hati

100 peratus asli tanpa kerosakan

Oleh HM Digital

Bagi sesetengah individu, kerjaya sebagai ‘personal shopper’ atau pembeli peribadi dilihat begitu menyeronokkan. Apatah lagi berpeluang melancong ke luar negara menelusuri kota fesyen terkenal Eropah seperti London, Paris, Milan dan Itali demi mendapatkan beg tangan koleksi terhad.

Namun hakikatnya ia sesuatu yang mencabar apatah lagi barangan yang dititip bukan calang-calang harganya sehingga mencecah puluhan ribu. Pembeli peribadi pula perlu memahami selok-belok barangan yang dipromosikan, bukan saja menjurus kepada beg tangan tetapi barangan rumah seperti perabot, perhiasan dan juga pinggan mangkuk.

Bagi Wan Faizah Wan Ahmad, 41, bermula dengan niat membantu kawan yang memesan barangan ketika bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan lama-kelamaan ia menjadi hobi menyeronokkan.

“Apabila suami melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada 2011 dan membawa keluarga bersama, kehidupan saya mula berubah. Sebagai seorang yang aktif bekerja selama hampir 20 tahun tiba-tiba ia menjadi kejutan apabila terpaksa menjadi suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Bagi mengisi masa terluang Wan Faizah melakukan pelbagai aktiviti antaranya mengambil upah memasak untuk pelajar Malaysia di sana. Apabila saling mengenali, kawan dari Malaysia mula meminta membelikan beberapa barangan untuk mereka.

“Saya mula mengambil pesanan koleksi pinggan mangkuk berjenama, diikuti barangan bayi dan kanak-kanak serta produk fesyen seperti pakaian, beg tangan, alat solek dan aksesori. Dibantu dengan kemajuan teknologi dan kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, pesanan produk berjenama dari Eropah yang diterimanya semakin bertambah. Dari suka-suka ia bertukar menjadi sesuatu yang serius,” katanya ketika di temui di studio Balai Berita, baru-baru ini.

Dia yang menetap di United Kingdom selama tiga tahun menggunakan sepenuhnya peluang untuk mencari lokasi pusat beli-belah ternama yang menempatkan barangan mewah ini. Sehinggalah apabila pulang ke Malaysia pesanan diterima semakin bertambah terutama untuk beg berjenama mewah. Kejujuran dan keikhlasan Wan Faizah memberikan perkhidmatan pesanan kepada pelanggan menyebabkan dia dikenali dalam kalangan golongan atasan.

“Bermula dengan rakan sekerja kemudian menular sehingga golongan atasan, artis, ahli perniagaan dan profesional yang menjadi pengikut di laman sosial Instagram dan Facebooknya. Mereka mulai yakin dengan servis yang saya jalankan memandangkan semua perjalanan dilakukan secara telus. Saya juga memastikan produk dijual 100 peratus asli tanpa kerosakan seperti sekiranya mereka mendapatkannya di kedai,” ulasnya.

Sebagai pembeli peribadi tugas Wan Faizah bukan sekadar sebagai tukang beli tetapi menawarkan khidmat nasihat profesional kepada individu berkaitan fesyen dan urusan membeli-belah. Apatah lagi pengalaman yang luas sebagai pramugari menjadi bonus kepadanya berkongsi pandangan dengan mereka. Khidmat inilah yang jarang diperoleh oleh pembeli peribadi yang lain yang membuatkan kepercayaan pelanggan semakin bertambah.

LAYAN PELBAGAI RAGAM

Mengunjungi Eropah setiap tiga hingga enam bulan bagi memenuhi permintaan pelanggan kebiasaannya, beberapa bulan sebelum ke luar negara, dia akan menguar-uarkan pesanan itu di laman sosial. Sebaik sahaja iklan dibuka rata-rata pengikut akan menghantar pesanan tempahan beg tangan pilihan mereka. Menggunakan terma ‘siapa cepat dia dapat’ terutama untuk jenama seperti Louis Vuitton, Chanel dan Hermes kerana hanya boleh dibeli dalam kuantiti yang terhad.

“Sebaik sahaja dimasukkan ke laman sosial menderu pesanan ringkas masuk ke kotak pesanan. Memang saya perlu melayan semua mesej. Inilah di antara tugas yang agak memenatkan iaitu membalas pesanan mereka. Ada kala mereka tidak faham, apabila saya lambat menjawab mesej. Ada juga marah-marah apabila beg yang diinginkan tiada. Pelbagai ragam yang perlu saya hadapi. Namun sebagai penjual saya perlu melayan semua soalan mereka dengan baik,” katanya tersenyum.

Menjelaskan lebih lanjut sejak tiga tahun lalu, khidmat pembeli peribadi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Ini kerana ada pelanggan ingin mendapatkan koleksi terbaru yang belum ada di pasaran tempatan. Ada juga yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing tetapi ingin mendapatkan fesyen terkini dan berjenama.

“Lebih penting harga yang dibeli terus dari Eropah lebih jimat berbanding butik sedia ada di Malaysia. Inilah yang menyebabkan khidmat pembeli peribadi mendapat perhatian ramai,” katanya yang turut menawarkan barangan terpakai berjenama atau ‘preloved’ kepada pelanggan pada harga berpatutan.

Kebanyakan koleksi ‘preloved’ digunakan sekali dua oleh pemilik tetapi mahu dijual kerana ingin bertukar cita rasa. Tetapi harus diingat tidak semua barangan ‘preloved’ murah harganya. Bagi sesetengah koleksi edisi terhad, harganya masih mahal berbanding ketika dibeli. Namun kebanyakan pelanggan menganggap ia sebagai satu pelaburan.

