hati

Kain batik dipermodenkan

Oleh Rashidah Ibrahim

Sekian lama kain batik sarung dianggap tidak glamor, hanya sesuai dipakai di tempat terlindung, misalnya sebagai pakaian harian di rumah atau dijadikan kain basahan.

Mujurlah sarung pelekat bagi lelaki masih penting, itu pun hanya dipakai untuk menunaikan solat di masjid atau di rumah. Kedudukannya diangkat sedikit tatkala dijadikan samping pelengkap baju Melayu pada pagi lebaran.

Memakai kain sarung kian dipandang lekeh, dianggap tidak bersopan atau kekampungan, pada hal kain sarung pada masa dahulu adalah pakaian budaya yang diguna pada hari keraian dan majlis.

Kain sarung adalah sebidang kain yang dijahit lurus sama lebar dari hujung atas ke bawah, membentuk lubang yang membolehkannya disarungkan ke tubuh. Mungkin ia mendapat nama daripada cara pemakaiannya iaitu disarungkan ke badan.

Wanita pada masa dulu memadankan kain batik dengan kebaya pendek atau kebarung, tetapi kini ia jarang digunakan kerana tidak ramai pandai mengikatnya di pinggang. Kalau ada pun diubah suai dengan dijahit siap menjadi kain lipat berlapis atau belah.

Pada masa dulu baju kurung juga dipakai dengan kain sarung berombak yang dilipat dan disusun dengan tangan di sisi kiri atau kanan pinggang. Kain lipatan berombak itu terbentuk secara manual dengan bantuan empat jari, yang kemudian diikat kemas dengan tali pinggang. Kain sarung lipatan berombak ini khusus dipakai dengan baju kurung tradisional, sementara untuk kebarung dan kebaya singkat, kain sarung dipakai manual secara lipatan berselisih di hadapan sama ada tengah atau tepi dan bahagian hujungnya diselitkan di pinggang.

Menggunakan sarung tanpa tali pinggang atau diikat dengan tali yang tidak sempurna, risiko boleh terlondeh atau terlorot. Justeru zaman ini hampir tiada lagi sanggup bersusah payah memakai sarung diikat manual seperti zaman 40-an dan 50-an, kerana bukan saja rumit tetapi leceh.

Bagi lebih mudah dan memberi keselesaan sewaktu dipakai, rata-rata kain sarung kini dijadikan kain yang dijahit siap mengikut lipatan digemari.

Zaman beredar, kini diperkenalkan pelbagai cara ikatan kain yang dipermodenkan, namun ia lebih kepada fesyen daripada kesempurnaan. Biasanya untuk digayakan di tepi pantai dan di majlis tertentu menggunakan kain batik lepas, bukan sarung.

Rai keunikan kain sarung

Baru-baru ini Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan program Keretapi Sarong #SayangMalaysia 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, sempena sambutan Hari Malaysia ke-54.

Program itu menarik kira-kira 1,000 penyertaan daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang kaum, termasuk pelancong yang memakai kain itu mengikut kreativiti masing-masing.

Penulis turut menjadi peserta kerana mahu merasai pengalaman dan keterujaan memakai kain sarung beramai-ramai sambil merakam memori unik dalam satu acara budaya yang kian dilupa.

Berseorangan, agak janggal pada mulanya apatah lagi majoriti peserta adalah muda-mudi. Melihat gelagat mereka memakai sarung pelbagai gaya, timbul rasa kagum. Sokongan para belia terhadap program berkenaan, tanda masih ada yang sayang pada pakaian budaya itu.

Meski bukan lagi zaman mereka memakai sarung, namun ternyata masing-masing secara rela hati memakainya dengan cara lama dan kreatif, sekali gus mengingati amalan pemakaian datuk nenek dahulu kala.

Memakai secara ‘berjemaah’ begitu, hilang rasa terasing di khalayak. Hadir dengan memakai elemen sama, akhirnya mereka saling bertegur sapa lalu menjadi rakan biarpun sebelumnya saling tidak mengenali.

Di situ, penulis bertemu kawan baru, penyelia, Azimah Ariffin, 51, yang datang bersama dua remaja termasuk anaknya. Beliau mengambil cuti bekerja semata-mata untuk menyertai program promosi sarung itu. Anaknya, Nur Sharima Azira Sharipol, 18, dan rakan teruja menggayakan pakaian daripada kain sarung.

Ada ibu bapa datang dengan anak kecil sambil memimpin, mendukung dan menggunakan kereta sorong. Anak kecil dua tahun yang sama bertanjak dengan bapa dan nenek yang berkerudung sarung, paling menjadi tumpuan. Ada memakai selempang, tengkolok dan destar.

Pelbagai bangsa turut menyertai, bukan saja dari sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, bahkan ada dari Melaka serta negara jiran, Singapura, yang datang semata-mata kerana sarung. Pelancong asing turut teruja dan terpanggil untuk meraikannya.

Pengurus hartanah, Jessica Tan dari Kuala Lumpur berkata, dia menghargai setiap budaya di Malaysia dan suka menyertai aktiviti berkaitan kebudayaan.

“Saya rasa kita perlu bangkitkan budaya lama kerana itulah elemen yang memeriahkan keunikan masyarakat kita,” katanya.

Program berkenaan berakhir dengan perarakan peserta berpakaian sarung ke Muzium Negara untuk menghadiri majlis penutup program oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang memakai sarung pelekat ketika berucap.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 10:35am
d