hati

Kekalkan penglihatan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kesihatan mata yang baik dan penglihatan yang jelas memainkan peranan besar dalam usaha mengejar gaya hidup berkualiti. Oleh itu, pemeriksaan mata berkala bukan saja dapat membantu mengekalkan penglihatan yang baik, malah membolehkan pengesanan awal dan rawatan terhadap keadaan yang lebih serius seperti katarak dan glaukoma.

Menurut Suruhanjaya Mata Kebangsaan (NES) pada 2014, seramai 272,000 rakyat Malaysia mengalami masalah penglihatan disebabkan oleh katarak, manakala 216,000 yang lain mengalami kehilangan penglihatan kerana kelewatan menjalani pembedahan katarak.

Pakar Perunding Oftalmologi, Katarak dan Pakar Perubatan Refraksi dari Pusat Pakar Mata Vista (Vista) Dr Paul Lim berkata, kehilangan penglihatan disebabkan katarak boleh dicegah dengan mudah, namun ia masih menjadi punca utama kebutaan di Malaysia.

Katanya, pesakit mungkin bimbang untuk menjalani pembedahan, bagaimanapun kemajuan teknologi membolehkan pembedahan katarak berkembang menjadi prosedur mudah dengan risiko yang sangat minimum.

“Oleh itu, pesakit harus mempertimbangkan untuk mendapatkan rawatan tepat pada masanya bagi mengelakkan kerosakan kekal dan memulihkan penglihatan yang baik,” katanya pada majlis pembukaan klinik baru Vista di Bandar Puteri Puchong.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Vista Lim Boon Siong.

Sebagai usaha berterusan dalam menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan mata secara berkala serta penyakit buta yang boleh dielakkan dalam kalangan rakyat Malaysia, Vista berikrar memberikan 100 prosedur katarak mata kepada 50 pesakit yang memerlukan.

Ia juga bersempena sambutan ulang tahun Vista yang ke-18 dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi kempen “Vista Lihat Malaysia dari Kabur Menjadi Jelas.”

Terdahulu Lim berkata, adalah keutamaan syarikat itu memperkasakan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk membawa penglihatan mereka daripada ‘kabur menjadi jelas’.

Justeru katanya, kempen itu adalah usaha berterusan dalam memperluas penyelesaian pembetulan penglihatan dan pemeriksaan mata secara komprehensif kepada komuniti di seluruh Malaysia.

“Pada masa sama, kami mahu meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan mata secara berkala dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang mengamalkan tabiat ini dan menjadikan pemeriksaan mata sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan mereka,” katanya.

TAJA rawatan KATARAK

Sebagai sebahagian daripada kempen induk itu dengan kerjasama Persatuan Warga Emas, Vista akan menaja prosedur katarak untuk 100 mata bagi 50 orang pesakit yang mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.

Keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak pernah menjalani prosedur katarak dan berdasarkan kepada status kesihatan pesakit seperti tekanan darah dan paras glukosa terkawal atau stabil, serta ketiadaan sebarang penyakit asas seperti glaukoma atau masalah jantung.

Pesakit terpilih juga akan menjalani penjagaan selepas pembedahan seperti yang disarankan pakar mata syarikat berkenaan.

Sesi pemeriksaan mata sehari diadakan di Vista@Puchong pada 3 Disember 2017 untuk memudahkan pemilihan pesakit dan jika terpilih, pesakit harus menjalani prosedur katarak di pusat itu sebelum 31 Januari 2018.

Selain ikrar itu, Cabaran Remaja Vista 2017 yang memasuki tahun ketiga di bawah inisiatif CSR untuk memberi pengalaman kehidupan sebenar kepada pelajar dalam mengatur dan mengurus kempen dalam talian.

Menggunakan pendekatan media sosial, peserta Cabaran Remaja Vista dijangka dapat meningkatkan sikap kerjasama, kemahiran pengurusan projek, media sosial dan pembuatan filem.

Daripada perancangan projek hingga pelaksanaan, peserta akan dibimbing oleh Vista serta rakan kongsi bagi melaksanakan projek yang dirancang untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah katarak dalam kalangan anggota masyarakat.

Dr Lim berkata, pihaknya percaya kempen itu memberi kesan yang meluas dalam membantu lebih ramai orang awam menikmati kebebasan melalui penglihatan yang baik dan sebagai panduan mengenai penyakit buta yang boleh dicegah disebabkan oleh katarak.

Katanya, dengan pembukaan pusat baru itu, penduduk dan mereka yang berada di kawasan sekitarnya akan mempunyai akses yang lebih baik kepada pemeriksaan mata berkala.

“Bukan itu sahaja, memandangkan kini terdapat kekurangan pakar mata di Malaysia, kita akan dapat memenuhi keperluan ini, menyediakan komuniti dengan penjagaan mata dan perkhidmatan yang sesuai. Berdasarkan pengalaman dan kepakaran dengan bantuan teknologi maju, pesakit boleh dibantu untuk mencapai potensi penuh dalam penglihatan mereka dengan cara yang paling selamat,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 11:52am
d