menjadikan kulit lebih cerah dengan cepat. Jika berhenti kulit kembali menjadi gelap dan kusam. Penggunaan hidrokuinon juga sebenarnya menjadi kulit lebih sensitif kepada sinaran UV kerana struktur kulit yang semakin menipis dan terhakis.

“Oleh itu, pengguna perlu mengelak daripada kerap terdedah cahaya matahari. Kulit pengguna menjadi merah terbakar, gatal dan ruam akibat penggunaan produk kecantikan yang mengandungi kedua-dua bahan kimia ini secara berterusan,” ujarnya.

Sebagai pakar dan penyelidik dalam membuat uji kaji di makmal mengenai bahan berbahaya dalam produk kecantikan Dr Mariani menjelaskan, penggunaan bahan kimia berbahaya menyebabkan kulit mengalami pengelupasan dan keradangan. Keadaan ini menjadikan kulit lebih sensitif dan lebih teruk memusnahkan fungsi pertahanan kulit.

“Lapisan luar kulit iaitu stratum corneum membantu melindungi kulit daripada pencemaran alam sekitar, serangan bakteria, fungi dan virus, selain mengawal kelembapan, melindungi kulit daripada perbezaan suhu. Apabila sistem pertahanan kulit musnah, sel kulit akan hilang kawalan dan terdedah kepada kerosakan. Kulit akan hilang kawalan kelembapan, tiada pertahanan dan terdedah kepada sinaran UV merbahaya yang boleh merosakkan DNA sel kulit.

“Pelbagai masalah kulit akan timbul sekiranya masalah ini berpanjangan. Kulit yang sihat akan berganti sel baru setiap 28 hari, kulit yang tidak sihat akan mengambil masa yang lebih lama untuk diganti dengan yang baru. Ini akan menyebabkan kulit hilang keanjalan, keseimbangan dan daya kawalan yang boleh menjurus kepada masalah penuaan pramatang dan kedutan,” katanya yang turut menghasilkan produk sendiri DERMAGs berasaskan manggis yang kini sudah tiga tahun di pasaran.

Bagi pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk kecantikan boleh membuat semakan dengan merujuk laman sesawang National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) yang menyenaraikan produk disahkan mempunyai bahan beracun dan dilarang di http://npra.moh.gov.my/ dan semak di bawah tajuk kosmetik.

BAHAN KIMIA YANG BIASA DIGUNAKAN DALAM PRODUK KOSMETIK

1 . Sodium Lauryl Sulfate (SLS)/ Sodium Laureth Sulfate (SLES)

Bahan kimia yang kerap digunakan di dalam produk kosmetik seperti syampu, mandian dan pencuci muka. SLS/ SLES adalah sejenis surfaktan yang boleh menyebabkan kesan iritasi kepada kulit dan memedihkan mata.

2 . Phthalates

Phthalates adalah bahan kimia yang digunakan di dalam produk juga berfungsi sebagai surfaktan. Penggunaan phthalates secara berlebihan memberi masalah kepada sistem reproduktif individu.

3. Formaldehyde

Digunakan sebagai bahan pengawet dalam produk kecantikan. Formaldehyde mempunyai bau yang kuat dan tidak berwarna bersifat kasinogen kepada manusia.

4 . Merkuri

Adalah logam berat dan mudah meresap ke dalam tubuh dan berkumpul pada organ dalaman. Digunakan dalam produk kecantikan sebagai agen pencerah (pemutih). Istilah yang selalu diguna pakai adalah metil-merkuri yang merosakkan kulit apabila penggunaan dihentikan.

5 . Hidrokuinon

Adalah agen pencerah (pemutih) yang sering digunakan di dalam produk kecantikan terutama krim pencerah. Ia boleh menyebabkan kanser darah dan hati. Bagi kaum wanita kanser payudara amat berbahaya. Hidrokuinon bersifat karsinogen terhadap tubuh manusia.

6 . Paraben

Bahan antibakteria dan pengawet yang paling popular juga dikenali sebagai, metil-paraben, iso-butilparaben dan propil-paraben. Paraben didakwa boleh menyebabkan kanser dan dilarang penggunaannya di dalam produk kecantikan. Bagaimanapun, masih terdapat penggunaan paraben dalam beberapa produk kecantikan dengan jumlah peratus isi padu yang sangat rendah. -Siti Zarinah Sahib

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 1:03pm
d