hati

Dugaan penguat semangat

Oleh Siti Zarinah Sahib

Benar kata orang kepayahan dan kesukaran adalah perencah paling mujarab bagi memperbaiki kehidupan, seterusnya memperoleh apa yang diidamkan terutama apabila membabitkan perniagaan. Pahit manis dan jatuh bangun dalam bisnes menjadikan seseorang itu lebih kuat menghadapi apa juga cabaran, seterusnya membina nama dalam bidang masing-masing.

Bagi Pengasas Bina Mutiara Global, pengeluar produk Listra berasaskan habbatus sauda, Siti Eaishah Hamzah, 33, empat tahun lalu dia bukan ‘siapa-siapa’, hanya ibu kepada dua cahaya mata yang pernah bekerja sebagai jurujual minyak wangi, pelayan kedai makan dan kerani. Namun apa yang membuatkan dirinya berbeza adalah semangat dan usaha tanpa kenal erti jemu.

Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia cuba melakukan yang terbaik untuk keluarga, namun cabaran dilaluinya amat sukar apabila pendapatan tidak mencukupi, tambahan pula suami baru saja mendapat kerja. Satu demi satu dugaan melanda apabila Allah memberikan ujian kesakitan dengan sista sebesar tiga sentimeter dan perlu dibuang bersama ovari kiri kerana dikhuatiri mengganggu kesuburannya.

“Siapa yang tidak sedih mendengar penerangan doktor. Saya rasakan kemungkinan untuk hamil amat tipis memandangkan ovari sebelah kiri saya perlu dibuang. Saya menangis, berserah kepada Allah, namun saya tidak berputus asa dan terus mencari penawar alternatif terutama pemakanan sunah,” katanya yang diperkenalkan dengan makanan tambahan berasaskan habbatus sauda formula asal daripada rakan niaga arwah ayahnya.

Hampir dua bulan konsisten mengambil habbatus sauda setiap pagi, sista didapati sudah mengecut. Lebih menggembirakan, dia tidak perlu menjalani pembedahan dan berjaya hamil selepas tiga bulan.

Bermula dari situ dia mulai percaya mengenai makanan sunah dan ingin membantu orang lain yang turut mempunyai masalah seperti dirinya. Lama-kelamaan muncul ilham untuk memasarkan produk berasaskan habbatus sauda. Dengan sedikit ilmu yang dimilikinya, dia mula mencari formula dan membuat pembungkusan serta mencipta nama untuk produk ini.

Pada bulan pertama tanpa ilmu pemasaran dia cuma mampu menjual 30 botol dengan keuntungan RM1,200 saja. Namun ia langsung tidak mematahkan semangat anak ketiga daripada empat beradik ini kerana jika orang lain boleh berjaya mengapa tidak dia.

Lalu dia belajar dan mengisi masa dengan menambah ilmu dalam bidang kesihatan terutama kesuburan. Siti Eaishah percaya ramai wanita menghadapi masalah haid tidak teratur, sista dan senggugut yang teruk sehingga menyebabkan mereka sukar hamil. Ini disebabkan masalah hormon yang tidak stabil, seterusnya mengganggu kelancaran haid.

“Hormon pula dikaitkan dengan tekanan, gaya hidup serta makanan tidak sihat. Hampir kebanyakan wanita mengalaminya disebabkan kerjaya serta menguruskan keluarga di rumah,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, sangat penting wanita mempunyai haid yang teratur setiap bulan kerana ia menunjukkan tahap kesuburan mereka. Sebab itu apabila ada yang mengadu tidak datang bulan dalam tempoh lama, Siti Eaishah berasa kasihan. Seboleh-bolehnya dia ingin membantu mereka menyelesaikan masalah ini agar pasangan dapat hamil secara normal.

“Tugas yang dipikul wanita zaman ini bukanlah satu kerja yang mudah. Ia menuntut kekuatan mental dan emosi. Jadi wanita perlukan badan yang sihat untuk bekerja dan minda yang cerdas untuk berfikir. Selain makanan tambahan, mereka harus menjaga kesihatan dengan bersenam dan mengambil makanan sihat,” katanya yang ingin menyampaikan mesej kepada semua golongan hawa agar membina kekuatan diri, menjadi insan yang hebat dan berdikari dalam semua segi.

