hati

Wanita mahu hak memandu kereta

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Sudah 21 tahun sejak percubaan pertama untuk menentang larangan terhadap wanita memandu kereta di Arab Saudi dan beberapa protes dibuat sejak itu.

Namun semuanya berubah pada 17 Jun 2011 ketika Manal Al Sharif memulakan gerakan Women2Drive iaitu kempen hak memandu untuk wanita di negara itu.

Wanita itu dimasukkan ke penjara gara-gara memuat naik videonya memandu sebagai sebahagian daripada kempen tetapi sebaliknya, puluhan wanita di negara itu menunjukkan protes dengan memandu.

Beliau yang ditemui ketika persidangan Pemerkasaan Wanita dan Pengembaraan, ZafigoX, baru-baru ini mendedahkan pengalamannya berdepan pelbagai kesukaran untuk memperjuangkan hak sebagai wanita di negaranya.

“Di negara saya, kebanyakan wanita tidak tahu memandu. Mereka tidak mempunyai lesen memandu bahkan tidak memiliki kereta. Ia masyarakat yang lebih mengutamakan lelaki dan wanita disuruh tinggal di rumah dan menjaga keluarga.

“Bagaimanapun, ibu saya begitu berbeza dan mahu semua anaknya mendapat pendidikan tinggi. Saya dibesarkan di Makkah dan belajar dalam bidang Sains Komputer di Universiti King Abdulaziz di Jeddah.

“Saya menyertai Saudi Aramco, syarikat minyak kebangsaan pada 2002 dan saya satu-satunya wanita yang bekerja dalam bidang keselamatan Internet di seluruh negara pada masa itu. Wanita boleh memandu di pekarangan syarikat itu yang berada di padang pasir, jadi saya meminta adik lelaki mengajar saya memandu,” katanya.

Katanya, hasil perkahwinannya dengan rakan sekerja, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, namun bercerai pada 2009. Atas tuntutan kerjaya, Manal meninggalkan negaranya selama setahun untuk ke Amerika Syarikat bagi program pertukaran.

Di situlah dia mengenal erti kebebasan sebagai wanita di mana dia boleh memandu sendiri, menyewa rumah sendiri dan tidak lagi berasa takut.

“Sebaik saya pulang ke Arab Saudi, ia seakan-akan kejutan budaya buat saya ketika itu. Saya akhirnya memahami sepenuhnya bahawa saya didiskriminasi di negara sendiri hanya kerana dilahirkan sebagai wanita,” katanya.

Digelar pembuat masalah

Katanya, di negara itu wanita yang memandu dianggap sebagai tindakan penentangan sivil dan memulakan gerakan Women2Drive selepas dia mendapati larangan terhadap wanita memandu hanyalah tradisi, bukan undang-undang.

Menurutnya, akibat tindakannya itu rakan sekerja mula menggelarnya pembuat masalah. Mereka berkata, ‘Ini ialah undang-undang, anda tidak boleh mengubahnya.

Bagaimanapun baginya, undang-undang boleh diubah jika rakyat bersuara dan ketika itu juga berlakunya Arab Spring (satu siri protes di seluruh Timur Tengah) dan keadaan itu membuatkan wanita berani ini terfikir perubahan bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Laluan saya sebagai aktivis bermula cukup perit enam tahun lalu. Tindakan memuat naik video saya memandu ke YouTube sebagai ‘simbolik’ yang kami sebagai wanita tidak takut akhirnya mengundang padah.

“Kempen ini mendapat maklum balas mengagumkan dengan 120,000 pelawaan diterima di Facebook daripada wanita dan lelaki.

“Biasanya video sebegini mungkin tidak diendahkan oleh sesiapa pun, tetapi kerana ia tidak diterima secara sosial untuk wanita memandu di Arab Saudi yang mana terdapat larangan de facto terhadapnya, video saya menjadi tular.

“Saya ditahan dan dipenjara selama sembilan hari, malah kehilangan kerjaya sebagai jurutera keselamatan komputer di salah sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, Manal yang mempunyai seorang anak lelaki ketika itu dibebaskan berikutan kisahnya mendapat perhatian dan menimbulkan kemarahan seluruh dunia.

Wanita berusia 38 tahun ini tidak gentar dalam meneruskan perjuangannya menuntut kebebasan hak wanita untuk memandu.

Manal yang kini berkahwin dan menetap di Sydney, Australia serta dikurniakan seorang anak lelaki berkata, apa yang dikesali selepas berhijrah ke Dubai, dia tidak dapat bertemu anak pertama yang diberikan sepenuh hak jagaan kepada bekas suami.

Sokongan seisi keluarga

Perjuangan tidak pernah terhenti buat wanita ini dan dia meneruskan lebih banyak kempen sepanjang tahun. Kempen pada 26 Oktober 2013 yang diketuai penulis blog Saudi, Dr Eman Alnafjan diikuti Loujain Al-Hathloul cuba menyeberangi sempadan Saudi dari UAE.

Wanita itu kemudian disertai wartawan Saudi, Maysa Al-Amoudi. Malangnya mereka ditangkap dan dihantar ke penjara selama 72 hari.

Kempen #iammyownguardian juga menjadi tular dan menghubungkan ramai aktivis di dalam dan di seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran undang-undang penjagaan lelaki di Arab Saudi yang melarang wanita untuk mengembara, berkahwin atau keluar dari rumah tanpa izin saudara lelaki.

Wanita yang berkempen untuk menamatkan larangan ini kehilangan kebebasan, pekerjaan, menjejaskan keselamatan mereka manakala kereta dirampas dan ditahan.

Mereka diganggu dan dipenjara, malah keluarga turut menjadi mangsa kebencian. Pelbagai gelaran dan nama memalukan yang merendahkan maruah dilemparkan kepada mereka. Kehidupan mereka musnah kerana tindakan berani memandu di Arab Saudi.

“Di sebalik perjuangan ini, amat penting untuk menghargai segelintir kaum lelaki di Arab Saudi yang banyak membantu wanita dalam gerakan ini dengan berkongsi kereta mereka, mengajar kami memandu atau memilih menjadi penumpang.

“Abang saya memberikan saya kunci kereta dan dia duduk di sebelah ketika saya ditangkap. Sedihnya, dia turut ditahan. Dia diganggu dengan teruk, tetapi tetap memilih untuk berdiri teguh di belakang saya. Ayah saya pula sanggup berdepan dengan pemerintah negara dan meminta pembebasan saya,” katanya.

Bagaimanapun, pada 26 September lalu, perjuangan sejak 1990-an itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemerintah negara itu, Raja Salman mengeluarkan perintah agar wanita dapat memandu tahun depan.

Manal menerusi satu petikan di Facebook miliknya berkata, tarikh itu menandakan tamatnya salah satu undang-undang paling keras dalam sejarah moden.

“Aktivis hak wanita masih akan terus memerhatikan bagaimana undang-undang ini dilaksanakan dan dipantau dan berkempen untuk menghapuskan penjagaan lelaki yang dikenakan ke atas mereka. Kami tidak meminta apa-apa melainkan hak saksama untuk wanita.

“Kami menghargai dan menghormati wanita serta lelaki yang menyokong perjuangan ini. Ia hanya permulaan untuk menamatkan undang-undang yang tidak adil dan menganggap wanita Saudi tidak boleh dipercayai untuk menentukan nasib mereka sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2017 @ 2:38pm
d