hati

Ada alternatif lebih murah

Oleh HM Digital

Ia bukan mustahil untuk disempurnakan meskipun berhadapan pelbagai persepsi malah berdekad jua untuk melihat hasilnya.

Apa pun, perjuangan untuk mengharamkan penggunaan haiwan dalam ujian produk kosmetik yang dilaksanakan oleh The Body Shop selama kira-kira tiga dekad bersama rakan kongsinya, Cruelty Free International nyata berbaloi. Ini terbukti apabila pengharaman berkenaan dilaksanakan sepenuhnya di peringkat Kesatuan Eropah pada 2013.

Namun bagi mereka, usaha itu belum memadai kerana 80 peratus negara di dunia masih membenarkan penggunaan haiwan dalam ujian kosmetik.

“Kami mulai berkempen menentang penggunaan haiwan dalam ujian kosmetik bermula pada 1989. Sewaktu memulakan kempen terbabit, ramai yang fikir idea kami ini gila,” kata Pengurus Kanan Kempen Antarabangsa & Tanggungjawab Korporat The Body Shop Jesse MacNeil-Brown.

Atas usaha berterusan itu, menurutnya, The Body Shop menjadi syarikat jenama kecantikan global yang pertama menentang penggunaan haiwan dalam ujian kosmetik.

Ia juga syarikat pertama diiktiraf menerusi penggunaan logo Leaping Bunny pada 1997. Pengiktirafan itu satu-satunya di peringkat antarabangsa yang membolehkan pelanggan mengenal pasti dan membeli produk yang tidak diuji ke atas haiwan.

“Selepas memulakan usaha terbabit pada 1989, ia berterusan selama sembilan tahun sehingga akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan United Kingdom mengharamkan ujian haiwan ke atas produk dan bahan kosmetik pada 1998.

“Ia tidak terhenti di situ apabila Kesatuan Eropah pula melaksanakan pengharaman ujian haiwan ke atas bahan kosmetik pada 2009, yang banyak disumbangkan oleh usaha syarikat ini bersama Cruelty Free International,” katanya.

Pada 2013 pula, Kesatuan Eropah mengharamkan sepenuhnya ujian membabitkan penggunaan haiwan ke atas produk kosmetik, bermaksud tiada produk boleh dijual atau diimport ke negara Kesatuan Eropah sekiranya ia mempunyai ujian terhadap haiwan.

Kempen terbabit turut mempunyai pengaruh penting di seluruh dunia seperti Korea Selatan, New Zealand dan kini India, diikuti dengan langkah oleh kerajaan Australia tahun ini manakala Taiwan pula bakal mengikut jejak langkah pengharaman ini dua tahun lagi.

Manakala di peringkat Asia Tenggara, Cruelty Free International turut melatih saintis di Vietnam dan kini mengadakan perbincangan bersama Thailand dan kerajaan lain untuk melaksanakan pengharaman ujian ke atas haiwan itu di seluruh negara ASEAN.

“Kami memulakan langkah ini dan akan mengakhirinya. Oleh itu, kami menyeru semua untuk menyertai petisyen bagi mendapatkan lapan juta tandatangan menerusi kempen menentang penggunaan haiwan dalam ujian produk kosmetik menjelang 2018,” katanya.

Menurut Ketua Eksekutif Cruelty Free International Michelle Thew, ada pelbagai perubahan mampu dilakukan syarikat kosmetik bagi mengharamkan penggunaan haiwan dalam ujian kosmetik mereka.

Berbanding penggunaan haiwan, antara alternatif ujian bahan kosmetik yang kini boleh dilakukan termasuk kaedah analisis data komputer. Selain itu, penggunaan pengganti kulit atau sel kulit manusia yang dijana menerusi ujian makmal membolehkan pemeriksaan keselamatan produk pada sel yang bertindak seperti kulit manusia tanpa mencederakan manusia atau haiwan.

“Dalam era teknologi kini, sebenarnya ada pelbagai alternatif yang lebih murah, cepat dan diyakini berbanding ujian menggunakan haiwan. Malah kian banyak syarikat berupaya mengeluarkan produk yang hebat tanpa melakukan ujian membabitkan haiwan,” katanya. -Rahayu Mohd Salleh

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 3:38am
d