Jelas ibu kepada empat anak lelaki berusia tiga hingga 17 tahun ini ada cabarannya apabila mendapatkan barangan ‘preloved’ kerana dia perlu berhati-hati bagi memastikan setiap keluaran adalah asli. Ini boleh dilakukan dengan mendapatkan kod yang tertera pada beg dan memeriksa menerusi laman sesawang.

“Memang ia agak leceh kerana perlu melakukan beberapa perkara sebelum mengambil dan menjual produk ‘preloved’. Namun ia amat perlu bagi menjaga kredibiliti sebagai pembeli peribadi. Saya juga perlu jujur kerana ia membabitkan mata pencarian saya. Biarlah wang diperoleh daripada hasil pekerjaan ini halal,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai prosedur tempahan, setiap kali menerima pesanan, pelanggan diminta menjelaskan jumlah penuh bayaran. Namun bagi yang mengambil secara ansuran bulanan, mereka perlu menjelaskan bayaran setiap bulan dan barang hanya diberi selepas selesai pembayaran kerana bukan semua pelanggan datang daripada golongan atasan.

Bagi meningkatkan keyakinan pelanggan, Wan Faizah sentiasa mengemaskini laman sosial serta memuat naik gambar aktiviti membeli-belah. Sejak kebelakangan ini, banyak akaun palsu wujud memperdayakan pengguna. Ada juga yang menjual produk tiruan tetapi dengan harga produk asli.

Walaupun sentiasa berdampingan dengan produk mahal namun Wan Faizah selesa menggunakan beg tangan yang sama. Malah memperoleh pendapatan mewah juga tidak menjadikan kehidupannya berubah.

“Saya masih mengamalkan gaya hidup yang sama walaupun mampu menjana pendapatan mewah. Saya gembira dapat melancong ke luar negara, serta membeli barangan yang sebelum ini hanya mampu saya tengok. Contohnya beg tangan Birkin bernilai RM70,000 walaupun milik orang lain,” kongsinya.

Ditanya adakah ingin bergelar pembeli peribadi selamanya, jelas Wan Faizah, walaupun ia sebagai kerjaya tetapi sampai satu masa pasti dia akan bersara. Dia bersama suami juga turut merancang perniagaan lain yang boleh memberikan mereka masa bersama dan dengan jadual masa yang tidak terlalu padat.

PEMBELI PERIBADI PINGGAN

Memilih menjadi pembeli peribadi untuk pinggan bercorak yang tular di media sosial, Nurain Hasan, 30, memulakan kerjaya ini selepas melayari Facebook dan melihat koleksi pinggan yang mencetuskan fenomena terutama dalam kalangan suri rumah.

“Kawan mencadangkan saya menjual pinggan tular ini kerana ramai yang ingin mendapatkannya. Bermula dengan pesanan rakan saya mula mencari pinggan mangkuk ini di Pasar Seni dan mula meletakkannya di Instagram dan Facebook. Tidak sangka bermula dengan tiga pesanan lama-kelamaan saya mampu mendapat 10 hingga 15 pesanan seminggu,” katanya.

Apa yang membuatkan pinggan tular ini mendapat permintaan disebabkan Nurain bijak menggabungkan setiap kumpulan pinggan sehingga menjadi set yang menarik. Kerja menggabungkan pinggan ini memerlukan kreativiti tersendiri. Ini kerana selain susunan warna yang menarik dan teratur, corak juga sangat penting.

“Pengalaman sebagai penggubah bunga saya gunakan sebaiknya untuk memadankan corak dan warna pinggan. Untuk set saya meletakkan enam dan 12 biji pinggan. Untuk pinggan kecil berharga di antara RM3 hingga RM5 manakala pinggan besar berharga RM10.

“Bagi memudahkan urusan memilih warna dan corak saya sendiri yang akan menetapkannya dan pelanggan hanya menyatakan konsep. Ini kerana corak pinggan pantas bertukar,” katanya yang mampu menjana pendapatan lebih RM1,000 seminggu.

Dia yang bertugas sebagai eksekutif pemasaran di syarikat swasta terpaksa melepaskan jawatan sebaik melahirkan anak pertama. Bermula mengambil tempahan barangan dekorasi rumah dari Australia, Nurain merasakan kerjaya ini mampu menjana pendapatan mewah asalkan rajin dan komited melakukannya.

Daripada mengambil pesanan untuk produk luar negara kini dia hanya memberikan tumpuan kepada koleksi pinggan mangkuk. Kini pelanggannya bukan setakat Malaysia tetapi membabitkan luar negara seperti Brunei dan Singapura. Untuk pesanan negara luar dia perlu lebih berhati-hati terutama untuk pembungkusan dan penghantaran.

“Pinggan mangkuk termasuk dalam barangan mudah pecah. Jadi perlu lebih berhati-hati. Pernah juga pelanggan menerima pinggan yang pecah walaupun tidak termasuk dalam tanggungjawab saya memastikan semua pesanan selamat diterima. Namun saya tetap menggantikan pinggan itu kerana memikirkan hubungan yang berterusan dengan pelanggan.

Memang saya akan rugi namun untuk jangka masa panjang ia menjalinkan hubungan yang erat dengan pelanggan,” ulasnya.

Pernah menerima tawaran untuk membuka kedai di pusat beli-belah namun setakat ini Nurain masih belum yakin terutama dalam menyediakan modal yang besar, walaupun dia menyimpan impian mengembangkan perniagaan.

“Apa yang saya impikan sekarang adalah ingin mengambil pesanan daripada pengeluar produk di negara luar kemudian memasarkannya sendiri di Malaysia. Ia lebih memberi pilihan dan harga ditawarkan lebih murah berbanding sekarang,” katanya mengakhiri perbualan. - Siti Zarinah Sahib

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 10:34am
d