hati

Mati putik

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Istilah mati putik mungkin jarang didengar atau langsung tidak diketahui ramai wanita moden hari ini. Sekalipun diketahui, jelas tidak ramai yang mengambil berat mengenai kaedah merawat masalah ini. Alasan paling kerap didengar adalah malu.

Secara amnya, mati putik merujuk kepada masalah disfungsi seksual yang dialami wanita. Mereka ini biasanya tergolong dalam kalangan yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Pengasas dan pemilik Red Kebaya Spa Bukit Antarabangsa, Nur Ain Zainal berkata, ramai wanita hari ini tidak menyedari sudah mengalami mati putik disebabkan kurangnya pendedahan, terlalu sibuk bekerja dan melalui rutin harian yang memenatkan.

Ada juga yang tidak tahu mereka mengalami mati putik disebabkan terkeliru dengan perubahan diri selepas melahirkan anak. Paling teruk, ada yang menganggap diri mereka kurang tertarik kepada pasangan disebabkan faktor ‘berbahagi kasih’ antara anak dan suami.

“Sepanjang mengendalikan spa, majoriti pelanggan yang saya temui tidak tahu mereka mengalami mati putik. Jika hendak digambarkan dengan angka, kira-kira lapan daripada 10 wanita yang datang untuk bertangas di sini mengalami masalah disfungsi seksual.

“Mereka ini dari luarannya nampak sihat, tetapi melalui masa sukar ketika bersama suami, tidak ada rasa ghairah atau minat untuk bersama hinggakan ada yang mengaku sudah empat bulan menjalani kehidupan suami isteri yang ‘kosong’,” katanya.

Jelas Nur Ain, banyak faktor mendorong berlakunya mati putik dalam kalangan wanita moden kini. Antara punca utama adalah mengabaikan amalan penjagaan dalaman dan luaran ketika proses berpantang selepas melahirkan anak.

“Kalau dikaji, terdapat beberapa situasi yang boleh menyumbang kepada mati putik. Bagi wanita yang masih ragu-ragu, mungkin mereka boleh lihat kembali sejarah kelahiran yang lalu.

“Lihat sama ada mereka pernah melalui tekanan perasaan ketika bersalin atau berpantang, mengalami kemurungan, tidak berurut selepas bersalin, meninggalkan amalan bertungku atau ada melanggar adab lain ketika berpantang.

“Sekiranya ada antara perkara berikut berlaku dan wanita berkenaan jelas semakin kurang berminat untuk mengadakan hubungan intim dengan pasangan, ada kemungkinan dia mengalami mati putik. Usah malu untuk mendapatkan bantuan dan rawatan demi kesihatan diri serta keharmonian rumah tangga pada masa akan datang.

“Ramai wanita hari ini berfikiran salah. Mereka selalu menganggap perlunya mencantikkan diri untuk suami. Sebenarnya, wanita harus sentiasa berusaha mencantikkan diri, menjaga kesihatan dalaman dan luaran serta mengekalkan kecergasan tubuh untuk diri mereka sendiri. Jika semua ini diambil perhatian, sudah pasti hubungan dengan suami dan keluarga terpelihara dengan baik,” katanya.

Pentingnya bertangas

Sejak zaman berzaman, kaedah penjagaan dalaman dan luaran terbaik bagi setiap wanita adalah bertangas. Kata Nur Ain, bertangas bukan sekadar untuk wanita selepas berpantang, tetapi wajar dijadikan amalan kaum hawa demi kesejahteraan jangka panjang.

“Tubuh wanita memerlukan penjagaan luaran dan dalaman untuk mengekalkan kecergasan serta menaikkan seri wajah. Sebaik-baiknya, bertangas dilakukan sekali setiap bulan, selepas haid.

“Di Red Kebaya Spa, kami sediakan dua kaedah bertangas iaitu basah atau kering. Ia bagus untuk memperkemaskan fungsi faraj, menguatkan daya kemutan dan otot rahim, menangani masalah keputihan berbau serta melambatkan proses penuaan.

“Jika bertangas kering, kami akan gunakan bahan segar seperti kunyit, pati limau nipis, halba, jintan hitam dan serbuk manjakani. Sementara bahan bertangas basah pula mengandungi khasiat limau purut, daun pandan, temu, manjakani, sepang merah, daun kacip fatimah, daun inai dan akar serapat,” katanya.

Selain bertangas, spa dengan konsep warisan kontemporari itu turut menawarkan perkhidmatan urut tradisional, rawatan wajah, lulur serbuk cendana beras pulut, lulur susu serbuk kopi dan lulur hampas kelapa. Begitupun, pakej bertangas adalah paling popular dan mendapat tempahan setiap hari.

“Saya seronok melihat wanita prihatin terhadap penjagaan diri mereka. Bertangas adalah amalan tradisi yang diamalkan sejak nenek moyang lagi. Ia membawa manfaat besar kepada kesejahteraan wanita, namun semakin dilupakan,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2017 @ 3:05pm
d