hati

Ubah stigma pengendali butik, pelanggan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Susuk tubuh wanita ini kecil molek. Senyum menawan, tutur kata lembut. Nama Robaeha Ramza Ramli, 30, mungkin agak asing melainkan jika menyebut Bee Ramza.

Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini memang dikenali dalam kalangan artis dan selebriti tanah air. Bakat menyolek wajah sejak remaja membawa dirinya jauh ke tingkat lebih tinggi.

Sekalipun memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi daripada Universiti Sains Malaysia (USM), ibu muda ini tetap berbangga mengejar impian dan cita-cita bergelar jurusolek artis (MUA) berjaya.

Meneliti latar belakang wanita cantik ini, Robaeha mengakui dia memang cintakan bidang kebudayaan sejak di sekolah rendah.

“Saya suka disolek setiap kali sebelum membuat persembahan di sekolah. Apabila di universiti, saya sertai kumpulan teater dan terus aktif membuat persembahan.

“Menariknya, dalam teater, saya perlu mekap diri sendiri mengikut karakter yang dibawa. Tiada jurumekap, bahkan kawan juga hanya menadah muka kerana tidak berani menconteng wajah sendiri. Dari situ, saya semakin terpesona dengan dunia solekan,” katanya.

Jelas Robaeha, cintanya kepada seni cukup utuh sehinggakan masih kekal menyertai kumpulan kebudayaan ketika bekerja sebagai Pegawai Penyelidik di USM.

“Kemudian saya diberi tugas menjalankan kerja penyelidikan di santuari ikan kelah, Hutan Simpan Royal Belum. Empat hari di dalam hutan, tiga hari di makmal. Saya bekerja tujuh hari seminggu. Sedangkan dalam tempoh sama, saya juga sudah mula menyolek pengantin.

“Kalau hendak diceritakan soal kerja memang seronok. Perasaannya berbeza kerana berdepan dengan alam semula jadi. Saya pula wanita tunggal dalam pasukan.

“Namun, dua tahun juga saya terpaksa tinggalkan aktiviti seni dan kerja menyolek. Jika ada pun, cuma pada hari raya,” katanya tersenyum.

BERMAIN ALAT SOLEK

Mula aktif kembali selepas berkahwin pada 2012, Robaeha berkata, dia juga tidak dapat lari daripada senario biasa yang dilalui kebanyakan graduan baru. Banyak pekerjaan dicuba termasuk dalam bidang pengurusan acara.

“Semua kerja sibuk. Susah untuk saya mencari waktu terluang. Setahun dalam syarikat pengurusan acara, saya berhenti dan berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika berjalan-jalan di KLCC, saya ternampak notis di butik MAC. Mereka mencari mekap artis.

“Namun bila ditanya kepada staf di situ, mereka kata syarikat berkenaan tidak ambil pekerja bertudung. Bagaimanapun, saya cuba juga,” katanya.

Menurut Robaeha, ketika sesi temu duga, majoriti calon adalah bukan Islam. Malah ramai juga yang mempunyai sijil dari sekolah kecantikan.

“Temu duga berlangsung dalam dua peringkat berbeza. Pertama, kena mekap orang dan buat penyampaian ringkas, kemudian barulah sesi temu ramah.

“Saya melepasi peringkat pertama, tetapi kemudian peringkat kedua berlangsung dalam tempoh panjang. Mereka tanya kenapa memohon kerja di situ dan minta saya membuka tudung. Namun, saya jelaskan sebabnya dan menolak permintaan mereka dengan baik.

“Siapa sangka, saya menjadi wanita bertudung pertama yang diterima bekerja di MAC. Saya diberi peluang menjadi pelatih di cawangan KLCC dan berjaya mencapai target jualan tertinggi bagi tempoh tiga bulan pertama,” katanya.

Sungguhpun demikian, Robaeha berkata, dia lebih gembira apabila melihat semakin ramai wanita bertudung diterima bekerja di butik jenama kosmetik berkenaan.

“Sekurang-kurangnya, saya berjaya mengubah stigma dalam kalangan pengendali butik dan pelanggan. Sejak bekerja di situ, saya kerap dihampiri wanita bertudung yang bertanya bagaimana boleh diterima masuk.

“Setahun setengah saya di sana, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti. Banyak pengalaman sepanjang di sini, saya gunakan untuk meningkatkan kemahiran menyolek pelanggan.

“Kebetulan, ketika itu penggambaran studio memang cukup popular di Shah Alam. Jadi, mula saya berulang-alik setiap hari dari Kuala Lumpur ke sana untuk meluaskan kerjaya sebagai MUA.

“Bagaimanapun, selepas dua tahun, saya minta suami mencari tempat sesuai untuk memulakan perniagaan dengan lebih tersusun. Mungkin sudah tersurat rezeki, kami berjaya membuka studio di Alam Avenue, Seksyen 16, Shah Alam,” katanya.

