hati

Matlamat untuk wujud kontur langsing

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Memiliki bentuk badan menarik menjadi idaman baik wanita mahupun lelaki dan bagi merealisasikannya, ramai cuba berdiet serta mengikuti regim senaman yang ketat.

Bagaimanapun, ada kalanya bentuk badan sempurna tetap gagal dicapai hanya dengan senaman dan diet ketat, masih ada lemak di sana sini, khususnya kawasan tertentu seperti perut, lengan, pinggang, pinggul dan dagu.

Lebih parah apabila semakin berusia dan sekiranya tidak menjaga pemakanan serta mengamalkan gaya hidup sihat ia memberi kesan kepada pertambahan simpanan lemak pada tubuh.

Bagaimanapun, lebihan lemak itu boleh dibuang menggunakan kaedah aestetik. Ada beberapa kaedah aestetik yang boleh membantu mengurangkan berat badan. Ada yang memilih pembedahan sedut lemak bagi tujuan berkenaan.

Pembedahan tertentu memang memberikan kesan serta-merta, namun ia berisiko tinggi. Kini, kecanggihan teknologi mampu mengatasi masalah lemak sukar disingkir menerusi prosedur ‘coolsculpting’.

Perunding Aestetik Klinik Clique Dr Bob Klajo John berkata, antara salah faham biasa mengenai prosedur itu adalah ia satu penyelesaian kepada masalah berat badan dan hanya sesuai untuk individu yang berlebihan berat badan, namun pandangan itu tidak benar.

Sebaliknya, katanya, matlamat rawatan adalah untuk mewujudkan kontur langsing dengan membuang lemak degil berlebihan pada bahagian tertentu badan.

“Individu dengan berat badan normal boleh mempunyai kawasan menggeleber yang tidak mampu dihilangkan walaupun dengan senaman dan diet sihat. Satu sesi dapat mengurangkan lemak di sekitar kawasan rawatan sebanyak kira-kira 30 peratus.

“Ini mungkin kedengaran seperti banyak, tetapi ia sebenarnya hanya diterjemahkan kepada kira-kira setengah kilogram kehilangan lemak,” katanya.

Katanya, kejayaan rawatan itu bergantung kepada teknik, penempatan aplikator di kawasan yang disasarkan dan cara pakar menganalisis bentuk badan pelanggan sebelum rawatan. Ia sebenarnya seni tersendiri yang memerlukan pengalaman luas dan pendekatan profesional.

Oleh itu, penting untuk mendapatkan rawatan di pusat yang mempunyai pakar berpengalaman dan lebih baik bertemu doktor dahulu bagi memahami sepenuhnya pelan rawatan, pengalaman rawatan serta keputusan yang dijangkakan sebelum memulakan rawatan dengan mengambil kira jangkaan realistik pesakit.

Dr Bob dan pasukannya di klinik itu turut membangunkan pendekatan pelbagai disiplin menggabungkan diet, senaman, teknologi perubatan dan kesenian untuk membentuk tubuh ideal tanpa menjalani pembedahan dan tidak memerlukan waktu penyembuhan.

Rawatan ini dengan teliti menyasarkan dan menghapuskan sel lemak yang tidak diingini di kawasan rawatan tanpa merosakkan tisu berhampiran.

Sel lemak yang membeku ini berubah menjadi ‘kristal’ dan tubuh akan menghilangkannya secara semula jadi, sama seperti menghancurkan sel yang sudah mati dari dalam.

Sel lemak yang tersisa atau tertinggal akan mengecil di dalam kawasan berkenaan menghasilkan kesan seperti sedut lemak tanpa cara invasif (melukai).

Tubuh tidak akan membentuk sel lemak baru, sekali gus ia menghilangkan sel lemak. Oleh itu, kesan prosedur ini kekal, tidak memerlukan terapi ulangan atau memperbaikinya.

Proses aplikasi nozel inilah yang menimbulkan rasa sedikit sakit dan tidak selesa seperti dicubit. Ini kerana nozel secara automatik menyedut gumpalan lemak hingga tiada lagi udara yang masuk. Namun selepas 10 minit berlangsung, kawasan yang dirawat akan kehilangan rasa.

Kemudian piring pembekuan khusus yang ada di dalam nozel akan mengalirkan tenaga dingin untuk membekukan sel lemak tanpa merosakkan lapisan kulit. Selama proses berlangsung, pesakit boleh melakukan aktiviti seperti biasa.

Selepas proses ini selesai, dilakukan pula urutan lembut untuk memberikan rasa relaks pada kawasan terbabit dan mempercepatkan proses pelepasan sel lemak. Seiring dengan metabolisme tubuh, proses pelepasan lemak pun akan berlaku hingga tiga bulan ke hadapan.

Sel lemak yang sudah mati secara merata tidak akan membentuk di kawasan yang sama. Tiada masa pemulihan yang berpanjangan, oleh itu pesakit boleh melakukan aktiviti seperti biasa.

Kini, dengan teknologi yang dipertingkatkan, prosedur itu menampilkan CoolAdvantage, aplikator terbaru yang menyampaikan teknologi penyejukan pada suhu lebih rendah sambil mengurangkan masa rawatan hingga 35 minit dan bukannya 60 minit standard dengan aplikator lain.

Walaupun ada pertanyaan sama ada rawatan itu berkesan dengan masa lebih singkat, klinik itu memastikan keputusannya sama dengan rawatan standard 60 minit tetapi dengan keselesaan yang lebih baik.

Malah bentuk cawan aplikator yang baru menyebabkan peningkatan 40 peratus dalam keselesaan semasa rawatan.

“CoolAdvantage adalah teknologi terbaru yang memberikan rawatan pada suhu lebih rendah iaitu -11 darjah Celsius dengan masa dikurangkan hingga 35 minit, tahap keselesaan yang lebih baik dan jumlah tisu lebih besar yang dirawat.

“Selain itu, ditawarkan juga kaedah ‘trisculpting’ apabila tiga peranti digunakan serentak untuk membekukan lemak secara pantas berbanding sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Bob berkata, prosedur ini tidak disaran kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah, wanita hamil dan ibu menyusu.

Selain itu katanya, kemunculan mesin tiruan turut membimbangkan kerana ramai mangsa mengalami kesan sampingan yang buruk seperti terbakar, lepuh dan parut akibat mahu mendapatkan rawatan lebih murah.

Oleh itu katanya, pentingnya pelanggan mendapatkan rawatan hanya menerusi pusat estetika yang bertauliah dan berpengalaman bagi mengelakkan sebarang kesan buruk terhadap mereka.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 1:29pm
d