hati

Hasil vaksin sendiri

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Di peringkat global, hanya 25 negara yang menghasilkan vaksin bagi memenuhi permintaan dunia di mana Vietnam, Thailand dan Indonesia sebagai penyumbang utama dari rantau ASEAN.

Namun pengeluar vaksin dari ketiga-tiga negara ini hanya memberi tumpuan kepada pasaran negara masing-masing. Akibatnya, negara bukan pengeluar vaksin seperti Malaysia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumber luar bagi mendapatkan bekalan.

Kebergantungan kepada sumber luar ini menyebabkan kekurangan bekalan vaksin ketika kecemasan seperti wabak penyakit setempat atau apa saja penyakit yang melanda dunia.

Memiliki bekalan yang cukup untuk program pemvaksinan adalah satu keperluan penting kerana keupayaan menghasilkan vaksin sendiri juga menjadi keutamaan sesebuah negara.

Selain faktor keselamatan penjagaan kesihatan, keupayaan untuk menghasilkan vaksin sendiri turut menyumbang kepada ekonomi di mana pengeluaran vaksin tempatan adalah lebih berkesan dari segi kos dan menggalakkan pasaran perniagaan dalam negara.

Pengarah Eksekutif AJ Pharma Holding (AJ Pharma) Selvam Ramaraj berkata, pasaran vaksin berbeza daripada pasaran produk lain kerana ia memiliki ciri dan kerumitan tersendiri dari segi menilai dan memahami harga serta menetapkan standard pemerolehan.

Menurutnya, walaupun pasaran vaksin kecil berbanding industri farmaseutikal secara keseluruhan, namun ia berkembang dengan pantas.

“Pada masa ini dianggarkan 120 vaksin baru diusahakan pelbagai syarikat multinasional di seluruh dunia dan dijangka memasuki pasaran dalam beberapa tahun lagi.

“Walaupun dengan potensi sebenar ini, namun hanya 25 negara yang menghasilkan vaksin untuk memenuhi permintaan dunia,” katanya.

Bercakap mengenai keselamatan vaksin dan sebab negara ini memerlukannya sedangkan kerajaan menyediakan subsidi vaksin kepada rakyat, Selvam berkata, keselamatan vaksin merujuk kepada jaminan penghasilan vaksin, keupayaan untuk memperoleh peruntukan pembiayaan vaksin bagi beberapa tahun dan mewujudkan keupayaan meramalkan keperluan vaksin jangka panjang yang tepat bagi mengelakkan pembaziran.

“Pembelian vaksin di peringkat global kini menjadi semakin kompleks disebabkan perubahan permintaan pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebagai contoh, negara maju biasanya membeli vaksin yang lebih kompleks dan melindungi manusia daripada pelbagai jenis penyakit. Negara sedang membangun seperti Malaysia pula akan membeli vaksin asas yang bermutu tinggi untuk melindungi daripada penyakit utama khususnya bagi kanak-kanak.

“Disebabkan kos pengeluaran dan permintaan pasaran yang berubah-ubah, sesetengah pengeluar menghentikan pengeluaran vaksin asas bernilai rendah yang masih diperlukan negara sedang membangun termasuk Malaysia,” katanya.

PASARAN VAKSIN MALAYSIA

Pasaran vaksin Malaysia terbahagi kepada dua pasaran utama. Pertama adalah pasaran awam di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Menurutnya, program yang dibangunkan KKM adalah berdasarkan Garis Panduan Imunisasi Kebangsaan yang juga program berbentuk mandatori.

“Jadual pemvaksinan ini memberi perlindungan daripada kebanyakan penyakit kanak-kanak seperti batuk kering, difteria, tetanus, pertusis aselular (batuk kokol), influenza, campak, beguk, rubela dan virus papilloma manusia (HPV).

“Pasaran kedua pula adalah pasaran swasta di mana individu boleh mendapat vaksin lain dari hospital dan klinik swasta yang disyorkan. Vaksin ini termasuk vaksin yang terdapat dalam senarai tambahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau vaksin perjalanan yang hanya terpakai dalam keadaan tertentu, di mana kos untuk mendapatkan vaksin ini ditanggung individu itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, tanpa mengira pasaran awam atau swasta, semua vaksin di negara kita diimport dan Malaysia perlu memiliki keupayaan mengeluarkan vaksin sendiri untuk memastikan keperluan penduduk dipenuhi tanpa mengira permintaan dan pengeluaran pasaran global yang berubah-ubah.

“Malah, negara membangun lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia sudah mengambil pendekatan sama dengan mempunyai kilang pengeluaran vaksin mereka sendiri.

“Buat masa ini Malaysia mengimport semua vaksin yang diperlukan. Kebergantungan kepada sumber luar ini boleh membawa kepada kekurangan bekalan ketika kecemasan seperti wabak penyakit setempat atau yang melanda sedunia,” katanya.

Di samping itu, Selvam berkata, terdapat juga kesan ekonomi yang ketara untuk mengimport vaksin seperti kos lebih tinggi disebabkan turun naik kadar pertukaran dan nilai mata wang yang lemah serta perbelanjaan untuk membawa masuk vaksin menerusi rantaian pengangkutan sejuk.

Sehubungan itu, AJ Biologics yang ditubuhkan di Malaysia pada Jun 2013 oleh Al-Jomaih Group berperanan merapatkan jurang ini dengan memenuhi keperluan vaksin negara secara berkesan dari perspektif ekonomi, kesihatan awam dan sosial.

“Kami akan melabur lebih RM138 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang untuk membina kemudahan rumusan dan siap bungkus vaksin yang pertama di Malaysia.

“Pembinaan kilang pengeluaran vaksin di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan yang dimulakan pada Januari tahun lalu dijangka beroperasi pada suku keempat 2019.

“Kami juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai penggiat pasaran vaksin global yang serius dengan memenuhi keperluan pasaran ASEAN dan Timur Tengah dalam tempoh jangka pendek dan jangka sederhana serta pasaran global dalam jangka panjang,” katanya.

Oleh yang demikian, selain kilang, Selvam berkata, pihaknya turut melabur dalam latihan dan pembangunan bakat serta mewujudkan perkongsian pembangunan bersama serta program pendidikan dan kesedaran awam.

Disiarkan pada: December 14, 2017 @ 5:58am
d