hati

Peluang hamil berbeza bagi setiap wanita

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Enam bulan meniti usia perkahwinan tanpa sebarang tanda kehamilan mungkin boleh mendorong rasa panik, gusar, bimbang dan pelbagai tanggapan tidak menyenangkan. Bagi pasangan muda, mungkin kehamilan tidak menjadi fokus pada tahun pertama bergelar suami isteri.

Namun untuk mereka yang berkahwin pada usia 30-an, berita kehamilan biasanya dinanti sebaik saja melangkah ke alam rumah tangga. Ketika ini, ramai wanita mula membuat persediaan dari sudut mental dan fizikal. Banyak perkara difikirkan untuk perancangan masa depan.

Majoriti wanita percaya diri mereka mampu mendapat zuriat asalkan memiliki tubuh badan sihat. Malah, tidak keterlaluan jika ada yang menganggap boleh hamil bila-bila masa selepas mengadakan hubungan kelamin bersama suami.

Realitinya, peluang untuk hamil adalah berbeza bagi setiap wanita. Ia mungkin mudah untuk sesetengah orang, namun boleh jadi sukar atau hampir mustahil bagi sebilangan wanita lain.

Menurut Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, memahami proses kehamilan dari awal mungkin boleh membantu ramai wanita merancang dan mengenal potensi mahupun masalah diri.

“Perkara paling utama yang perlu diketahui adalah waktu sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin. Jadi, wanita yang sukar hamil dan sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat wajar merancang proses kehamilan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama.

“Mereka perlu tahu bila masa sesuai untuk melakukan seks. Sebab itu saya sarankan kepada kebanyakan wanita supaya mengambil inisiatif, merekod tempoh kitaran haid mereka untuk enam bulan,” katanya.

Bagi yang masih tidak tahu atau keliru, katanya, kitaran dikira bermula daripada hari pertama datang haid terkini sehingga hari pertama haid pada bulan berikutnya.

“Kitaran haid wanita yang normal biasanya antara 28 hingga 30 atau 32 hari. Ada masanya, kitaran haid berubah menjadi pendek atau panjang, melangkaui 40 hari.

“Pilih jumlah hari kitaran haid paling lama dan paling pendek, kemudian masing-masing ditolak dengan 14. Secara purata, tempoh subur wanita biasanya pada hari ke 14 hingga 18 setiap bulan. Jika wanita itu mengalami kitaran haid yang panjang, ovulasi mungkin berlaku antara hari ke 14 hingga 26.

“Berdasarkan kiraan itu, saya cadangkan supaya wanita berkenaan bersama suami setiap dua hari dalam waktu kitaran untuk mendapatkan peluang hamil,” katanya.

Jelas Dr Nurhazinat, tempoh berselang hari bersama suami dalam kitaran yang betul cukup penting kerana telur dibebaskan daripada ovari boleh bertahan antara 12 hingga 24 jam saja.

“Sperma biasanya dapat bertahan lebih lama iaitu sehingga tujuh hari dalam uterus dan tiub falopio. Namun bagi wanita, mereka mempunyai tempoh subur terhad, kira-kira enam hari saja. Tempoh itu termasuk lima hari sebelum dan hari berlakunya ovulasi.

“Ini bermakna seks pada masa tepat, sewaktu ovulasi tidak begitu penting. Apa yang utama adalah memastikan anda bersama suami dalam tempoh subur, menggunakan kaedah berselang hari,” katanya.

KENALI TANDA OVULASI

Di samping mengira kitaran haid bulanan, Dr Nurhazinat berkata, wanita juga masih boleh memerhatikan tanda perubahan pada diri untuk mengenal waktu subur.

“Dalam kebanyakan kes, wanita tidak sedar mereka mengalami ovulasi berikutan tidak perasan sebarang perubahan yang berlaku pada diri. Sepatutnya, wanita yang mahu hamil perlu memerhatikan tanda semula jadi yang menunjukkan dirinya sedang menghampiri waktu ovulasi.

“Ini boleh berlaku selepas hari ke 12 (dalam kitaran) atau tiga minggu sebelum haid yang seterusnya. Antara tanda ketara adalah peningkatan rembesan faraj yang jernih dan teksturnya melekit seperti putih telur. Ia biasa berlaku dalam tempoh 72 jam diikuti perubahan suhu badan, rasa tidak selesa pada bahagian perut dan payudara.

“Ketika ini, ketepatan tempoh subur juga boleh dipastikan menerusi kit ujian ovulasi. Kit ini berfungsi mengesan lonjakan hormon peluteinan (LH) yang berlaku antara 24 hingga 36 jam sebelum ovulasi. Jika keputusan yang diperoleh positif, mereka disarankan untuk bersama suami dengan kaedah selang hari.

“Seandainya semua kaedah yang disebutkan gagal, pasangan terbabit dinasihatkan datang ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan ultra bunyi bagi mengesan folikel telur serta mendapatkan pandangan pakar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengesanan folikel ovari ini biasanya dilakukan kepada wanita yang mengalami kitaran haid yang panjang atau tidak teratur.

“Ujian akan dilakukan pada hari kedua kitaran haid. Pada waktu ini, kantung biasanya bersaiz kurang 10 milimeter (mm). Kemudian, kami akan lakukan imbasan sekali lagi pada hari ke 12, sehingga mendapati saiz kantung mencecah 18 mm ke atas. Ujian ovulasi juga akan dibuat untuk mengesahkan waktu subur.

“Jika semua ujian lancar dan keputusan diperoleh positif, kami akan cadangkan mereka untuk bersama. Bagaimanapun, ada juga ujian ovulasi yang memberikan keputusan negatif. Bagi kes sebegini, kami nasihatkan mereka mendapatkan suntikan untuk merangsang ovulasi,” katanya.

MERANCANG KELUARGA

Walaupun kaedah ini boleh membantu ramai wanita merancang kehamilan, Dr Nurhazinat tetap mengingatkan kiraan kitaran haid tidak boleh sama sekali digunakan untuk mereka yang merancang jumlah anak dalam keluarga.

“Wanita perlu jelas dengan perkara ini. Ramai yang menyangka mereka boleh merancang dengan mengetahui kitaran subur. Sebenarnya ia langsung tidak boleh diguna pakai, melainkan jika wanita terbabit mengalami kitaran haid yang teratur iaitu antara 28 hingga 30 hari.

“Mungkin pada 12 hari pertama mereka selamat, tetapi selepas tempoh itu, risiko hamil masih tinggi. Kita perlu ingat sperma mampu bertahan selama tujuh hari. Bayangkan jika mereka bersama pada hari ke 12, peluang hamil tetap ada.

“Tambahan kalau wanita itu dipengaruhi tekanan, kenaikan berat badan, kurang tidur, mengambil antibiotik, mengalami demam atau batuk, tempoh ovulasi mungkin berlaku agak lewat daripada kebiasaan.

“Jadi, suka atau tidak, wanita yang mahu mengelak kehamilan perlu mengamalkan kaedah pencegahan sesuai. Usah ambil risiko dengan merancang menggunakan aplikasi kalendar kesuburan dan sebagainya.

“Semua aplikasi kesuburan atas talian direka khusus untuk mereka yang mahu hamil. Ia bukan untuk merancang jumlah kehamilan dalam keluarga kerana peratusan gagal boleh mencecah sehingga 90 peratus,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 12:42pm
d