hati

Bina kampung kecil

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Ketika banyak tuduhan sinis dilemparkan segelintir pihak terhadap usaha kerajaan menyalurkan bantuan kemanusiaan dan infrastruktur kepada pelarian Rohingya, masyarakat etnik itu pula semakin terdesak meneruskan hidup di bumi Bangladesh.

Angin sejuk yang berhembus dari kawasan pergunungan dan puncak tertinggi dunia, Everest kian menggigit hingga ke tulang. Tambahan kedudukan kem Cox’s Bazar di pinggir laut, anak kecil tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menahan kesejukan akibat penurunan suhu dari hari ke hari.

Kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Zulhanis Zainol, majoriti pelarian di kem berkenaan tidak mempunyai pakaian tebal, apalagi selimut untuk melindungi diri daripada kesejukan.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan pelarian di Cox’s Bazar mencecah 1.2 juta. Sebahagian besar daripada jumlah itu menumpang kenalan dan menyara hidup sebagai buruh kasar. Bagaimanapun, 600,000 lagi masih hilang mata pencarian masih perlu dibantu.

“Mereka ini tidak dibenar keluar dari kawasan khemah untuk bekerja sendiri mengikut status pelarian diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Suka atau tidak, mereka terpaksa bergantung penuh kepada pengendali kem,” katanya.

Berikutan itu katanya, MAPIM mengambil inisiatif menyelaras dan menyusun gerak kerja bantuan demi memastikan kesengsaraan etnik Rohingya diringankan serta bantuan diagih dengan lebih terurus.

“Kalau dulu, ketika MAPIM baru tiba, keadaan huru-hara dan kotor. Tiada sistem saliran mahupun kumbahan. Mereka membuang air besar di tanah sawah dan pinggir jalan menyebabkan kawasan persekitaran kotor serta sukar mendapat bekalan air bersih.

“Sekarang, kami sudah ada lima kem yang dilengkapi kemudahan asas dan penempatan lebih selesa. Kami tetapkan gugusan (kluster) tertentu seperti bahagian pelarian baru, pendaftaran dan penempatan.

“Kami juga bekerjasama dengan beberapa NGO seperti Yayasan Amal, Haluan dan Serantau Muslim bagi mewujudkan ASEAN Village di salah sebuah kem di Balukhali.

“Perkampungan kecil ini lebih teratur, mempunyai sumber telaga tiub, tandas berpaip hasil teknologi pam solar serta kemudahan untuk wanita. Selain itu, ia juga dilengkapi kemudahan masjid dan madrasah untuk pengajian anak-anak Rohingya serta lebih 250 rumah perlindungan. Begitupun, masalah utama ketika ini adalah keperluan pakaian dan selimut untuk mereka menempuhi musim sejuk,” katanya.

BAYI KESEJUKAN

Jelas Zulhanis sekalipun banyak bantuan diterima daripada pelbagai pihak, namun ia belum dapat menampung jumlah diperlukan, terutama apabila tiba musim sejuk.

“Kami cari sumbangan RM1,500 setiap kali untuk mengadakan sumber air bersih menerusi telaga tiub, kemudian kami bina surau dengan setiap satunya menelan kos RM10,000, mengadakan tandas serta menyediakan keperluan bulanan setiap keluarga bernilai RM65.

“Surau ini perlu untuk solat Jumaat dan anak-anak mengaji. Selebihnya kami terpaksa berusaha untuk meraih sumbangan bagi kempen Sepinggan Nasi Untukmu Rohingya dan menyediakan keperluan asas, terutama selimut serta pakaian lebih selesa untuk kanak-kanak,” katanya.

Tambah beliau, selimut menjadi sasaran utama kini berikutan 60 peratus daripada pelarian Rohingya di kem terbabit terdiri daripada bayi dan kanak-kanak. Mereka ini kehilangan ibu bapa ketika menyelamatkan diri dan tidak mempunyai keperluan pakaian yang cukup, apatah lagi baju tebal atau selimut sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.

“Selain itu, warga emas juga ramai. Jadi, kami perlu sediakan pemanas, selimut, makanan dan sumber ubatan mencukupi. Ketika musim sejuk ini kesihatan kanak-kanak dan orang tua mudah terjejas.

“Tanpa baju tebal dan selimut, mungkin keadaan mereka boleh menjadi bertambah buruk. Buat masa sekarang, kebanyakan mereka hanya dibaluti baju nipis. Malah, ada yang sehelai sepinggang sejak mula tiba di kem pelarian,” katanya.

Menurut Zulhanis, kos bagi sehelai selimut dijangka sekitar RM50. Namun harga mungkin meningkat dari semasa ke semasa, bergantung kepada permintaan dan musim.

“Sebagai alternatif menjimatkan, kami akan membeli selimut dan pakaian diperlukan di sana. Jika boleh, kami mahu menyediakan selimut lebih awal kerana musim sejuk dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

“Kami bimbang suhu turun mendadak dan angin sejuk bertiup kencang hingga mengancam kesihatan serta nyawa pelarian kanak-kanak,” katanya.

SAMBUNG DERITA

Dalam pada itu katanya, MAPIM turut bimbang dengan aliran kemasukan pelarian Rohingya dari Myanmar yang meningkat saban hari berikutan serangan puak tentera di kawasan perkampungan.

“Kami hanya mampu melihat betapa deritanya etnik Rohingya yang dihanyutkan dari Bauthidong oleh tentera Myanmar selepas dayung mereka dirampas. Ada antara pelarian yang dipukul dan dihanyutkan mengikut arus Sungai Naf sejauh 10 kilometer sebelum ditemui terdampar di Nayapara Sabrang.

“Malah, saya sendiri bersama pasukan penyelamat MAPIM berpeluang menjejaki dua kumpulan pelarian seramai 70 orang termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak. Daripada laporan diterima terdapat lebih kurang 12,000 lagi etnik Rohingya berkumpul di tepi Sungai Naf, sebelah Myanmar dan sibuk membuat rakit untuk lari menyelamatkan diri.

“Apa yang lebih menyedihkan, mereka ini tidak boleh diselamatkan walaupun sudah berada di tepi sungai atau ketika hanyut, melainkan terdampar di sebelah Bangladesh.

“Dengan meningkatnya jumlah pelarian setiap hari, sudah tentu kami memerlukan lebih sumbangan secara berterusan untuk merawat, menyediakan keperluan asas serta perlindungan di kem,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 6:08am
d