hati

Rekaan tirus, bersegi

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Sempena perubahan konsep rekaan stornya yang terkini, Geox turut mempersembahkan koleksi kasut wanita dan lelaki untuk musim luruh/dingin tahun ini.

Gabungan nilai inspirasi gaya Itali, reka bentuk kontemporari, keaslian dan kesejahteraan sentiasa menjadi keutamaan jenama itu sama ada pada rekaan stor konsep mereka atau koleksi kasut yang diperkenalkan.

Trend pakaian formal dan kehidupan bandar tidak dapat dipisahkan dengan lelaki. Bagi memberi keunikan dalam bergaya, ciri klasik dan moden direka untuk disesuaikan dengan pakaian yang digayakan, bukan saja menjadi pilihan ideal tetapi mampu membuatkan pemakai kelihatan lebih ceria serta bebas.

Rekaan kasut kulit yang langsing berpotongan tirus dan sedikit bersegi di bahagian depan itu disempurnakan dengan ciri tapak yang memiliki sistem pernafasan selain tahan lasak, fleksibel dan ringan.

Sama seperti gaya sporty kontemporari, kasut but paras buku lali bertapak getah diberi potongan depan yang bulat supaya tampak santai. Koleksi kasut itu ditampilkan dalam dua pilihan warna iaitu coklat dan hitam yang dilengkapkan dengan sentuhan vintaj serta berkilat.

Evolusi rekaan kasut bertema kasual diteruskan dan menonjolkan versi kasut rendah atau tinggi dalam pilihan material kulit lembut bersama rona bumi yang disiapkan dengan sistem pernafasan dipatenkan.

Koleksi berkenaan mewakili gaya Itali yang elegan, minimalis dan inovatif di mana beberapa komponen seperti bahagian atas yang digabungkan dengan tapak khas menggunakan 100 peratus getah dikitar dan diguna semula.

Gaya santai ditonjolkan menerusi koleksi Nebula pula menggabungkan revolusi rekaan dalaman dengan teknologi kalis air selain mengambil kira sistem pernafasan, kelembutan dan kelenturan.

Bagi rekaan kasut wanita pula, ciri keselesaan dan sistem pernafasan terus menjadi keutamaan. Gaya moden bersama kasut tutup bertumit hinggalah booties, mokasin dan bertali direka menggunakan kulit lembut dengan corak brog (lubang kecil) atau butang logam.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 10:27am
d