Bangga produk diiktiraf

Empat tahun membangunkan jenama dengan keyakinan pelanggan terhadap produknya yang semakin bertambah, baru-baru ini Listra diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima anugerah Asia Pacific Super Health Brand 2017-2019 dalam kategori kesihatan. Ujarnya, pencapaian ini membuktikan produk tempatan mempunyai kualiti setanding produk antarabangsa.

“Dalam gembira saya terharu kerana jenama ini mulai mendapat kepercayaan ramai walaupun ia bukan sesuatu yang mudah. Ada yang berjaya hamil selepas menanti kehadiran cahaya mata selama 19 tahun, ada berjaya melahirkan bayi kembar tiga. Melihat ke­gembiraan mereka menjadi pembakar semangat untuk membantu wanita memperoleh kesihatan yang baik,” katanya.

Jika dulu matlamat usahawan ini untuk memperoleh keuntungan tetapi kini selepas melihat ramai yang tersenyum gembira, Siti Eaishah mula berasakan apa yang dilakukan adalah untuk memberikan nilai hidup kepada insan lain.

Selain membantu mereka mendapatkan zuriat, dia juga mula membuka peluang perniagaan bagi yang ingin menjana pendapatan dengan menjadi ejen kepada produk berkenaan.

“Saya membentuk stokis dan rangkaian ejen bagi membantu mereka menjana pendapatan. Ada yang dapat membantu ibu bapa dan suami, membayar hutang pinjaman pelajaran dan berbelanja tanpa bimbang masalah kewangan,” katanya yang kini mempunyai hampir 100 stokis di seluruh negara.

Tiada kepakaran dalam bidang perubatan menyebabkan wanita ini sentiasa belajar menerusi pengalaman orang lain, pembacaan di media masa dan Internet serta bertanya doktor pakar sakit puan. Dia percaya selagi wanita mempunyai rahim, mereka masih boleh hamil. Apa yang penting dilakukan adalah berikhtiar dan berdoa kepada Allah.

Kalau boleh dia mahu menembusi pasaran luar negara dan berasa gembira apabila menerima jemputan daripada SME Corporation bagi menyertai siri seminar yang diadakan di Australia pada tahun hadapan selain cuba memasuki pasaran Timur Tengah.

“Semua ini masih dalam perbincangan, tetapi saya tidak merasakan ia mustahil kerana sememangnya habbatus sauda diakui kebaikannya sejak dulu lagi, malah di dalam al-Quran juga ada disebut mengenainya,” katanya.

Jadi isteri dan ibu di rumah

Siti Eaishah mengakui memang jadual hariannya padat dengan pelbagai aktiviti. Dia berterima kasih kepada suami yang banyak membantu menguruskan anak. Walaupun tiada pembantu rumah, wanita ini tidak menjadikannya alasan untuk mengabaikan urusan si kecil.

“Biasanya saya bangun awal bagi membereskan urusan rumah tangga seperti memasak dan memandikan mereka. Jika tiada hal di luar, saya membawa anak ke pejabat bagi membolehkan saya menikmati proses pembelajaran bersama mereka seperti memberi makan, menyusukan bayi, memandikan dan membacakan buku.

“Saya dan suami mahu menjadi model insan kepada mereka. Kami tidak mahu terlepas peluang mendidik mereka dengan didikan yang betul sementara proses ini diteruskan di sekolah,” katanya yang mengakui ada kalanya semangatnya juga luntur.

“Bagi membuang emosi negatif ini saya akan mencari rakan seangkatan untuk berfikir dan mengenang kembali matlamat dalam perniagaan. Kami saling memberi sokongan sehingga rasa tertekan itu hilang, saya kembali bersemangat dan fokus dalam perniagaan,” katanya yang sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dan mengadu kepada-Nya dalam setiap keputusan yang diambil.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 3:02pm
d