hati

Cuti sekolah lebih bermakna

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Cuti sekolah! Riak gembira jelas terpancar pada wajah si anak apabila tiba musim cuti persekolahan khususnya cuti panjang pada hujung tahun.

Pastinya ia detik yang amat dinantikan kerana bukan saja anak dapat merehatkan diri seketika daripada rutin padat pada hari persekolahan malah ia membuka peluang besar untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama ibu bapa.

Apabila tiba musim cuti persekolahan, antara aktiviti biasa yang dirancang kebanyakan ibu bapa ialah percutian seisi keluarga atau menyertai pelbagai program menarik yang membabitkan ahli keluarga.

Waktu yang diluangkan untuk bersama seisi keluarga amat bernilai kerana ia memberi pengaruh besar kepada emosi dan proses pembesaran si anak.

Dalam situasi itu, si anak pasti mengharapkan ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa bagi menjadikan cuti persekolahan lebih bermakna dan menyeronokkan berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna ibu bapa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk pergi bercuti ke destinasi terkenal terutama di luar negara kerana apa yang lebih utama ialah masa berkualiti dengan anak.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia, Ko Teik Yen berkata, waktu cuti sekolah antara saat penting yang dapat mengumpulkan setiap ahli keluarga untuk bersama-sama.

“Tidak kira sama ada si anak itu berada di sekolah rendah, menengah atau sudah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, semuanya pasti menantikan saat cuti untuk bersama ibu bapa.

“Oleh itu, ibu bapa perlu lebih prihatin dan mengambil peluang dengan cuba mengambil cuti untuk bersama anak di rumah mahupun ke lokasi pilihan,” ujarnya.

Menurutnya, ia detik bermakna dan membantu dalam proses pembinaan minda anak yang sering dahagakan perhatian terutama daripada ibu bapa berkerjaya.

Rancang aktiviti

Perancangan rapi amat diperlukan bagi memastikan perjalanan cuti sekolah anak tidak berakhir begitu saja tanpa sebarang perkara bermakna.

Menurut Ko, rancang awal apa juga aktiviti atau destinasi yang ingin dituju supaya tidak berlaku masalah selain ia dapat menjimatkan kos.

“Jika mempunyai bajet yang agak besar, tidak salah sekiranya membawa anak bercuti ke lokasi menarik terutama sekiranya ia antara lokasi yang menjadi impian si anak untuk dikunjungi.

“Namun, jika tidak mempunyai bajet mencukupi, cukup sekadar keluar ke pusat beli-belah untuk berjalan-jalan atau makan bersama bagi mengeratkan hubungan. Ini kerana sepanjang sesi persekolahan, ramai ibu bapa yang tidak berpeluang berbual panjang dengan anak kerana kesibukan masing-masing,” katanya.

Ko berkata, selain keluar bersiar-siar atau melancong ke destinasi pilihan, ibu bapa juga boleh meluangkan masa di rumah bersama anak.

“Lakukan aktiviti di rumah bersama-sama seperti memasak, menonton televisyen atau bergotong-royong membersihkan rumah.

“Ia bukan saja menyeronokkan malah akan merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dengan anak,” ujarnya.

Tambah Ko, apa yang lebih penting masa berkualiti yang diluangkan bersama anak untuk memastikan si anak berasakan diri disayangi dan bermakna dalam kehidupan ibu bapanya.

“Pastinya detik berharga yang dilalui si anak ketika cuti sekolah ini menambahkan semangat dan kegembiraan mereka untuk lebih berusaha apabila sekolah dibuka semula.

“Semua ini amat penting dan ia bukan sesuatu yang remeh kerana rasa diri dihargai dan kegembiraan anak banyak mempengaruhi diri, corak pemikiran serta personaliti mereka kelak,” katanya.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ketika cuti persekolahan:

• Rancang percutian bersama setiap ahli keluarga.

• Beriadah bersama anak di rumah atau di lokasi berhampiran.

• Luangkan masa berbual dan mendengar apa juga masalah yang dihadapi anak-anak.

• Berikan anak kelonggaran untuk berehat dengan melakukan aktiviti kesukaan mereka ketika cuti sekolah.

• Keluar membeli kelengkapan diri juga persekolahan anak-anak.

• Rancang dan adakan hari keluarga dengan mengumpulkan setiap ahli keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.

• Gunakan waktu ini untuk lebih mengenali anak-anak dengan menghabiskan masa bersama-sama.

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 12:01am
d