hati

Persediaan ilmu sambut orang baru

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kebiasaan bagi bakal ibu lebih gemar berkunjung ke pusat beli-belah atau festival produk berkaitan bayi bagi mendapatkan keperluan diinginkan sebelum permata hati dilahirkan.

Namun, menjadi perkara biasa jika ada dalam kalangan ibu bapa yang membeli secara berlebihan sedangkan barangan berkenaan tidak tersenarai dalam keperluan ‘wajib ada’.

Bagi mengelak sebarang pembaziran dengan membeli barangan yang sebenarnya tidak diperlukan bayi, ibu bapa perlu mempunyai ilmu mencukupi.

Menurut Kaunselor Laktasi Bertauliah dan Pengarah Urusan Eve Love Dr Shahirah Mohd Hassan, jika dilihat pada masa sekarang ada segelintir ibu bapa yang begitu ‘liat’ mengeluarkan kos untuk mendapatkan ilmu berbanding membeli barangan tidak diperlukan.

“Sebenarnya, ibu bapa boleh berjimat cermat jika mereka mempunyai ilmu yang cukup. Ilmu yang lengkap dan menyeluruh mengenai pranatal (ketika hamil), posnatal (selepas kelahiran) dan penyusuan sangat membantu ibu bapa dalam memastikan mereka bersedia sebelum menyambut kehadiran cahaya mata yang dinanti.

“Pada masa sama, ilmu yang diperoleh juga memberi pengetahuan kepada ibu bapa dalam memilih keperluan bayi bagi mengelak pembaziran.

“Misalnya, penggunaan pam menyusu bersesuaian dengan kekerapan pengepaman juga membantu mendapatkan peralatan yang bukan saja menjimatkan malah mengelak ibu berasa sukar atau putus asa.

“Selain itu, penggunaan kereta sorong bayi juga tidak diperlukan jika ibu tahu kebaikan kaedah menggendong bayi yang membantu mengeratkan hubungan mereka. Malah jika diteliti, harga kereta sorong bayi itu jauh lebih mahal berbanding alat menggendong. Bagaimanapun, jika tetap mahu membelinya, tidak salah, tetapi pastikan ia dimanfaatkan sebaik-baiknya seperti menyorong bayi ketika ibu keluar bersenam selepas habis berpantang,” katanya.

Bukan itu saja, kelas persediaan juga membantu suami isteri memahami proses fisiologi badan sepanjang hamil atau bersalin sekali gus mengurangkan masalah kemurungan dan tekanan.

Sememangnya, pelbagai perubahan yang berlaku kepada wanita hamil, ada kalanya mengganggu emosi mereka. Di sini, selain sokongan suami dan keluarga, ilmu juga sangat penting bagi menghadapi situasi berkenaan.

Pada masa sama, melalui ilmu juga ibu hamil boleh mengelak rasa loya, keletihan dan sebagainya dengan mengamalkan diet sihat serta memilih senaman bersesuaian.

“Kelas pranatal sepatutnya dikunjungi seawal trimester pertama kerana ketika itu banyak perubahan dari segi mental dan fizikal akan berlaku.

“Suami juga disarankan hadir bersama isteri bagi menambah pengetahuan mengenai jenis bantuan yang perlu dihulurkan ketika ibu perlukan.

“Kebiasaannya, di dalam kelas suami isteri bukan saja diberikan ilmu secara teori malah ada juga latihan praktikal seperti bersenam,” katanya.

Jelasnya, kelas penyusuan juga sangat penting bagi memberi pemahaman kepada ibu mengenai konsep yang mudah dan perlu diamalkan. Ia sekali gus dapat menolak salah tanggapan sesetengah ibu muda mengenai susu badan yang tidak mencukupi jika mereka memahami konsep kehendak (permintaan) dan pengeluaran.

Ini kerana pengeluaran susu badan bergantung kepada permintaan (melalui pemberian susu badan kepada bayi). Jika tiada permintaan, badan ibu secara semula jadi akan mengurangkan pengeluaran susu yang sepatutnya diberikan kepada di kecil.

Pada masa sama, ibu akan diajar posisi penyusuan yang betul dan pemakanan sihat bagi membantu menggalakkan pengeluaran jumlah susu yang berpanjangan.

Selain kelas penyusuan, ilmu mengenai posnatal turut membantu ibu menjalani tempoh berpantang dalam suasana menenangkan sekali gus mengelakkan masalah trauma atau meroyan.

“Sebenarnya, ramai yang sedar mengenai kepentingan ilmu itu tapi tidak ramai yang sanggup mengeluarkan duit kerana menganggap ia terlalu mahal. Sedangkan banyak ilmu bermanfaat yang boleh digunakan pada masa akan datang dan seterusnya.

“Oleh itu, di sini kami menyediakan pakej yang merangkumi lima kelas berbeza bagi berkongsi ilmu secara menyeluruh kepada suami isteri ketika hamil, penyusuan hinggalah selepas melahirkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2017 @ 12:33pm
d