hati

Bayi 'hilang' dalam kandungan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Mungkin masih ramai ibu yang tidak pernah mendengar atau tahu mengenai kejadian bayi hilang ketika masih di dalam kandungan. Ia bukan kes baru malah pernah terjadi kepada segelintir wanita hamil.

Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang kesakitan atau pendarahan. Malah, ibu hamil dan bayi sebelum itu juga berada dalam keadaan sihat.

Biarpun tidak dapat dibuktikan punca ia terjadi, sebagai umat Islam kita perlu reda dan sedar ia tidak akan berlaku tanpa kuasa Allah SWT. Pengalaman yang bukan semua wanita pernah alami itu dikongsi oleh ibu anak tiga yang menetap di Perak.

Selama ini dia memang pernah mendengar cerita mengenai bayi dalam kandungan yang hilang. Bagaimanapun apabila berlaku pada diri sendiri, ia menjadi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat.

Normayati Ayub, 34, hairan bagaimana bayi yang dikandung selama tujuh bulan tiba-tiba hilang dan tidak dapat dikesan. Ini bukan fenomena biasa, malah memeranjatkan bukan saja ibu bapa tetapi doktor yang terbabit.

Katanya, bayi keduanya itu hilang tanpa punca dan dia tidak mengalami sebarang masalah ketika menjalani pemeriksaan berkala di klinik.

“Sebelum ini, saya tidak pernah melalui pengalaman keguguran. Sama seperti ketika mengandungkan anak sulung, saya jaga dengan baik malah bayi juga membesar serta bergerak seperti biasa.

“Namun, memasuki usia tujuh bulan setengah, perut menjadi kempis tanpa sebarang sakit atau wujud tanda lain. Saya segera pergi mendapatkan pemeriksaan doktor pakar di hospital.

“Lebih memeranjatkan selepas cuba dikesan, bayi disahkan sudah ‘hilang’ dan doktor memberitahu saya adalah pesakit ke-152 yang mengalami kes sama ketika itu.

“Saya dan bayi sihat saja serta tidak pula ada mengambil apa-apa makanan yang dikatakan berbahaya, cuma darah merah agak rendah. Biarpun ia adalah perkara yang dianggap mustahil apatah lagi doktor sendiri tidak dapat menerangkan punca kejadian kerana tiada sebarang bukti atau tanda yang ditemui, ia harus diterima,” katanya.

Mulanya, doktor mencadangkan prosedur ‘cuci’ rahim namun ia tidak perlu dilakukan kerana selepas pemeriksaan didapati rahimnya sudah kembali ke keadaan biasa (tidak mengandung atau ada kesan keguguran).

Tanpa sebarang prosedur ‘cuci’ rahim dan sesi berpantang, dia harus menjalani kehidupan seperti biasa dan melakukan rutin harian selepas itu.

Ujarnya, jarak kehamilannya dengan anak pertama ketika disahkan mengandung anak kedua adalah kira-kira setahun lebih. Ketika itu, dia memang seronok kerana mendapat tahu akan menerima orang baru dalam keluarga.

Mujur, barang kelengkapan bayi baru dibeli sedikit kerana keperluan anak sulung ini masih elok dan boleh digunakan lagi.

Namun, suaminya berasa agak kecewa ketika itu kerana ia berlaku tanpa disangka dan mengejutkan. Bagaimanapun, mereka reda dengan ketentuan Allah kerana tahu pasti ada hikmah di sebalik ujian yang menimpa.

“Saya dan suami bersyukur apabila dikurniakan bayi perempuan selepas lima tahun kejadian, malah diberi rezeki lagi selepas itu dengan kehadiran seorang anak lelaki.

“Selepas kes kehilangan itu, doktor juga berpesan dan menasihati saya agar tidak terlalu memikirkan kejadian itu bagi mengelakkan kemurungan.

“Disebabkan saya seorang suri rumah, saya sibukkan diri dengan menguruskan rumah tangga dan menghasilkan produk kraf serta menjalankan perniagaan lain. Ternyata, ia langkah yang berkesan dan membolehkan saya meneruskan kehidupan sebaik mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 12:22pm
d