hati

Yoga dan pemanduan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Setiap kali ingin memulakan pemanduan, apakah perkara utama yang perlu diambil perhatian? Jika tidak pasti, sebaik-baiknya dapatkan maklumat terperinci kerana posisi yang betul mampu memberi keselesaan dan mengelakkan kecederaan sepanjang pemanduan.

Ada beberapa perkara yang ditekankan oleh seorang jurulatih pemanduan dalam sesi pandu uji kereta pada program Volkswagen Yoga Drive, baru-baru ini sebelum semua wakil media bertolak ke Pahang.

Antaranya, perhatikan jarak bangku supaya kaki tidak berada terlalu jauh dari bahagian pedal bagi memastikan kita sentiasa bersedia untuk menekan minyak atau membrek ketika perlu.

Malah, tentukan juga jarak ketinggian kepala dengan bumbung kereta iaitu kira-kira saiz satu atau dua tapak tangan bagi memastikan kita dapat melihat bahagian depan dengan jelas.

Kemudian, keadaan stereng juga perlu dipastikan berada pada ketinggian yang betul agar dapat melihat dengan jelas skrin meter kereta.

Selepas itu, jangan lupa untuk memastikan penyandar bangku berada pada kedudukan yang betul untuk menyokong bahagian belakang kepala agar kekal selesa.

Akhir sekali, pasangkan tali pinggang keledar bagi menjaga keselamatan sepanjang pemanduan dan betulkan kedudukan cermin pandang belakang serta cermin sisi supaya tiada objek yang menghalang pandangan. Apabila semuanya sudah dan bolehlah mula memandu dengan yakin.

Peluang berharga

Tidak pernah terdetik di fikiran dan hati untuk memandu uji kereta berjenama Volkswagen. Hati bersorak tatkala diberi tugasan ini, berpeluang untuk duduk di belakang stereng dan mengendalikan pelbagai model kereta jenama itu.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, pastinya ia pengalaman yang mengujakan dan tidak mungkin dapat dilupakan. Masakan tidak, program yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 dan 22 November lalu membawa wakil media memandu uji kereta dalam jarak jauh sambil ditemani latihan yoga yang menenangkan.

Sebelum memulakan perjalanan, Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) Erik Winter bertemu wakil media yang sejak pagi sudah bersedia untuk merasai pengalaman berharga itu.

Kemudian, jurulatih pemanduan jemputan, Ivan Khong memberikan taklimat berkaitan laluan jalan dan keselamatan ketika memandu secara konvoi sebelum memulakan perjalanan ke Mangala Resort & Spa.

Tujuh model kereta disediakan pada sesi dua hari itu antaranya Vento, Jetta, Passat, Tiguan atau Beetle dengan dua kereta marshal yang mengiringi.

Menariknya, semua wakil media yang menyertai sesi pandu uji itu berpeluang merasai semua jenis model kereta yang dikenali dengan ciri keselamatan secara bertukar ganti.

Vento, Jetta, Passat, Tiguan atau Beetle, yang manakah satu pilihan hati penulis. Sememangnya, setiap satu model kereta ini memiliki keistimewaan tersendiri.

Sesi pertama diberi peluang pandu uji kereta sedan kompak model Vento penulis tidak menyangka ia memiliki ciri stabil yang diinginkan.

Enjin berkuasa 1.2 liter, namun mampu membuat tujahan tinggi sekali gus membolehkan pecutan dirasai serta merta terutama ketika memintas atau mendaki bukit.

Selain Vento, penulis juga diberi peluang menguji kehebatan Jetta. Masih mengekalkan kestabilan dan meyakinkan walaupun dipandu pada kelajuan tinggi sehingga melebihi 160 km/j.

Masa yang ditunggu apabila penulis dapat merasai pengalaman memandu kereta model Passat. Menariknya, kereta berkenaan sangat selesa dan stabil terutama jika perlu melalui jarak perjalanan jauh.

Ia menggabungkan pemanduan agresif dan santai di lebuh raya, jalan biasa, berliku atau tatkala mengharungi kesesakan pusat bandar, memang memuaskan hati.

Tiguan pula dirasakan lebih sesuai buat pemandu yang sudah berkeluarga atau gemarkan gaya sporty. Selain itu, ia juga selesa dan menarik terutama bagi pemandu wanita yang gemarkan kereta SUV kerana ia praktikal serta menjimatkan kos bahan api.

Bagi memberikan pengalaman lebih meluas, wakil media juga dapat merasai perbezaan pengalaman pemanduan pada sesi pandu uji dengan kereta pesaing jenama berkenaan.

Yoga membelai badan

Diselubungi ladang kelapa sawit dan pemandangan alam semula jadi yang mengasyikkan, sedikit sebanyak memberikan kedamaian serta menenangkan hati.

Jauh daripada kesibukan bandar Kuantan, semua wakil media diberikan masa untuk berehat seketika sebelum memulakan sesi latihan yoga.

Tempoh sejam sesi yoga bersama jurulatih pada waktu petang dan malam, sememangnya memberikan sedikit kelegaan saat keletihan. Malah, ia juga membantu memperbaiki pernafasan dan menenangkan hinggakan ada antara kami yang tertidur.

Pada waktu pagi pula, sesi latihan yoga diteruskan dengan kehadiran jurulatih, Atilia Haron. Dilakukan di kawasan yang menenangkan dengan udara segar, tentunya latihan yoga yang dilakukan menambah tenaga.

Menurut Atilia, latihan yoga boleh membantu menambah tenaga dan berbeza dengan senaman lain, ia tidak menyebabkan keletihan selepas melakukannya malah boleh tidur dengan lebih baik pada sebelah malamnya.

“Ia sesuai dilakukan semua orang terutama wanita kerana membantu meningkatkan sistem produktiviti dan melancarkan peredaran darah serta kitaran haid.

“Bagi saya, latihan yoga yang diamalkan juga membantu diri menangani rasa marah dan tertekan kerana minda menjadi lebih tenang selain tidak mudah terkesan dengan apa-apa kejadian yang berlaku.

“Latihan yoga juga penting terutama apabila menyentuh teknik pernafasan, ketenangan minda dan kemampuan badan dalam melakukan latihan yang dijalankan,” katanya.

Selepas menamatkan sesi latihan yoga dan bersarapan, semua wakil media bersedia untuk memulakan sesi ujian pemanduan di satu kawasan lapang membabitkan cara mengawal kemalangan serta menggunakan brek kecemasan.

Sedikit sebanyak, kami terutama pemandu wanita dapat mempelajari dan memahami teknik menekan brek kecemasan selain bertindak pantas ketika berlaku kemalangan sebelum pulang ke ibu kota Kuala Lumpur.

Kini, dengan pengalaman dan ilmu yang dikutip selama dua hari itu, kami memandu dengan lebih yakin terutama apabila terpaksa meredah trafik hebat pada waktu malam, walaupun dalam kenderaan yang serba sederhana!

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 2:31pm
d