hati

Hapus persepsi buruk

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Peningkatan usia adalah satu proses semula jadi berterusan yang tidak dapat dielak atau dihalang dan untuk wanita, menopaus bukanlah perkataan asing seiring proses itu.

Menopaus juga bukan suatu proses menakutkan sebaliknya persediaan awal ke arah proses penuaan akan merubah hidup menjadi lebih sihat dan bermakna jika kesihatan terjaga.

Sempena Hari Menopaus Sedunia 2017, Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM) baru-baru ini melancarkan laman web khas bagi memperkasakan wanita Malaysia yang baru memulakan perjalanan menopaus mereka.

Pertama seumpamanya di negara ini, Menopause Facts (www.menopausefacts.org) adalah laman web komprehensif yang menawarkan pemahaman mendalam berkenaan menopaus, termasuk maklumat terkini mengenai tanda awal di samping pilihan rawatan dan terapi.

Pemilihan kandungan yang relevan kepada negara ini sentiasa diberi penekanan dan dikawal rapi sepanjang pembangunan laman web ini.

Data statistik dan fakta yang dipaparkan di laman web ini dipastikan kesahihannya berdasarkan kajian klinikal di Malaysia melalui sumber yang dipercayai.

Pengguna boleh mencapai kandungan video dan podcast yang dibangunkan khas oleh pemimpin pendapat yang penting dari Malaysia dan serata dunia.

Pengguna juga boleh mencuba menggunakan pelbagai perkakas dalam talian bagi menilai risiko mereka dalam menghidapi kanser payudara, penyakit jantung, strok dan keretakan tulang.

Presiden OGSM Dr Thaneemalai Jeganathan berkata, menjelang 2030, 15 peratus daripada populasi Malaysia akan berumur lebih 60 tahun, oleh itu ia masa yang paling baik untuk mengetengahkan perbincangan berkenaan isu sebelum, semasa dan selepas menopaus yang menjejaskan ramai wanita.

Katanya, dengan jangka hayat yang lebih panjang, seseorang wanita itu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghabiskan satu pertiga hayatnya dalam menopaus.

“Kesedaran mengenai isu kesihatan sewaktu menghampiri, semasa dan selepas menopaus, contohnya risiko menghidapi penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan osteoporosis, boleh membantu seseorang wanita untuk bersedia menghadapi fasa ini.

“Hasilnya, mereka turut mendapat faedah daripada strategi pencegahan dan pengawasan lebih awal daripada yang sepatutnya,” katanya.

Sebuah kajian tempatan mendapati purata umur bagi menopaus adalah kira-kira 50.7 tahun.

Gejala vasomotor adalah perkara biasa didapati dalam kalangan wanita Malaysia yang melalui menopaus, dengan 56 peratus mengalami gejala kehangatan, keletihan (49 peratus) dan masalah kolesterol tinggi (84 peratus).

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kecil Menopaus OGSM Dr Premitha Damodaran pula berkata, jika umur panjang, setiap wanita pasti akan melalui fasa penting itu.

Pada waktu ini katanya, ovari akan berhenti mengeluarkan estrogen dan progesteron, menandakan berakhirnya proses kitaran haid.

“Gejala yang dialami termasuk kehangatan, berpeluh secara berlebihan, kesukaran untuk tidur dan keletihan. Malangnya, khabar angin mengenai menopaus sering membuatkan wanita gerun memikirkannya, menganggapnya azab dan seksa, sehinggakan ramai menganggap mereka menjadi tua dan uzur apabila putus haid,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata, dengan laman web itu, pihaknya mahu mengingatkan menopaus seharusnya difahami dan diterima dengan hati yang terbuka.

“Berteraskan ilmu pengetahuan, laman ini diwujudkan sebagai sumber dalam talian untuk wanita Malaysia mencari jawapan yang sangat mereka perlukan.

“Sebagai laman pertama yang seumpamanya untuk kegunaan awam, ia mengandungi kajian dan data tempatan yang relevan serta menggariskan pilihan rawatan yang boleh didapati, termasuk penggunaan terapi hormon menopaus dan pelbagai amalan alternatif,” katanya.

Sejak penubuhannya, OGSM menjadi peneraju dalam memperjuangkan pembangunan kesihatan kaum wanita dan ibu di Malaysia. Persatuan ini turut terbabit di dalam mempromosikan kesihatan wanita melalui penganjuran projek kesihatan masyarakat dan kempen kesedaran kesihatan yang menangani topik seperti kanser payudara, kanser serviks, endometriosis dan menaungi program kesihatan remaja wanita di sekolah dan kolej.

Beberapa langkah ke arah kehidupan sihat dan bahagia sepanjang hayat, iaitu:

- Menggalakkan cara hidup sihat seperti berhenti merokok

- Keadaan fizikal sentiasa aktif seperti bersenam secara tetap

- Keadaan mental sentiasa aktif seperti selalu membaca dan berfikir

- Amalkan makanan seimbang

- Mengekalkan berat badan unggul

- Melakukan pemeriksaan perubatan dan gigi secara tetap

- Nikmatilah aktiviti bersama keluarga

- Luangkan masa untuk berehat dan beriadah

- Sentiasa bergembira

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 11:55am
d