hati

Resipi juara

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tanpa disangka, penyertaan secara suka-suka dan kali pertama buat anak kelahiran Mentakab, Pahang ini dalam pertandingan memasak membawa tuah kepada dirinya apabila diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, Cabaran Raja Kuah Knorr 2017 yang membolehkannya menghadiahkan pakej umrah kepada ibu bapa tercinta.

Mengakui tidak meletakkan sebarang harapan untuk muncul juara memandangkan semua peserta akhir mempunyai pengalaman dan kehebatan tersendiri dalam bidang masakan menjadikan Nur Fakhira Mohd Rosli, 27, berusaha sebaiknya untuk menyediakan tiga hidangan lazat hasil resipinya sendiri.

Menurut Nur Fakhira, tiga hidangan disediakannya pada pertandingan akhir itu iaitu udang kari kering, masak lemak tempoyak ayam dan ayam kicap Szechuan berjaya menarik minat juri, sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej umrah untuk dua individu bernilai RM25,000 dan hamper produk.

“Saya memang minat memasak dan ia sudah sebati dalam kehidupan harian saya. Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya sudah diajar memasak oleh nenek dan ibu yang menjadi dua guru terawal saya dalam bidang masakan.

“Ketika di tingkatan empat dan lima, saya mengambil jurusan katering yang menjadikan saya semakin meminati bidang ini. Saya bertekad untuk berkecimpung dalam bidang masakan apabila tamat pengajian dan syukur impian itu termakbul. Kini saya mengusahakan kedai makanan iaitu Kudapkudap Cafe di Kuantan, Pahang bersama adik dan ayah,” katanya.

Nur Fakhira berkata, dia sekadar mencuba nasib menyertai pertandingan memasak itu namun apabila terpilih ke peringkat akhir, dia tidak terkecuali untuk membuat persediaan rapi bagi membolehkannya bersaing dengan 19 peserta lain.

“Semangat diberikan semua ahli keluarga dan suami yang turut datang membuatkan saya berusaha sedaya mungkin untuk tidak mengecewakan mereka terutama ayah yang menyediakan bekas hidangan menggunakan kayu hasil kerja tangannya bagi mengisi sajian pada pertandingan akhir ini.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya sebaik diumumkan sebagai juara selain memanjatkan kesyukuran atas kemenangan ini. Saya memang berniat untuk menghadiahkan pakej umrah ini kepada ibu dan ayah sekiranya saya menang dan syukur impian saya termakbul. Saya dan suami juga bercadang untuk mengerjakan umrah bersama ibu dan ayah nanti,” ujarnya ketika ditemui pada Cabaran Raja Kuah Knorr 2017 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen berkata, pertandingan tahun ini mencari hidangan berkuah Melayu paling lazat dan memberi pengiktirafan kepada peserta yang berjaya menampilkan kreativiti dan cita rasa terbaik.

“Kali ini penyertaan dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan ia sungguh mudah iaitu dengan menampilkan tiga resipi hidangan berkuah menggunakan Stok Ayam Knorr. Seramai 20 peserta dipilih untuk berentap pada pertandingan akhir ini juga dengan cabaran menyediakan tiga hidangan berkuah.

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan kami bangga kerana berjaya menganjurkan pertandingan memilih Raja Kuah Knorr 2017,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan terus berusaha berkongsi kepakaran dan melakukan inovasi untuk memberikan kandungan makanan terbaik untuk setiap pelanggan setia.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 12:00am
d