Di tempat baru, Robaeha semakin ligat menyolek orang. Pada masa sama, dia turut menyewa­kan studio kepada pihak yang mahu menjalan­kan kelas solekan serta peng­gambaran. Konsep digunakan cukup ringkas dan tiada khidmat jurufoto dalaman.

GADIS MELAYU MUSIM KEDUA

Dalam sibuk menyolek, wanita tetap peka dengan perkembangan semasa. Berikutan rasa percaya kepada kemampuan dirinya, wanita ini tidak melepaskan peluang untuk mencuba apa saja yang dirasakan membawa manfaat serta pengajaran baik untuk masa depan.

“Saya pernah mencuba nasib menyertai program realiti Gadis Melayu di TV9. Sampai minggu ke-10, saya mula sedar dunia penyiaran tidak begitu serasi dengan minat.

“Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir. Namun tidak dinafikan saya cukup beruntung kerana ibu dan arwah ayah tidak pernah menyekat, apalagi marah melihat saya mencuba pelbagai bidang baru. Mereka lebih suka anak berdikari dan sentiasa menyokong dari belakang.

“Oleh itu, saya kembali mengukuhkan kerjaya sebagai MUA dan nekad mengejar impian untuk berjaya,” katanya.

TERUJA MEKAP SITI

Menyebut soal cabaran, Robaeha berkata, dulu memang tidak ramai jurumekap wanita. Tidak ada platform media sosial seperti Facebook atau Instagram untuk menonjolkan hasil kerja dan gaya solekan kepada orang luar. Semuanya bergantung kepada penyampaian mulut ke mulut.

“Sekarang, walaupun semuanya ada, cabaran juga meningkat mengikut perubahan semasa. Terlalu ramai yang mahu bergelar mekap artis. Asalkan mampu, mempunyai barang mekap mahal, ada Instagram, pandai memuat naik gambar menarik dan meraih populariti di media sosial, mereka sudah melabel diri sebagai MUA.

“Mahu atau tidak, saya tetap mengambilnya sebagai cabaran untuk terus kekal berdaya saing dalam industri ini. Saya bersyukur mempunyai banyak pengalaman menyolek nama besar dalam industri hiburan tanah air. Kalau dulu, orang tanya jadi mekap artis ini hendak mekap siapa? Saya akan jawab (Datuk Seri) Siti Nurhaliza.

“Alhamdulillah, suatu hari, saya terima panggilan telefon daripada Kak Rozi (pengurus Siti) dan dia minta sebut harga untuk disolek. Ketika itu Tuhan saja yang tahu. Berkali-kali saya tanya kerana susah hendak percaya. Tapi bila sedar panggilan Kak Rozi itu betul, saya melompat, menjerit kegirangan. Saya kongsi berita dengan ibu, tetapi dia juga susah hendak percaya.

“Tiba waktu mekap, saya terpaksa menahan perasaan teruja apabila turut diberi peluang menyolek penyanyi legenda dari seberang, Hetty Koes Endang!” katanya ketawa.

Kata Robaeha, selain menyolek untuk persembahan pentas, dia juga berpeluang merias wajah Siti untuk penggambaran iklan syarikat penerbangan AirAsia.

“Ada masanya, saya sukar hendak menyem­bunyikan rasa teruja apabila melihat gambar Siti pada badan pesawat AirAsia. Itulah hasil kerja tangan saya. Selain Siti, saya juga menyolek pelakon Janna Nick, Mira Filzah dan Eja,” katanya.

PENGALAMAN BERHARGA

Hari ini, kata Robaeha, dia pengalaman berkhidmat untuk Siti menjadi momen paling berharga buat dirinya. Jelasnya, dia tidak pernah menyangka penyanyi kesayangan ramai itu memilih dirinya dalam ratusan jurumekap artis yang ada.

“Bayangkan, mula-mula beliau panggil saya hanya untuk program televisyen. Kemudian, saya dibawa terbang ke Jakarta untuk konsert ulang tahun rangkaian televisyen di Indonesia.

“Sampai kini, itulah antara pengalaman paling berharga sepanjang saya berkecimpung dalam bidang solekan,” katanya.

Kata Robaeha, dia cukup senang bergelar MUA. Malah sehingga ke hari ini, semua kerja tangannya berbalas dengan ucapan terima kasih.

“Setakat ini, saya belum pernah dimarahi pelang­gan. Sebagai juru­solek, hal berkaitan perkhid­matan dan kualiti memang saya jaga sebaiknya. Semua mesej saya akan jawab sebaik mungkin. Saya cukup menghargai sokongan masyarakat yang tidak pernah memandang rendah kepada MUA.

“Kalau boleh, saya sendiri mahu wujud­kan satu label yang cukup tinggi, meneroka banyak cabang perniagaan dan mengenali lebih banyak ragam pelanggan.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu orang fikir saya merendahkan taraf sendiri kerana mempunyai ijazah dalam bidang yang boleh dibanggakan. Saya mahu terus belajar. Pada saya, mekap bukan sekadar mencantikkan orang sebaliknya lebih daripada itu,” katanya yang kini turut mengusahakan jenama kanta lekap sendiri.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 4:14pm
d